Friday, June 15, 2012

Bangkai Gajah Tidak Boleh Ditutup Dengan Sehelai Daun…..


Bangkai Gajah Tidak Boleh Ditutup Dengan Sehelai Daun…..

Pertemuan dengan bekas bos lama yang mengaku bersahabat baik dengan DSAI sejak di zaman persekolahan telah mengingatkan Tun Sheikh tentang pendirian yang diambilnya ketika DSAI dituduh liwat oleh kerajaan dan merengkok dalam penjara beberapa tahun kerana sabit kesalahan pecah amanah dan salah menggunakan kuasa ketika menjadi TPM dan Menteri Kewangan. Beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai pegawai kanan kerajaan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi satu pengajaran yang amat Tun Sheikh setuju dengan pendirian yang dibawanya ialah memberi  kefahaman kepada sahabat handainya samada yang bertujuan memerangkap atau bersahaja, bahawa beliau tiada di tempat dan tidak melihat dengan matanya sendiri ketika DSAI meliwat pemandu dan adik angkatnya yang telah membuatkan bos-bos jabatan  kerajaan yang pro dan kaki mengampu UMNO&BN bungkam dan malu. Jauh dalam hati Tun Sheikh, jika bertegas menggunakan dasar dan peraturan Islam, ia adalah amat adil dan melindungi semua dari penganiayaan tidak kira bangsa atau agama.

Apabila dibandingkan dengan isu video seks yang dibuat oleh Datuk Trio Umno, akal yang waras memang tidak menafikan pengesahan polis bahawa video itu adalah asli. Bagi mereka yang tidak bersangka buruk maka akan terus terfikir bahawa polis pun bermain politik kerana isunya bukan video itu tetapi pelakon, pelaku dan perbuatan seks itu adakah benar-benar DSAI. Video tape itu memang asli tetapi yang dipertikaikan ialah pelakon di dalamnya dan ini tidak dijawab oleh PDRM secara sainstifik kerana mereka bukan pakar dalam bidang itu dan amat kelihatan mereka seperti diarah membuat pengumumam sedemikian untuk meyakinkan rakyat jelata yang mudah dipengaruhi dan mudah digempak.
Jika mengikut cara perundangan Islam, video tape ini tidak boleh menjadi saksi atau bukti kerana tidak boleh berkata-kata dan tidak boleh mengangkat sumpah berkata benar dan segalanya adalah benar kerana ia hanyalah  bentuk peralatan. Lebih jauh lagi video tape itu tidak merakam atau tidak nampak dengan jelas dengan mata kameranya, batang pensil DSAI memasuki lubang botol punggung budak homo itu. Yang lebih menarik lagi ialah kedapatan secara sainstifik banyak DNA sperma ramai lelaki lain dalam bacaan DNA yang diambil dari lobang punggung budak homo yang dianggap baik dan suci oleh mahkamah . Dan lebih kelakar lagi ialah DNA milik lelaki yang ramai itu lebih domain atau jelas dan nyata dari yang serupa seperti milik DSAI.

Sehubungan itu, kebarangkalian perbuatan DSAI untuk menjadi orang tertuduh utama agak longgar dan memang wajar akhirnya kes ini ditutup dengan tertuduh dibuang kes. Jika ia diteruskan akan lebih memperbodohkan institusi kehakiman negara dan akan terus memalukan agensi-agensi professional milik kerajaan yang kelihatan begitu cuai, bodoh dan tidak mengikut standard antarabangsa meskipun semua peralatan moden yang digunakan adalah serupa dipakai di luar negara. Masalah sebenar bukanlah masalah kejituan peralatan tetapi masalah intergriti manusia yang menggunakannya yang bersifat tidak amanah atau dipaksa oleh tangan gaib.

Seperti dijangka,  dendam kesumat terhadap DSAI memang tidak habis disitu dan akan berterusan selagi orang yang memegang kuasa itu sendiri tidak berubah atau ditukar kepada yang lebih amanah, telus dan berintergriti. Masalahnya orang yang sedang memegang kuasa bukanlah diri individu yang berjalan bersendiri atau seorang diri tetapi terdiri dari sebuah kumpulan besar yang saling bantu membantu dan berusaha mewangikan diri dengan menggunakan kuasa dan pelbagai cara termasuk merasuah daripada bau busuk hasil tangan mereka yang tidak boleh ditutup lagi.

Sekiranya seluruh rakyat faham dan sanggup berkorban demi menyelamatkan moral dan nilai kebudayaan bangsa melalui kuasa pilihanraya dengan menolak atau membuang mereka, maka dengan cara itu sahaja diperkirakan bau bangkai yang menyengat hidung ini dapat diatasi. Sekiranya hal yang sama berlaku lagi dan menjadi budaya juga kepada parti pemerintah baru maka rakyat perlu menggantikan mereka dengan yang lain dan kepekaan serta kebijaksanaan rakyat yang sanggup berkorban dan menentukan hala tuju dasar pemerintahan ini akan menguntungkan rakyat sendiri.

Kadang-kadang Tun Sheikh terfikir adakah mungkin selagi Tun M yang digambarkan oleh musuhnya sebagai bapa kejahatan masih hidup maka kebobrokan politik negara akan berterusan. Ini adalah kerana beliau adalah mentor kepada pemimpin umno pada hari ini. Usia beliau pernah didoakan panjang oleh seorang ulamak sebagai balasan Tuhan terhadap dasar-dasar akal pemikirannya yang merosak bangsa dan agama ketika beliau berkuasa dahulu. Panjang umur beliau didoakan juga supaya beliau bertaubat jika beliau tidak sengaja atau terpaksa berkelakuan zalim ketika berkuasa dahulu tetapi jika beliau sengaja dan berbangga dengan keangkuhan yang ditunjukkan, kepanjangan umur beliau akan membelit nafas leher tuanya sehingga menjadikan hidupnya yang tidak ketahuan hari matinya  menjadi begitu tidak selesa dan tersiksa di dunia lagi.

Kita boleh mengambil berbagai iktibar dan kesempatan. Apa yang terpampang di depan mata kita ini hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin. Marilah kita memilih diri kita sendiri menjadi manusia berkebajikan daripada menyokong atau bersubahat dengan kejahatan. Mari sama-sama kita menegak kebaikan dan mencegah kemungkaran. Iman yang tinggi adalah kesanggupan kita mencegah kemungkaran dengan perbuatan, memangkah dan memilih calon mewakili kita dalam kerajaan adalah perbuatan dan iman yang rendah sedikit daripada itu kita mencegah dengan lidah atau percakapan dan kata-kata atau melalui penulisan dan selemah iman kita mencegah di dalam hati, tidak sanggup bersubahat dan tidak merelakannya di dalam hati.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Pontian 10.6.2012

Thursday, May 10, 2012

Penggerak Reformasi Indonesia


Penggerak Reformasi Indonesia

Ketika di era 1980-an, sebenarnya  banyak mahasiswa Indonesia yang pro kebebasan rakyat secara demokrasi dan anti rasuah dan nepotisma  telah menjadi tenaga pengajar dan Tun Sheikh difahamkan bahawa pihak pengurusan universitas memberi galakan secara halus juga kerana menyokong suara mahasiswa yang bernilai kemanusiaan yang universal tetapi mereka tidak melakukannya secara terang-terangan kerana mereka juga diperhatikan oleh spy-spy hantu pemerintah.

Di luar kampus, mereka yang telah berjaya dan memimpin persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO) sudah mula berani memanjang-manjangkan berita angin yang mengatakan sebenarnya kroni Suharto yang telah merancang untuk mengambilalih kuasa daripada Presiden Sukarno dan telah melaksanakan pelbagai strategi ke arah itu untuk melemahkan pengaruh Presiden Sukarno yang sangat berjasa itu. Mereka berpegang kepada alasan dan pandangan yang berasa bimbang dasar sosial dan liberal Sukarno akan menyebabkan pengaruh komunis berkembang pesat dan akhirnya menguasai politik negara. Ramai di antara pemimpin rakyat dan mahasiswa menganggap alasan ini sangat berpengaruh tetapi hanyalah perspektif dan spekulasi.

Terdapat juga maklumat, para graduan Indonesia yang berminat  menyertai pasukan beruniform  kebanyakan hanya suka memasuki angkatan laut dan udara daripada angkatan darat sejak 1970-an. Ini adalah kerana angkatan darat dan kepolisan dirasai terlalu bias kepada pemerintah dan mendapat banyak keistimewaan. Sejarah perjuangan dan kesetiaan mereka sangat dibanggakan sehingga ada norma memperendahkan keupayaan dan kemecemerlangan pasukan udara dan laut. Pasukan Laut dan udara pula terkenal dengan keterbukaan kerana sering berinteraksi di peringkat antara bangsa dan prihatin terhadap nasib rakyat bawahan.


Pada era berlaku reformasi, mereka yang berkhidmat dengan angkatan laut dan udara telah berpangkat senior. Mereka dapat melihat kemurniaan nilai kemanusiaan sejagat yang diperjuangkan dan mereka juga mengetahui peraturan menggunakan senjata dengan budibicara terpuji sebagaimana ditetapkan di peringkat antara bangsa. Mereka berasa bertanggongjawab mengawal keamanan dan berusaha tidak menggunakan senjati api kepada rakyat yang tidak bersenjata.

Rakyat dari kelompok sosial pertengahan dan sederhana juga tidak menggemari cara dan budaya tindakan pemerintah menghantar kereta prisai atau kereta kebal ke kampus untuk menakut-nakutkan mahasiswa jika ada krisis kecil di kampus. Di pihak kepolisan dan tentera pula mereka kelihatan agak bengis dan sombong dengan golongan mahasiswa kerana sejarah perjuangan kemerdekaan dan sosial mereka adalah tercetus dari pergerakan pelajar sehingga tercipta Sumpah Pemuda. Pemerintah khuatir sejarah akan berulang kerana mahasiswa berupaya memainkan peranan membangkit sesuatu semangat dan perjuangan rakyat dan mencetus keadaan huru-hara.

Di era 1990-an kegiatan pergerakan mahasiswa yang anti kepada dasar-dasar dan cara pemerintahan yang dianggap ala tentera bertambah subur di universiti atau pusat pengajian tinggi swasta. Ini adalah berikutan sedikit kebebasan yang terpaksa diberi kepada mahasiswa swasta oleh pihak pengurusan universiti yang khuatir mereka akan kehilangan pelajar dan terpaksa menutup universiti yang diusahakan mereka kerana masalah kemelesetan ekonomi global. 

Diwaktu yang sama,  kesan kemelesetan ekonomi global  seperti tidak mendatangkan masalah kepada golongan berada dan kroni-kroni yang dekat dengan parti pemerintah dan keluarga dan saudara mara atau kaum kerabat presiden dan para menteri. Hanya segelintir menteri sahaja yang berani membawa isu penderitaan dan kesempitan hidup rakyat biasa ke parlimen dan sering tidak mendapat perhatian. Ini sangat dikesali oleh golongan pertengahan apabila cengkaman kemelesetan ekonomi telah mula dirasai mereka. Mereka berasa cemburu cara hidup golongan kroni pemerintah dan secara tidak langsung mereka menyokong perjuangan para mahasiswa menuntut demokrasi tulen dan menghapus rasuah, kronisma dan nepotisma.

Terdapat juga maklumat dan fakta bahawa mahasiswa yang mampu belajar dengan biaya orang tua itu lebih terdedah dengan perkembangan, pergerakan dan kebebasan para mahasiswa di luar negara kerana ada di antara mereka sering ke luar negara berikutan kebanyakan mereka adalah dari keluarga yang berada dan berkemampuan. Mereka juga berasa tertekan kerana sering disindir sebagai kelompok yang mampu kerana hasil rasuah yang dimakan oleh orang tua mereka. Mereka berazam dan turut sama berjuang untuk mengubah budaya rasuah dan ini terbukti berlaku secara aktif di universiti-universiti dan kolej swasta yang terkenal dan mahal seperti Tri Sakti di Jakarta.

Pergerakan dan kemuncak perjuangan supaya pemerintah memperbaiki proses demokrasi ini terus berkembang di kalangan para pelajar di pusat pengajian tinggi dan apabila demontrasi di Tri Sakti dipatahkan oleh pemerintah dengan 3 mahasiswa parah dan terkorban, maka berlaku pergabungan segala pergerakan yang anti rasuah dan nepotisma dan pemerintahan ala tentera oleh para mahasiswa sama ada swasta dan universiti pemerintah. Kemuncaknya ialah demontrasi jalanan yang diadakan setiap minggu oleh para mahasiswa dari 1997 hingga 1998 dan akhirnya pemerintah terpaksa mengumumkan proses pilihanraya yang lebih terbuka dan berciri demokrasi pada tahun 1999.

Hari ini buah reformasi Indonesia telah menjadi kenyataan tetapi sebenarnya belumlah menyeluruh dikuasai rakyat atau berdemokrasi tulen. Ini adalah kerana ketika pengaruh angkatan bersenjata ditolak, banyak huru-hara dikatakan berlaku sehingga kerajaan rakyat pimpinan BJ Habibi, Abd Rahman dan Megawati Sukarnoputri terpaksa melepaskan dan memberi beberapa daerah dengan kuasa otonomi malah pengaruh atau kuasa mereka sebagai presiden rakyat pun tidak bertahan lama kerana kerap tergganggu dan dipaksa bertukar tangan. Ada yang mengatakan ini semua adalah peranan yang dimainkan oleh kepimpinan yang taksub dengan angkatan bersenjata. Apabila Susilo Bambang yang berlatar belakang pemimpin angkatan bersenjata dan cenderung kepada demokrasi mengambil alih, barulah kelajuan pemilihan dan pertukaran presiden yang dianggap berlaku terlalu kerap dan kurang baik itu menjadi perlahan.

Apabila berkesempatan, insyaallah Tun Sheikh akan menulis sedikit berkenaan kejayaan reformasi yang diperjuangkan oleh mahasiswa Indonesia. Kebetulan ketika berlaku reformasi Indonesia pada tahun 1997, 1998 dan 1999, Tun Sheikh berada di sana dan  menjadi saksi mata kerana bertugas membuat penyelidikan rasmi. Selain itu,  sejak pulang pada tahun 1986 sehingga ke hari ini hubungan Tun Sheikh dengan teman-teman dan kawan-kawan di sana masih berterusan. Kebanyakan mereka telah menjadi pensyarah kanan dan memiliki Phd dan tidak berkeberatan memberi informasi perkembangan semasa dan sejarah pergerakan reformasi mahasiswa yang bernilai kemanusiaan sejagat atau universal. Beberapa faktor sama ada serupa atau berlainan di antara reformasi Indonesia dan Malaysia akan dapat memberi gambaran penyebab reformasi Malaysia lambat atau kurang berjaya.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Perjuangan dan Pergerakan Pelajar Sebelum Reformasi Indonesia 1998


Perjuangan dan Pergerakan Pelajar Sebelum Reformasi Indonesia 1998

Pengalaman Tun Sheikh melanjutkan pelajaran di Universitas Indonesia dan tinggal selama 4 tahun di sana telah memberi kesempatan bergaul dan melihat perjuangan mahasiswa di sana. Mereka bergerak dengan aktif dan mengadakan pelbagai aktiviti pelajar. Dalam program-program kampus yang dilaksanakan itu,  boleh dikatakan tiada unsur-unsur menanam kebencian kepada pemerintahan ala tentera oleh Presiden Suharto. Jika mereka disyaki dan tertangkap maka pada kebiasaannya kebolehan dan bakat mereka akan hilang begitu sahaja kerana disingkir dari kampus dan dipantau sehingga mereka lumpuh atau tidak berdaya dan tidak dapat bangun mencari pengaruh akibat dari hukuman yang halus itu.

 Ketika Tun Sheikh baru sampai, pihak kedutaan menasihat, mengingat dan memberi amaran supaya jangan terlibat dalam aktiviti mahasiswa jika berbau anti dasar-dasar pemerintah. Sebagai mahasiswa, Tun Sheikh terpaksa melaporkan segala aktiviti pelajar atau kampus yang Tun Sheikh wajib ikuti tetapi tidaklah dilaporkan kegiatan yang mempengaruhi minda mahasiswa menolak dasar-dasar pemerintah. Tun Sheikh ikut dan dengar tetapi tidak aktif kerana Tun Sheikh berstatus mahasiswa asing. Dalam kampus,  Tun Sheikh bergaul dan mesra dengan semua tetapi tidak  begitu rapat. Maksudnya  mesra tetapi tidak sampai terlalu rapat yang betah iaitu bertukar-tukar cerita peribadi. 

Mereka mengetahui semua mahasiswa atau pelajar pengajian tinggi Indonesia adalah terdiri dari golongan yang memiliki akal kecerdekan kerana pemilihan mereka yang berpeluang menjejakkan kaki ke kampus setelah lulus peperiksaan Sekolah Menengah Atas (SMA) begitu ketat dan persaingannya begitu ramai tidak seperti di Malaysia. Yang terbaik sahaja yang berjaya dan yang berjaya itu hanya lebih kurang 10-15 % sahaja dari keseluruhan yang memohon. Dengan lain perkataan Indonesia ketika itu hanya melepaskan 1% sahaja rakyatnya ke pengajian tinggi setelah tamat SMA (SPM di Malaysia). Dengan itu terlalu banyak golongan cerdek yang tidak berpeluang menapak ke kolej atau menara gading berasa kecewa. Bayangkan daripada sejumlah 300 juta hanya 3 juta berpendidikan tinggi dan daripada 3 juta ini jika diperinci lagi maka akan terserlah rakyat Indonesia yang memiliki ijazah Phd, sarjana dan sarjana muda atau diploma adalah beberapa kerat sahaja daripada sejumlah 300 juta rakyat.

 Mereka yang gagal akan menjadi rakyat biasa walaupun tidak marhein tetapi bergaul rapat dengan golongan itu. Di luar kota rakyat menikmati kehidupan yang sangat sederhana sehingga untuk menghantar anak ke sekolah kerajaan setelah tamat sekolah dasar (sekolah rendah), kebanyakan tidak berkemampuan. Untungnya ramai para pelajar dan  tokoh bijak pandai Indonesia tidak lupa daratan untuk membantu bangsa mereka sendiri apabila mereka berpeluang melihat perkembangan dan kemajuan pendidikan Negara luar. Mereka sedar dasar pemerintah yang sengaja mengawal kuota golongan cerdek pandai kerana berpandangan jika terlalalu ramai yang bijak, Negara tidak akan seimbang, banyak akan tidak berminat menganggotai angkatan bersenjata yang boleh diperintah-perintah dan jika banyak golongan terpelajar, mereka akan hilang kuasa. Kebangkitan rakyat melalui bijak pandai ini atau secara demokrasi tulen tanpa perkongsian dengan kuasa angkatan bersenjata tidak diyakini oleh pemerintah ala tentera akan dapat mewujud dan mengawal keamanan.

Di kampus terutama yang dimiliki pemerintah, memang banyak hantu-hantu mahasiswa  yang terdiri daripada pelajar yang diupah, yang terpaksa, yang dihantar dan penyamar yang bertugas memantau aktiviti kampus dan melapor  kepada pemerintah. Jika di Malaysia mereka ialah SB tetapi di sana selain SB banyak lagi hantu dan puaka yang ditindik. Pemimpin pelajar atau mahasiswa yang berbakat dan membawa perwatakan yang tidak suka kerajaan diekori terus dan dalam keadaan tanpa diketahui kita akan mendapati tokoh kepimpinan mahasiswa yang lantang itu dilapor telah berpindah universitas tetapi sebenarnya ditahan atau dibunuh bakat dan masa depannya jika dikhuatiri akan menjadi pemimpin menentang kerajaan. 

Oleh kerana itu kepimpinan mahasiswa sangat berhati-hati dan tekanan yang dihadapi sebenarnya telah meransang mereka bertambah bijak membuat program dan merancang aktiviti kampus sehingga tidak kelihatan atau boleh didakwa sebagai menghasut atau anti kerajaaan. Mereka bijak menyampaikan mesej yang tersirat tanpa boleh didakwa mengikut undang-undang tetapi sampai dengan jelas dan dapat mempengaruhi pelajar. Mereka bijak menyampaikan objektif yang tersirat secara kias dan sindiran mahupun secara gurauan atau jenaka. Pelbagai permainan dan bahasa kampus tercipta sesama mereka. 

Golongan mahasiswa Indonesia tidak terlibat dengan politik. Walau bagaimana  pun mereka seolah-olah diiktiraf sebagai pemerhati perjalanan politik. Tiada catatan pemimpin atau bekas mahasiswa  menyertai politik dengan cepat dan terus diangkat atau dilantik sebagai orang penting parti. Mahasiswa mempunyai pengaruh dan kuasa tersendiri. Mereka memiliki sejarah perjuangan yang murni dalam pembentukan negara Indonesia dan sering menjadi pengimbang sesuatu dasar dari luar parlimen. Jika dasar pemerintah kelihatan tidak memberi faedah kepada rakyat atau merugikan rakyat, mereka akan mengadakan forum, seminar, debat di kampus dan juga adakalanya berkerjasama dengan persatuan-persatuan sosial atau NGO. Resolusi dan memorandum dihantar oleh wakil mereka kepada pemerintah. Jarang pandangan mereka diabai atau diperlekeh. Tetapi jika berlaku pengabaian berterusan, mereka keluar ke jalanan mengadakan demonstrasi.

Jika kerajaan BN menyedari bahawa tuntutan Bersih bukanlah daripada orang awam yang kuarang berpelajaran, maka mereka sepatutnya segera memberi respon sesuai dengan taraf keintelektualan  pemimpin Bersih. Ternyata Bersih diwakili oleh para peguam dan lebih kurang 80 NGO lain yang tiada berkepentingan politik kecuali menuntut ketelusan dan intergriti yang amanah dan jujur. Tetapi mereka diperlekeh dan dituduh termakan hasutan dari parti politik pembangkang. BN terus angkuh dan terus memberi tekanan tanpa menyadari bahawa mewujudkan tekanan kepada golongan bijak pandai akan membelit dan menyusahkan BN sendiri. Bersambung….. ke Penggerak Reformasi Indonesia.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Damansara KL 10.5.2012

Monday, April 9, 2012

Kota Kinabalu Sabah – Sebuah Persepsi Menjelang PRU 13 Tokoh BN Patut Dihukum Pancung?


Kota Kinabalu Sabah – Sebuah Persepsi Menjelang PRU 13
Tokoh BN Patut Dihukum Pancung?

Pada bulan lepas Tun Sheikh bertandang selama seminggu ke Kota Kinabalu membawa keluarga melancung sambil memerhati dan mendapat pandangan beberapa anak negeri Sabah mengenai kemajuan pembangunan dan politik di sana. Tun Sheikh sempat bersembang dengan lebih kurang 70 orang warga Kota Kinabalu dari pelbagai lapisan masyarakat. Dari peniaga atau pemilik kedai pakaian, restoren, pengusaha pelancungan, pemaju perumahan , penjaja buah, pensyarah IPTA dan IPTS, dan orang politik. Umur mereka dari pelbagai lapisan dari 19 hingga 70 tahun. Tidak ketinggalan Tun  Sheikh juga berkesempatan bersembang-sembang dengan pendatang Filipina lebih kurang seramai 20 orang terdiri dari pemuda dan wanita. Wanita dalam lingkungan 40-50 tahun seramai 8 orang. Orang politik pula seramai 5 orang terdiri daripada anak muda atau lebih tepat lagi 2 orang pemuda berusia 35 tahun yang aktif dalam UMNO Kota Kinabalu,  seorang pemuda PAS dan 2 orang PKR anak tempatan Sabah.

Maklumat terbanyak yang Tun Sheikh garap mengenai Sabah pada amnya dan Kota Kinabalu khususnya adalah dari sahabat Tun Sheikh, seorang pengarah jabatan kerajaan Persekutuan yang sedang berkhidmat di Kota Kinabalu sejak 2009. Apa yang Tun Sheikh dengar darinya dan juga dari seorang pejuang reformasi yang kini menetap di Perak dapat Tun Sheikh lihat atau menyaksikan kebenarannya. Tun Sheikh juga suka memberi pandangan sendiri hasil konklusi maklumat dan pengalaman mengenai Sabah secara rambang.

Rata-rata ketika Tun Sheikh berkunjung ke Kota Kinabalu boleh dikatakan bandarnya agak bersih dan tenang dan kemajuan pembangunannya  agak pesat juga. Tun Sheikh tinggal di Apartmen Api-Api di pusat kota. Rumah apartmen 2 bilik ini dilengkapkan dengan peralatan moden. Lengkap dengan penghawa dingin, mesin basuh, tv 32 inci, peti sejuk dan dapur. Kemudahan asas tersedia dan berasa selesa seperti di hotel 4 bintang. Konsep apartmen ini sebenarnya lebih baik daripada hotel kerana kita menyewa sebuah rumah berbanding dengan sebuah bilik dengan harga yang lebih kurang sama. Cuma Tun Sheikh perkirakan kebanyakan penghuni rumah apartment di sini masih kurang memahami dan mengamalkan sivik yang baik kerana di kawasan lantai bawah, sampah sarap ringan yang dicampak dari atas menjadikan pemandangan dan kebersihan di bawah begitu mengecewakan.

Orang tempatan atau pemilik apartmen yang tinggal di apartment sendiri, menuding penyewa-penyewa yang melakukannya. Mungkin benar kerana ketika Tun Sheikh mendaftar masuk, tiada penerangan langsung tentang kebersihan. Tetapi ketika menyerahkan kunci untuk pulang dan bertanya tentang kebersihan, dengan selamba kerani itu memberitahu bahwa minda sivik orang Sabah masih rendah. Beliau ditugaskan hanya menekankan duit cagaran kunci rumah, duit cagaran kunci tempat letak kereta, duit cagaran kunci keselamatan lif dan duit deposit apartmen yang ditetapkan sebanyak 50% dan bakinya dimestikan bayar di hari pertengahan tempuh sewa. Misalnya jika kita menyewa 6 hari, pada hari ke 4 mesti dijelaskan 50% lagi. Tun Sheikh juga dimaklumkan ada juga pengusaha menetapkan 70% atau 100% dibayar ketika kita mahu mengambil kunci. Belum diseragamkan tetapi mengenai keselamatan kita ketika menginap di apartment ini adalah baik kerana ada pengawal di setiap pintu masuk dan dengan kunci atau kad eletronik saja yang diberi kebenaran masuk oleh pengawal.

Tun Sheikh ingin buat kesimpulan rengkas di sini. Jika berkesempatan Tun Sheikh akan sambung menulis mengenai masyarakat Sabah khususnya Kota Kinabalu. Di sini tiada isu perkauman atau politik berdasarkan kaum. Siapa berjiwa nasional dianggap terbaik. Rasuah pemimpin BN dimaklumi rakyat tetapi mereka menganggap belum kritikal kerana keperluan mereka masih dilayani. Yang mereka tidak suka ialah kepimpinan BN pusat kerana penyelewengan dan pelbagai skandal. Tetapi mereka juga tidak menerima kepimpinan PKR Sabah kerana latar belakangnya yang pernah melompat-lompat.
Mereka dari pelbagai fahaman politik berkata, jika pemimpin PKR Sabah terutamanya Kota Kinabalu ditukar berkemungkinan PR akan menang di Sabah di PRU 13. Mereka juga bosan dengan arahan kerajaan pusat atau BN memberi pelbagai keistimewaan kepada pendatang asing Filipina. Orang Filipina sendiri mengakui dan memberitahu Tun Sheikh apa yang mereka dapat. Yang paling menarik ialah apabila Tun Sheikh diberitahu mereka bahawa orang kerajaan atau BN menyuruh mereka berpura-pura berlakun seperti orang asing yang ketakutan. Apabila terserempak dengan pihak berkuasa dan penguatkuasa mereka hendaklah melarikan diri supaya kelihatan kerajaan bertindak dan mereka adalah pendatang haram. Sebenarnya mereka layak mengundi dengan kad pengenalan misteri yang diberi oleh BN dan dapat bantuan kewangan,  cerita mereka sambil tersengih-sengih.
 Itulah buah menyokong BN sipembohong dan penipu yang boleh dianggap sebagai pengkhianat dan pembelot kepada bangsa sendiri. Mengikut adat Melayu  jika dinilai pada zaman keagongan Empayar Melayu, tentu sekali tokoh-tokoh UMNO dan BN seperti ini telah dihukum pancung!!

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Friday, January 27, 2012

Antara Wajah Tokoh-Tokoh PAS dan UMNO

Antara Wajah Tokoh-Tokoh PAS dan UMNO

Ambil sahaja gambar atau foto potret terbaik semua YB PAS dan semua YB UMNO kemudian disusun di satu sudut dan renung-renungkanlah. Anda akan mendapati suara hati anda bercerita atau setidak-tidaknya berkata-kata. Sama ada benar atau anda yakin, itu adalah terpulang kepada hakim akal anda. Ini bukan spekulasi Tun Sheikh tetapi setidak-tidaknya Tun Sheikh dengan jujur memberi komen terhadap suara hati Tun Sheikh sendiri. Tun Sheikh dapat merumuskan bahawa 80% wajah tokoh-tokoh UMNO baik-baik belaka dan mempunyai tanpan yang bergaya, kacak dan cantik serta bersih airmuka mereka. Berbanding dengan YB PAS, 80% wajah mereka adalah wajah-wajah kampong yang sering menjadi lelucon kepada kepimpinan UMNO sehingga dalam akal budi kebanyakan pemimpin UMNO bahawa kepimpinan PAS memang tidak berwibawa. Orang moden kata wajah mereka tidak nampak cerdik.

Kalau dinilai dengan ilmu kemanusiaan memang begitulah hasil keputusannya bahawa tampang yang jelek tidak menampakkan keyakinan diri. Tentu sekali pemimpin UMNO telah menang satu point dari segi penampilan wajah. Ini belum lagi dikira dari segi penampilan pakaian dan gaya berjalan dan gaya pertuturan dan harta benda. UMNO pula sudah lengkap dengan segala persediaan termasuk memiliki penasihat professional bertaraf antarabangsa. Mereka menggunakan duit rakyat untuk menaiktaraf diri mereka sehingga mereka terlupa bahawa pemikiran mereka sudah dipengaruhi atau telah ditawan oleh penasihat antarabangsa mereka.

Kalau dirujuk kepada tokoh PAS pula, mereka berasa bersyukur dan redha dengan wajah dan tampang yang dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka. Mereka tidak menghina seseorang insan yang berwajah hodoh tetapi melihat akhlak mereka. Jika mengikut atau dengan perkataan lain sesuai dengan sunah atau alim dengan syariat maka mereka memuji kebesaran Allah Swt dan jika hodoh mereka menunjukkan simpati dengan iringan doa sebagaimana tuntunan akhlak orang yang beragama. Kepada yang kacak dan cantik tetapi berakkhlak buruk dan jahat mereka tidak segan silu menegur mereka dengan keras jika cara yang berhemah tidak dipedulikan. Itulah panduan dan kayu ukur yang mereka pakai. Maka itulah sebabnya di sana sini kita mendengar kebanyakan mereka menggunakan perkataan yang keras seperti memaki-hamun. Jika kita tidak faham erti berhemah sudah tentu kita percaya dan menyebelahi kumpulan orang yang menganggap mereka sesat kerana berlatar belakang agama tetapi tidak berbudi bahasa. Tambah pula disekeliling kita gema propaganda dan retorik UMNO begitu berpengaruh. Maka sudah tentu secara sedar atau tidak kita pun menjadi UMNO atau bersetuju dengan mereka.

Bagi Tun Sheikh pula apabila dibelek-belek gambar atau foto pemimpin PAS, terasa seperti kelihatan atau tergambar bahawa mereka memiliki jiwa yang besar. Airmuka yang keruh kerana sering diperlekeh tetapi ketegapan mereka berdiri di atas prinsip agama yang tidak mudah diubah-ubah menunjukkan betapa kuatnya mereka memegang amanah Allah. Tidak seperti UMNO yang sering mencipta peraturan dan mengubah perundangan tetapi dapat ditukar-tukar mengikut selera dan kesesuaian serta menggunakan kuasa penolakan apabila terkena di batang hidung sendiri. Ini adalah salah satu tanda dan merupakan ciri penyelewengan yang terpapar di wajah mereka.

Bercakap mengenai buah fikiran atau pandangan pula, nampaknya pemimpin UMNO sekata mengikut kehendak ketua atau tokoh pimpinan atasan mereka. Mereka tidak bebas atau tidak dapat membantah meskipun kepada perkara yang kecil dan mudah yang tidak benar. Jika hitam dikata putih dan diarah mengatakan putih maka mereka akan menuruti arahan atasan. Hal ini menjadikan mereka seperti pemimpin dungu yang tidak patut kita angkat ke depan kerana mereka tidak cerdik. Dan apabila disiasat kita akan mendapati bahawa mereka dicucuk hidung dalam keadaan terpasa tetapi suka asalkan kedudukan dan nikmat dunia yang didapati berterusan. Jauh daripada itu, mereka adalah pemimpin berperangai badut yang berjiwa kecil dan kerdil.

Apabila kita menjadi hakim tidak rasmi dalam perdebatan mengenai sesuatu isu, kita akan dapati pemimpin PAS begitu berani dan lantang. Hujah mereka bernilai global dan universal berbanding pemimpin UMNO yang bungkam kecuali dengan alasan dan hujah kampungan. Apabila kita menyelidik mengapa pemimpin PAS agak jauh ke depan, kita akan dapati bahawa sumber pegangan dan panduan mereka adalah Al Quran dan Sunah. Mereka bijak dan terpelajar menyelaraskan keadaan semasa dengan sumber rujuk yang telah ada, tepat dan sesuai untuk manusia. Pemimpin UMNO seolah-olah mengetahui tentang ini tetapi tidak berani bersuara kerana khuathir keistimewaan dan nikmat menjadi YB UMNO akan ditarik pemimpin atasan.

Akhir sekali ingin Tun Sheikh rumuskan agar kita jangan terpengaruh dengan wang ringgit dan ketampanan seseorang tokoh atau ketua. Apabila mereka curang dan menyeleweng dan tidak berani mengatakan benar kepada yang benar maka mereka perlulah ditukar ganti. Tetapi jika kita mendapati seseorang tokoh atau ketua itu adalah seorang yang bertakwa kepada Allah yang mencipta kita dan dunia ini maka hendaklah kita dengar dan patuhi.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Putrajaya 22.12.2012

Friday, November 18, 2011

Cerita Melayu Malbari Johor - UMNO Johor Perbodoh Rakyat

Cerita Melayu Malbari Johor - UMNO Johor Perbodoh Rakyat

Kelmarin, pada hari minggu seperti biasa Tun Sheikh balik Johor Bahru menjengok keluarga. Seminggu sekali atau dua minggu sekali Tun Sheikh balik kerana ada anak isteri di sana. Muar pula ialah kampong halaman. Batu Pahat dan Keluang tempat permainan. Pontian ada mertua dan Kota Tinggi ada abang dan darah kerabat seketurunan di sanan. Musim makan percuma setiap minggu masih belum putus sejak musim raya puasa hingga di musim raya haji dan tidak lama lagi akan bersambung pula majlis kenduri kahwin di musim cuti sekolah. Apapun Tun Sheikh bersyukur kerana hati pengantin terbuka untuk berkahwin secara sah daripada berterusan membuat maksiat atau terdedah untuk melakukannya sebelum bernikah secara sah. Maklum saja kebebasan dan budaya hidup moden hari ini tidak terkongkong atau dikongkong adat seperti zaman dahulu.

Ahad lepas, Tun Sheikh telah memenuhi undangan kenduri kahwin seorang sahabat berdarah Malbari di Kangkar Tebrau Johor Baharu. Cerita punya cerita ada juga pertalian darah mamak Tun Sheikh dengan mereka. Paling tidak pun memang satu kapal. Perbedaanya hanya saudara mara Tun Sheikh telah berbaur jauh jadi Melayu dan tidak lagi seperti keluarga pengantin yang majoriti para hadirin ialah sewajah dan sewarna kulit dan bahasa Malbarinya pun masih diamalkan. Banyak juga wajah-wajah sejuk mata memandang kerana tarikan jambang mereka yang boleh dikatakan sefesyen membawa imej kealiman atau setidak-tidaknya membawa imej Islam. Dari perbualan, mereka memang tidak gemar jika mereka dianggap sebagai India walaupun mereka berasal dari sana. Mereka sangat gembira tetapi tidaklah berlebih-lebihan seperti Melayu Umno bila menceritakan mereka ada darah ahlul-bait.

Ironinya dalam perbualan sepanjang Tun Sheikh berada di majlis itu selama 3 jam, 60% cerita atau perbualan adalah mengenai Melayu Umno Johor. Pertamanya mereka terasa mereka diasingkan oleh Melayu UMNO seolah-olah tidak terima mereka walau mereka mengaku Melayu. Kedua, mereka tidak mahu malah tidak terima jika dikategorikan sebagai India. Ketiga, mereka terasa terpinggir manakala Persatuan India Muslim tidak memenuhi citarasa mereka. Keempat, mereka terasa seolah-olah mereka diperlekeh oleh Melayu UMNO seperti rakyat kelas ketiga setaraf India marhaen padahal ekonomi mereka boleh dikatakan kukuh kerana aktif dalam dunia perniagaan dan tidak banyak yang makan gaji dengan kerajaan atau syarikat-syarikat Cina kecuali syarikat yang ada hubungan dengan kelompok mereka sendiri. Kelima mereka rasa seperti diperbodohkan Melayu UMNO kerana mereka mengaku mereka ada darah Melayu tetapi Melayu UMNO kelihatan banyak menipu dan membohongi orang Melayu sendiri dalam dunia politik yang dikuasai Melayu membuat mereka juga terasa sehingga rasa tergugat jika hendak mengaku atau memperjuangkan Melayu. Keenam, mereka tidak percaya kepada Parti Keadilan kerana mereka anggap perjuangan parti itu akhirnya akan membudayakan politik kotor seperti yang diamalkan oleh UMNO setelah berkuasa.Ketujuh, mereka sangat tertarik kepada diplomasi PAS dan berminat menyumbang apa yang termampu kepada parti yang bertunjangkan Islam itu.

Perbualan bertambah panas apabila isu atau topic menyentuh orang-orang Melayu UMNO Johor yang berperangai bodoh, bergasak dan mengganggu ceramah Mat Sabu hingga ada yang luka. Mereka amat faham kejahilan atau kejahatan UMNO Johor kerana mereka sendiri pernah berpengalaman dengan situasi sebegitu. Mereka sedih kerana UMNO Johor pura-pura buat bodoh bahawa pemikiran majority anak muda Johor sudah berubah. Lebih-lebih lagi apabila Menteri Besar Johor menafikan penglibatannya menerbitkan buku sejarah oleh Yayasan Warisan Johor yang mengiktiraf Mat Indera sebagai tokoh negarawan Johor menentang pejajah Inggeris.

Sebenarnya, jika dikaji kisah politik Melayu Johor memang unik. Dato’ Onn misalnya adalah seorang tokoh yang benci Inggeris. Tetapi dikelabui dengan catatan sejarah yang telah menganggap beliau adalah anak emas Inggeris. Begitu juga dengan perpaduan Melayu Johor, sebenarnya orang Jawa, Banjar, Boyan, Melayu, Arab-Melayu, Bugis, Seletar atau Orang Selat, Minang dan lain-lain suku Melayu Johor, tidak pernah bersatu padu atau bersatu hati di Johor kecuali apabila dititah menyertai perang. Mereka tinggal dengan kelompok sendiri. Itulah sebabnya mengapa orang India dan Cina juga boleh hidup dalam kampong suku-suku Melayu. Masing-masing ada kepentingan hidup sendiri.

Apabila berlaku penjajahan Jepun, barulah mereka membuka mata bahawa mereka perlu bersatu padu sebagai Melayu kerana perjuangan perpaduan diperjuangkan oleh elit dan intelektual Melayu. Mereka berasa yakin Melayu boleh bangkit kerana Jepun sendiri memberi semangat kepada mereka dengan mengalahkan British yang dianggap hebat. Manakala dari segi fizikal pula, orang Jepun atau tentera Jepun dilihat lebih kecil dari tubuh orang Melayu sendiri dan apabila berlaku keganasan komunis yang menolak agama dan berlaku zalim terhadap orang-orang Melayu seperti apa yang berlaku di Muar dan Batu Pahat Johor, maka ketika itulah perpaduan suku-suku Melayu menjadi padu dan mantap.

Berbalik kepada cerita Melayu UMNO Johor, kumpulan kecil Melayu-Malbari berdarah ahlul-bait ini yakin UMNO akan tumpas secara mengejut kerana tidak mahu berubah walaupun telah ditegur dan diperingatkan beberapa kali terhadap penyelewengan dan ketidaktelusan yang mereka amalkan. Melayu UMNO Johor kelihatan terus sombong mendabik dada mengaku bahawa mereka adalah pencipta UMNO, pencipata perpaduan, perancang kemerdekaan, pembawa kemajuan dan sebagainya tanpa menghiraukan bahawa masalah sebenar ialah masalah tidak amanah kerana terlalu sibuk mementingkan diri mencuri harta rakyat untuk diri peribadi melalui parti.

Akhirnya, kelompok Melayu-Malbari ini, mengaku bahawa mereka tidak lagi berbangga hendak mengaku Melayu kecuali berjanji akan menyokong tidak kira siapa asalkan memperjuangkan Islam. Dalam hal ini dan ketika ini mereka aktif membantu PAS selagi PAS telus , tulen dan jujur memperjuangkan dasar-dasar dan budaya hidup Islam bukan budaya Melayu yang songsang dan bercanggah dengan syariat Islam seperti banyak yang diamalkan atau yang diperjuangkan oleh Melayu UMNO. Marilah sama-sama kita berdoa semoga semua manusia tidak kira Melayu, India, Cina atau Malbari dan lain-lain agar sentiasa diberi petunjuk, taufik dan hidayah ke arah mengagongkan Islam. Amin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Monday, August 22, 2011

BN Yang Rapuh Tetapi Terus Mendada

BN Yang Rapuh Tetapi Terus Mendada

PM Kita Sudah Seperti Paklah dan Tun Dr. Mahathir Yang Syok Sendiri


DSAI ketua pembangkang nampaknya telah pasrah dan merasa dirinya tidak akan berpeluang tampil menjadi calon pelihanraya 13. Impiannya untuk ke Putrajaya telah dikuburkan walaupun dirinya masih belum ke liang lahat politik itu. Semua rakyat telah dapat melihat usaha kerajaan BN menggali kubur untuk DSAI dan tentunya bagi sesiapa yang berhati perut merasa begitu jijik dan loya. Kelmarin Dato' Najib berbuka puasa di Hulu Langat Batu 14. Jalan segera diturap ala kadarnya. Sebelum ini kawasan pembangkang itu seperti terbiar. PR menang tipis di situ pada pilihanraya 2008 gara-gara mendapat hadiah penyapu dari Menteri Besar Khir Toyo.

Kedatangan PM ke Hulu Langat dan Ampang menandakan piliharaya sudah dekat dan berkemungkinan akan diadakan pada bila-bila masa saja mengikut kesukaan, congak mahupun nujum PM. Jika di perhatikan dan dibuat analisa, kini PM dalam rangka melawat kawasan parti lawan dimana BN kalah tipis. Kawasan-kawasan yang dulunya dimenangi BN tetapi berpindah tangan kepada pembangkang kerana bosan dengan kesombongan BN. PM yakin beliau dan BN akan menang jika DSAI dapat dibekukan atau kerajaya politiknya dibunuh dan ditanam hidup-hidup. PM dan barisan kroninya yakin dengan kebaikan beliau menabur duit di sana-sini terutamanya di tempat dan kawasan DUN yang dilawati akan memenangkan BN walaupun ini adalah taktik lama dan kuno. Di mata pembangkang pula, PM dilihat sedang menggali lubang kuburnya sendiri kerana nampak mantan PM secara terang-terangan menyebelahi dan memberi galakan kepada TPM yang berjanji akan mengangkat anaknya pada suatu kedudukan yang akan memudahkan dirinya menjadi orang nombor satu.

PM mungkin sedar atau mungkin tidak dapat berbuat apa-apa terhadap karenah mentornya itu. Dr. Mahathir perasan beliau masih PM walaupun cita-citanya untuk mencipta rekod menjadi PM paling lama iaitu 30 tahun tidak tercapai kerana beliau dibuang oleh UMNO sendiri. Dalam senyap-senyap, sayap-sayap kiri dan gelap UMNO telah menyediakan pelbagai senjata halus berupa physiko dan umpan memerangkap PM melalui isteri beliau yang merupakan liabiliti UMNO. Ramai tokoh pemimpin UMNO mula merasa cengkaman kuku wanita pertama dan merasa khuatir, tidak senang hati dan rimas kerana beliau telah bertindak mempengaruhi PM menentukan calon-calon yang akan bertanding terutamanya tempat-tempat yang dikhususkan untuk wanita. Ketika ini berlaku lobi-melobi dan mencantas keting diantara pemimpin wanita dalam BN untuk merebut tempat-tempat yang dikira selamat untuk mereka.

Kawasan bekas Dr. Lolo' contohnya sedang menjadi rebutan hangat dan wanita pertama telah dipergunakan untuk mendapat tempat dalam persaingan. Kedengaran tempat yang panas itu bernilai jutaan ringgit dan bon politik ini akan mengikat calon yang menang disitu menjadi hamba yang akan membekal emas atau menjadi haiwan peliharaan mahupun lombong emas kepada wanita pertama nanti. Sebenarnya sejarah telah mencatat bahawa wanita pertama memang mempunyai keistimewaan mendapat sedikit lowongan politik untuk kroninya sendiri tetapi belum ada rekod yang menunjukkan penglibatan mereka melampaui batas seperti apa yang sedang berlaku kini.

Ada penganalisa politik menjangkakan wanita pertama seolah-olah sedang membuat tembok besar keselamatan untuk diri dan kroni-kroninya. Akhirnya mereka akan dipaksa membalas budi yang diberikan dengan mengangkat dirinya sendiri menjali calon pilihanraya sekaligus ketua kepada mereka. Kelihatan sumber kewangan dan publisiti ketika ini telah dikuasai beliau. Beliau dikatakan sedang menunggu saat yang baik untuk mengambilalih minda penyokong-penyokong BN untuk mengangkat ketokohan dirinya. Jika mengikut apa yang pernah berlaku di negara jiran mahupun di negara di benua lain, peluang sebegini berlaku apabila suami mereka selaku orang nombor satu dikalahkan oleh teman atau timbalannya sendiri mahupun musuh politik dari pembangkang. Pada ketika itu rakyat kelihatan simpati kepada penyikiran pemimpin utama seolah-olah digambarkan telah berlaku penipuan, pembelotan dan konspirasi dalaman. Berikutan itu undi kasihan akan menyebelahi kepada wanita pertama. Mungkin itulah yang sedang dinantikan oleh wanita pertama negara ini.

Berbalik kepada bahang pilihanraya, rakyat terasa diperbodohkan oleh BN apabila PM mengumumkan kesediaan menubuhkan sebuah jawatankuasa menilai semula peraturan dan perjalanan dan apa-apa mengenai piliharaya. Anehnya beliau tidak mengiktiraf apa-apa laporan dan saranan yang bakal dikeluarkan. Jawankuasa ini kelihatan sangat lemah dan cacat apabila tiada sebarang ahlinya dari pembangkang atau NGO yang berkaitan dengan pilihanraya.

Di Pekan pula iaitu tempat PM sendiri, masalah yang dihadapi beliau ialah kuatnya pengaruh kerabat di raja Pahang yang menyebelahi pembangkang kerana mereka dipinggirkan oleh istana. Mereka belum lagi begitu jauh dengan kerabat mereka yang berada di istana tetapi mereka terasa mereka sengaja dipinggirkan atas nasihat UMNO dan BN. Kaum kerabat mereka yang begitu ramai di Pekan telah menolak BN. Di sini jangan terperanjat jika anda di kelilingi oleh orang asing yang didakwa sebagai orang kita yang diuar-uarkan oleh mesin penyalak BN. Orang luar mungkin akan mudah percaya dan kelihatan PM begitu perihatin kepada orang kita atau orang asal yang dikatakan sengaja dipindahkan ke kawasan Pekan untuk mendedahkan mereka dengan pembangunan. Apa yang berlaku sebenarnya adalah untuk memperbanyakkan undi menyokong PM kerana rakyat tempatan banyak cenderung kepada kerabat diraja yang telah dipinggirkan di Pekan. Dan bagi mereka yang memang anak jati Pekan, mereka amat kesal dan berasa hampa kerana orang asal itu bukan semua yang asli tetapi dicampur sekali dengan pendatang Myanmar dan Kemboja. Orang Asli hanya minoriti sahaja.

Dengan kelihatannya apa yang dilakukan oleh PM dan BN, rakyat dengan mudah dapat merasakan mereka tertipu dan diperbodohkan. Hal inilah yang perlu diteliti dan dinilai kerana rakyat menuntut ketelusan dan kejujuran. Jika BN berterusan menggunakan taktik munafik double standard, talam dua muka atau dengan perkataan yang keras iaitu berciri munafik ini maka pasti halatuju sebenarnya ialah BN sedang menggali lubang kubur untuk dirinya sendiri. Rakyat bukan tidak menghargai pembangunan dan kemajuan yang dibawa BN. Rakyat bukannya tidak suka dan tidak sayang BN, tetapi rakyat sangat kecewa unsur-unsur penipuan kepada amanah yang dipercayakan kepada mereka. Jika BN dan UMNO terus sombong dan tidak berupaya keluar dari kesesatan ini maka tidak mustahil PR akan berjaya berkuasa dan mengambil alih Putrajaya. Malah sebenarnya rakyat telah bersedia dan matang untuk melihat siapa yang terbaik untuk mereka. Jika PR curang dan pecah amanah maka mereka juga akan digantikan dengan yang menjanjikan dan melasanakan kebajikan dalam manifesto mereka. Apabila rakyat bersedia dan bijak memaksakan parti pemerintah pilihan mereka adalah parti berkebajikan maka subur dan harmonilah kehidupan dan demokrasi.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere