UMNO JANGAN GELOJOH & HATI-HATI DENGAN SYAITAN MANUSIA
Jun 2010 adalah bulan rencam Tun Sheikh kerana tidak dapat banyak menulis dan tidak dapat banyak bergerak walaupun ada 2 minggu musim percutian sekolah. Namun, Tuhan dengan kebesaranNya yang tidak dapat kita fikirkan telah mendatangkan banyak imput berita dan peristiwa melalui aduan dan laporan mengenai politik dan social semasa. Kes-kes sahabat handai dan saudara mara yang meminta bantuan dan pandangan rasional mengenai masalah rumah tangga yang sedang bergolak atau diambang perceraian sebanyak sedikit dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Apalah salahnya kita memberi senyuman jika sedikit senyuman kita itu dapat menyenang atau memberi ketenangan kepada orang lain. Ini semua sangat Tun Sheikh syukuri kerana dapat dijadikan bahan penulisan. Semacam suatu rahmat, nikmat dan hikmah jua dari Allah. Alhamdulillah.
Alhamdulillah juga kerana idea dan pandangan liberal Tun Sheikh mengenai bangsa Melayu tercinta seolah-olah didengar dan diterima. Tetapi adalah wajar, ia belum lagi berhasil kerana benihnya baru saja bercambah. Tun Sheikh sangat bersyukur apabila mengetahui telah ada gelombang biru-hijau di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sedang aktif dalam aktiviti dan menyibar fahaman dan mencari ahli yang bersependapat. Apa yang Tun Sheikh maksudkan biru-hijau ini bukanlah PR tetapi gelombang kumpulan anak muda dalam UMNO yang sedang bergerak aktif dengan visi dan misi baru yang bertenaga. Meskipun masih seperti ombak-ombak kecil, tetapi sangat giat menguar-uarkan untuk kembali berjuang seperti matlamat murni Melayu asal. Tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin Melayu rasuah. Mereka ingin berbakti dengan jujur dan tulus dan apa yang sangat membanggakan ialah sumpah mereka untuk memartabatkan Islam sebagai panduan dan rujukan diatas segalanya seperti PAS.
Mereka berjanji dan bersumpah untuk merealisasikannya dan apabila Tun Sheikh dapati berbondong kumpulan ulamak Islam muda menyertai UMNO ketika ini, Tun Sheikh yakin mereka akan mengotai apa yang mereka kata. Mereka adalah pemuda UMNO generasi baru yang akan mengangkat Islam dalam UMNO sebagaimana ahli PAS mengangkat martabat Islam dalam PAS. Mereka tidak mahu UMNO menjadi ikon Melayu tetapi mereka akan berusaha menjadikan UMNO adalah Islam.
Di Perak, kumpulan pemuda UMNO ini mendapat kesadaran dan pengajaran yang tinggi nilainya setelah berlaku rampasan kuasa politik yang mereka anggap bacul yang telah dilakukan oleh pemimpin atasan mereka sendiri. Mereka sebenarnya tidak bersetuju tetapi ketika ini mereka tiada kuasa malah untuk menyuarakan suara hati mereka pun tidak ada platform yang disediakan. Ketika ini mereka hanya bergerak sebagai mengikut kepada pemimpin veteran mereka yang dianggap berfikiran konservatif dan ortodoks tetapi walupun berdiam, mereka mencari pengaruh dan pengalaman menyiapkan diri.
Mereka adalah angkatan muda UMNO yang melihat bahawa PAS akan selamanya gagal untuk memertabatkan Islam jika minda politik veteran UMNO terus berkuasa dan pada waktu yang sama sedang menyediakan jambatan rapuh untuk masa depan anak-anak muda UMNO. Mereka amat sadar bahawa jambatan yang disediakan pemimpin veteren yang sedang menguasai UMNO dan memerinth ketika ini akan runtuh ketika sampai giliran mereka menggunakannya nanti. Mereka adalah kumpulan pemuda UMNO yang yakin bahawa hanya UMNO sahaja yang akan berjaya memartabatkan Islam jika UMNO segera berjuang kearah itu tanpa menghiraukan PAS.
Mereka sangat yakin bahawa pekong UMNO hanya terubat jika mereka berjaya menghapuskan minda kebejatan yang hanya mementingkan diri dan bercita-cita menjadi popular dan mengaut kekayaan melalui UMNO sebagaimana menjadi amalan ketika ini. Mereka juga sangat yakin bahawa kecintaan mereka terhadap Melayu dan UMNO hanya akan terselamat di bawah payung Islam tulin sebagaimana diperjuangkan PAS tetapi mereka melihat PAS gagal dan lemah dalam banyak perkara terutamanya dalam segi teknikal dan professional semasa.
Mereka juga mengenal PKR yang dianggap serupa sahaja seperti pemimpin UMNO mereka yang berminda konservatif. Adalah sangat menarik apabila mendengar hujah mereka, mengatakan bahawa orang luar melihat minda pemimpin UMNO amat moden tetapi bagi mereka, minda pemimpin mereka adalah konservatif kerana masih menganggap budaya barat termasuk bahasa dan kebudayaan social barat adalah baik.
Seperti di Perak, begitu juga di Negeri Sembilan. Mereka adalah kumpulan muda yang membenci lagak dan perilaku ketua mereka dan bekas menteri besar yang mereka anggap masih lagi dalam dunia apungan duit. Mereka yakin apabila minda Islam kontemporari mereka ini dapat diterima oleh semua yang beragama Islam, maka pemimpin Melayu yang tidak mengenal dan tidak tahu membedakan antara agama Islam dan adat Melayu akan pupus. Mereka sangat yakin bahawa perjuangan Islam PAS adalah tulin tetapi malangnya kelemahan PAS tidak dimanfaatkan oleh pemimpin UMNO veteran mereka untuk merajui Islam. Ketika ini mereka sangat sadar kerana mereka sendiri melihat pemimpin UMNO mereka yang sedang berkuasa ketika ini hanyalah memakai topeng.
Kumpulan pemuda Negeri Sembilan ini banyak mengambil pelajaran melalui keadaan yang berlaku terhadap PKR. Mereka juga berpendapat bahawa idea kesatuan PKR dengan PAS dan DAP menjadi PR yang bersetuju duduk dibawah payung Islam yang sempurna dan adil sangat menarik dan jika berjaya dilaksanakan maka ketika itu akan terkuburlah UMNO. UMNO akan dikenang sebagai sebuah parti Melayu yang sangat kuat dan pernah memerintah negara tetapi kerana kesombongan dan penyelewengan serta menipu kepada bangsa terutama dalam hal agama dan kekayaan Negara maka UMNO tumbang.
Sehubungan dengan itu, sebelum UMNO tersungkur, kumpulan muda ini berjanji bekerja keras untuk mengangkat dasar Islam sebagai dasar dan wadah perjuangan. Mereka sangat menyayangi Tun Abdullah Badawi dan menyalahkan ahli keluarganya sebagai penyebab karier politik Pak Lah berakhir. Mereka yakin hanya melalui Islam, UMNO dan Melayu akan selamat dan terus berkuasa. Tetapi tidaklah serupa keadaan dan gambarannya sebagaimana UMNO ketika ini kerana UMNO yang dipimpin mereka bukan UMNO-Melayu, sebaliknya adalah UMNO Islam.
Di Melaka pula, apa yang menarik ialah pengakuan kumpulan muda UMNO ini mengatakan bahawa dasar perjuangan mereka untuk memertabatkan Islam adalah dokongan dari pemimpin mereka yang sedang berkuasa ketika ini. Beliau ingin membersihkan dirinya dari tuduhan rasuah. Beliau ingin membuktikan bahawa beliau adalah Melayu Islam yang tulin. Kalau dulu orang mengatakan beliau jahil tetapi ketika ini beliau berazam mengatasi anggapan jahil itu dengan menggalak dan mengundang para ulamak mengajar di masjid-masjid seluruh negeri Melaka. Yang sangat menarik, beliau sendiri menghadirkan diri dalam pengajian dan pembelajaran ilmu Islam di masjid-masjid. Ini adalah suatu tindakan yang sangat positif dan hendaklah kita menyokongnya.
Kesimpulan dari fakta-fakta dan berita yang Tun Sheikh dengar dan terima ini, yang sangat buat rasa terharu adalah berita keinsafan pemimpin tertinggi UMNO yang berasal dari anak seorang ulamak. Beliau dikatakan kecewa kerana laporan kajian soal selidik diperingkat akar umbi yang dipertanggongjawabkan kepadanya diperlekehkan. Berikutan dari itu beliau telah menggalakkan gelombang biru-hijau dalam UMNO demi kerana agama dan bangsa Melayu. Sayangnya beliau seolah-olah begitu optimis sekali.
Tun Sheikh juga diberitahu, bahawa gelombang biru-hijau UMNO muda ini adalah hasil dari pengaruh minda mantan PM Tun Dr Mahathir yang berjaya menanam semangat Malaysia Boleh. Kumpulan ini juga adalah pengaruh minda mantan TPM yang menggerakkan ABIM dimana Islam berteknologi dengan kontemporari sains. Mereka juga mengaku terpikat kepada budi pekerti dan contoh perilaku Tuan Guru Nik Aziz yang sungguh sederhara selaku Menteri Besar dalam penghayatan dan pengamalan Islamnya.
Tun Sheikh yakin jika mereka berjaya, maka inilah angkatan Melayu Islam Rabaniyun, pemimpin yang memayungi ummah iaitu rakyat berbagai bangsa dan agama di Malaysia. Kepada semua pemimpin Melayu yang mengaku Islam, janganlah menipu Melayu atau kelihatan seperti menipu dalam soal megangkat martabat Islam ini. Insyaallah UMNO Islam akan berjaya dan pejuang-pejuang Islam akan bergabung jika pendekatan UMNO sekurang-kurangnya seperti pendekatan PAS malah bertambah gah dan berkat jika berpadu dengan kepakaran dan kemahiran teknikal atau dengan istilah baru kejuruteraan budaya kontemporari Islam hakiki.
Sehubungan itu kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang ada fikrah Islam, hendaklah segera bergabung tetapi jangan gelojoh. Ini adalah kerana teman-teman yang sedang memimpin UMNO dengan nafsu serakah, akan membunuh karier politik anda kerana mereka sebenarnya syaitan manusia.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Thursday, July 15, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)