WAWASAN POLITIK MELAKA
Pada mula ADUN bersidang di
Melaka setelah PR13, Tun Sheikh mengambil kesempatan untuk hadir menjadi
pemerhati. Bukan apa, ini adalah kerana terdengar ada strateji mampan
pembangkang untuk menang di Melaka sebagaimana Pulau Pinang atau
setidak-tidaknya memecahkan majority 2/3 ADUN Melaka. Ternyata mereka telah
gagal tetapi berjaya menambah keahlian di DUN Melaka. Selain daripada itu ialah
ketegangan yang tercipta setelah tanpa diduga nama Ketua Menteri Melaka
yang baru dilantik tidak mengikut
perancangan skrip politik Melaka. Ketua Menteri yang baru pula adalah orang yang
dianggap muda dan berjiwa muda dan desas-desus disana sini mengatakan beliau tidak
ada pengikut atau pengaruh akar umbi yang kukuh kecuali arahan PM yang mahu
Ketua Menteri baru diberi kerjasama tidak berbelah bahagi oleh segenap ahli
AMNO Melaka.
Pada mata Tun Sheikh, Ketua
Menteri baru Melaka memang seorang yang mempunyai kewibawaan tersendiri dan
ikon Ir atau jurutera beliau banyak melembutkan hati orang Melaka. Pada awalnya
telah kedengaran meluas desas-desus mengatakan beliau diperlekeh oleh pemimpin
veteren dan pengikut-pengikut mereka. Ahli-ahli AMNO Melaka yang veteran juga
diuar-uarkan sebagai pengikut setia kepada pemimpin veteran Melaka. Walau
bagaimana pun hal ini termati dengan sendirinya apabila beberapa ahli dan
pemimpin veteran AMNO Melaka membuat pengumuman yang positif dalam pengucapan
awam mereka menafikan propaganda yang dimainkan oleh kumpulan yang tidak
berpuas hati.
Dari pengucapan awam pemimpin
yang telah lama bersara terutamanya yang aktif di zaman YM Tunku, Tun Abdul
Razak dan Tun Ghafar Baba, jelas pemikiran mereka begitu positif untuk
kepentingan Melayu dan rakyat Melaka. Ucapan-ucapan mereka seolah-olah menyindir dan mengingatkan semula
peranan mereka membantu politik Melayu di zaman mereka memajukan dan membangun
Melaka tanpa niat mengambil kesempatan dan mementingkan diri sendiri dan kroni.
Mereka yakin era Ketua Menteri yang baru dilantik akan lebih bertenaga dan akan
berjaya memainkan peranan menjayakan dasar dan cita-cita kerajaan pusat iaitu memberi
perkhidmatan dengan slogan integriti, transformasi dan transparensi dalam pentadbiran
bagi memastikan rakyat mengecapi faedah dan rakyat diutamakan terlebih dahulu.
Di dalam Sidang DUN, pada
peringkat awalnya memang ketara ADUN BN seolah-olah tidak fokus kepada isu yang
dibincangkan. Tidak kelihatan bersatu minda dan tujuan kecuali masing-masing
menunjukkan kehebatan diri berhujah dan mematahkan hujah pihak pembangkang.
Kadang-kadang keluar dari topik yang dibincangkan. Manakala di pihak
pembangkang pula tiada nampak membantah terhadap apa jua cadangan yang
menguntungkan rakyat tetapi hujah dan penegasan supaya penambahbaikan dan memberi
amaran supaya telus dan transparen. Soal transparen dan integrity sangat
ditegaskan dan ditonjolkan sehingga kadang-kala suasana persidangan terganggu
kerana ketidakpuasan hati ADUN BN seolah-olah merasa pedas sendiri dan disindir
kerana pernah memakan cili padi. Ketika inilah kematangan dan kerasionalan
Ketua Menteri baru selaku ketua BN jelas menonjol. Beliau begitu tenang dan
tidak gopoh dan tidak sekali-kali menyentuh kelemahan pribadi YB ADUN. Sebaliknya
beliau berjaya memberi pencerahan terhadap isu yang kelihatan samar atau isu
yang telah mengelirukan akibat perdebatan yang begitu emosional.
Ketika di waktu rehat, Tun Sheikh
dapat menyimpulkan bahwa ADUN BN banyak membuang masa pada isu-isu di luar
agenda yang tidak berfaedah. Suka bergurau sesama sendiri dan puji-memuji untuk
mengambil hati atau mencari pengaruh. Berlainan sekali di pihak pembangkang.
Mereka duduk berkumpul sesama sendiri dan berbincang mengenai perkara yang akan
dihujah mengikut agenda. Mereka membuat pengkhususan dengan membahagi-bahagikan
perkara yang perlu diperkatakan mengikut giliran yang ditetapkan. Semua
dikehendaki bercakap dan tidak bercakap pada isu yang sama.
Jika rakyat diberi peluang
menonton penuh rakaman ADUN bersidang, mereka tentunya menyesal memilih ADUN BN
kerana ada yang tidak focus dan terlelap padahal itu adalah hari Persidangan
DUN pertama selepas PR 13. Ada juga seperti berkelakuan bersahaja tidak ambil
berat kerana mungkin berasakan diri mereka adalah orang lama yang banyak
pengalaman dan mesti dihormati atau diberi hati oleh YB yang baru. Mereka juga
menunjukkan gambaran bahawa mereka adalah orang politik yang yakin sehingga
hampir-hampir seperti ‘over confident’ dalam perkataan Inggeris.
Apabila Tun Sheikh cuba mendapat maklumat
mengapa sesetengah YB BN menunjukkan sikap sebegitu, Tun Sheikh dapat maklumat
daripada Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan yang veteran mengatakan pengaruh Dato’
Ali masih kuat dan masih mengancam. Mujurlah KM baru begitu tenang dan berkeyakinan
tinggi. Beliau berjaya menutup keaipan ahli barisan yang diketuai beliau
sendiri. Bagi Tun Sheikh, wawasan dan kemajuan negeri Melaka akan jadi
kenyataan hanya jika KM baru berjaya mendisplinkan penumpangnya dan membuktikan
dirinya sendiri tidak rasuah, berintergriti dan transfaren.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sri Negeri Melaka, Mei 2014