Friday, May 21, 2010

PILIHANRAYA SIBU, MELAYU SIBU-SIBU DAN UMNO SEBU

PILIHANRAYA SIBU, MELAYU SIBU-SIBU DAN UMNO SEBU

Pilihanraya Parlimen Sibu telah pun selesai dan DAP tanpa diduga telah menang dengan majority tidak sampai 500. Bertungkus lumus SPR akur kepada bos gelap supaya mengira dan mengira semula dan mencari ikhtiar jangan ada salah pengiraan dan kerosakan.Teruja sungguh SPR kerana arahan bos gelap tetapi pengiraan tidak dapat dilakukan dalam gelap sebaliknya dalam dewan yang terang-benderang. Undi pos talian hayat juga dikira berkali-kali akhirnya sahih PR menang di Sibu dan BN sesak nafas, manakala Melayu UMNO sebu. Ketika peluh kepenatan mengira belum sempat kering dari menitik, bos-bos gelap yang terdiri dari Melayu UMNO yang sebu sudah pun menghilangkan diri bersembunyi atau balik ke Semenanjung.

Dalam sembang kopi dengan kawan-kawan yang majoritinya berkecuali dan sudah naik menyampah dan muak dengan kedegilan dan kesombongan Melayu UMNO yang masih tidak sedar diri, Tun Sheikh dapati mereka juga tidak memihak kepada PR.Ini adalah kerana darah yang mengalir dalam diri kami masih domain Melayu. Pandangan kami lebih kurang serupa iaitu melihat Melayu PKR dan Melayu PAS dalam pilihanraya di Sibu tidak ubah seperti sibu-sibu.Manakala telah tiada harapan yang kami letakkan kepada Melayu UMNO sebu selagi mereka tamak dan buas dengan dunia serakah penuh nafsu.

Sibu-sibu ialah serangga yang dikenali juga sebagai pepatung, terbang dipermukaan air dan kerap mencecah-cecahkan ekornya ke air. Rupanya cantik dan bergaya tetapi banyak kelemahan. Melihat peranan yang dimainkan oleh Melayu PKR dan PAS di Sibu, tidak ubah seperti lagak sibu-sibu itu tadi. Ini dapat diperkira dan dijangkakan dimana sibu-sibu itu tadi akan terhumban entah ke mana apabila nanti datang banjir tsunami atau setelah udara menjadi angin tofan.Adalah sangat malang dan terhina jika ini berlaku, mereka akan merempat dan menjadi pengemis di bumi tanahair nenek moyang sendiri.Manakala Melayu UMNO sebu yang sempat melarikan diri untuk tinggal di luar negara juga akan menjadi muzafir terbuang kerana duit rakyat yang dirembat tidaklah berkat dan jadilah mereka dan keturunan mereka sebagai Melayu jalang yang tidak lagi mengenal agama dan budaya.

Saranan supaya keadaan dan nasib Melayu ini segera diselamatkan ialah dengan perubahan mega agar Melayu UMNO yang berkuasa segeralah kembali ke pangkal jalan. Jadilah pemimpin dan pemegang amanah yang jujur. Belanjalah membiayai kehidupan berdasarkan gaji dan upah yang anda terima sahaja. Usahlah memandai-mandai dan mengambil kesempatan membolot komisyen dan duit-duit rasuah yang sengaja dicipta atas nama pembangunan. Malah mendermalah dan bersedekahlah dari pendapatan yang halal walaupun sedikit. Belajar dan hayatilah agama supaya pemikiran jahat dan nafsu yang buas itu dapat ditahan dan dikekang. Insyaallah wang yang tidak menjadi duit haram gara-gara rasuah akan kembali terkumpul dengan berkat dan belanjalah untuk kepentingan rakyat. Bukan kepentingan diri dan keluarga.

Jika saranan ini dibuat dengan tegas dan serius, bukan sahaja kepercayaan orang-orang Melayu akan kembali pulih tetapi semua bangsa akan gembira dan berkompromi. Namun jika dianalisa dengan terperinci, jika hal ini berlaku, ketuanan Melayu tetap tidak bertahan lama. Paling-paling jika hari ini Melayu UMNO kembali mentadbir dengan jujur, amanah dan bersih, ketuanan Melayu akan bertahan hanya 30 tahun sahaja. Ketuanan Melayu tetap akan hancur dengan sendirinya kerana rakyat Malaysia tidak berbangga lagi dan tidak suka mengaku sebagai Cina tanah besar atau India. Ketika ini pun mereka lebih suka dikenali sebagai China atau India Malaysia. Maknanya mereka nanti akan menuntut persamaan hak dan mereka memang berhak.

Adalah lebih buruk dan sangat malang jika Melayu UMNO yang sebenarnya sedang sebu masih sombong dan ingin berlari laju dalam rentak kuasa sekarang. Jika dianalisa dengan terperinci, Melayu akan tersungkur dan hilang ketuanannya dalam masa 10 tahun atau lebih cepat dari itu. Ini adalah kerana gelombang tsunami bertambah besar. Bayangkan di Sibu, di ladang dan di kawasan yang terpencil sekalipun, di mana kemudahan dan infrastrukturnya belum sempurna tetapi asal penghuni atau penduduk domain Cina walau banyak yang tidak berpelajaran tinggi tetapi mereka sudah mantap dalam pradigma minda dan pemikiran bahawa mereka tidak mahu lagi mengikut telunjuk Melayu yang korup dan tidak jujur sebagaimana yang telah menjadi ikon kepada Melayu UMNO yang sedang memerintah sekarang.

Melayu UMNO mungkin sedar bahawa politik orang bukan Melayu sebenarnya sungguh mantap dan matang. Mereka bijak bermain wayang Cina dalam politik dan kebudayaan bermain wayang dan tarian singga ini bukanlah baru tetapi sejak turun temurun dan berzaman-zaman dengan azam yang tinggi dan tidak pernah berputus asa. Itulah sebabnya mereka boleh hidup dan membina empayar dan rangkaian perdagangan seluruh dunia. Pada waktu yang sama Melayu UMNO terus menari-nari seperti ayam hutan yang di ekornya banyak tahi.

Ingatlah bahawa suka atau tidak peraturan dan undang-undang dunia glokal atau global akan terseragam dengan sendirinya. Akan menonjol dengan gahnya beserta dengan kebudayaan universal. Glokal yang tidak menepati kebebasan global akan terpinggir. Malaysia tidak berhak dan istimewa lagi untuk orang Melayu tetapi adalah hak kepada mereka yang lahir dan yang dapat memiliki kewarganegaraan di sini. Dan mereka inilah akan membunuh hak keistimewaan Melayu dan sekarang idea ini sangat diminati sehingga PR disokong oleh mereka. Suatu ketika nanti orang Melayu dalam PR juga akan hanyut. Melayu PAS tetap begitu pada takuk lama. Manakala Melayu UMNO dan PKR dan lain-lain dicurigai oleh Melayu PAS kerana sejarah dimana mereka pernah ditikam dari belakang oleh Melayu UMNO dan lain-lain yang tidak jujur dan bernafsu buas terhadap kehidupan dunia.

Melayu PAS memang dapat bertahan tetapi apalah yang dapat diharapkan dari segi ketuanan kerana PAS tidak memperjuangkan itu. Mereka tahu dan yakin kerana agama telah menceritakan dan telah memberi tanda-tanda bahawa perjuangan bangsa adalah sia-sia.Mereka dan seharusnya kita sebagai Melayu Islam menyokong mereka kerana yang dikejar adalah janji agama. Dan janji agama adalah janji Tuhan. Ini adalah kerana Islam mengajar bahawa dalam pelbagai usaha dan bidang, kepada pejuang agama dan kebaikan bahawa mereka dijanjikan dengan dua kemenangan. Kemenangan di dunia hasil usaha mereka . Tetapi jika mereka gagal, mereka tetap dianugerah kemenangan di akhirat. Betapa indahnya jika kita atau Melayu UMNO yang sombong memahami dan menjiwai falsafah dan panduan atau peringatan dari Tuhan ini. Jika Melayu UMNO memartabatkan segera agama dengan meminda dan memaku segera perlembagaan sediaada, selagi Islam berkuasa, maka secara tidak langsung melalui agama Islam yang tulen tidak seperti Melayu UMNO yang mengaku Islam sekarang, maka Melayu adalah bangsa bertuan disebaliknya dibumi Malaysia yang bertuah ini.

Mudah-mudahan pandangan ini diperhalusi dan diperhatikan oleh semua orang yang beragama Islam di Malaysia ini dan tidak salah juga oleh orang yang bukan Islam kerana Islam tidak menzalimi hidup dan kepercayaan anda selagi anda tidak berlaku zalim terhadap Islam.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara – dengan adaptasi idea dari bukunya Melayu Dahulu, Melayu Kontemporari dan Melayu Wawasan yang belum terbit.

 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere