Thursday, November 25, 2010

ULAMAK MUDA & KEPIMPINAN UMNO GELOJOH?

ULAMAK MUDA DAN KEPIMPINAN UMNO YANG GELOJOH?

SUDAH TERANG LAGI BERSULUH & KELEMAHAN PERJUANGAN



Krisis kelemahan kepimpinan Tun Abdullah telah memaksa para pemikir UMNO menyiasat dan mencari kelemahan hingga ke akar umbi. Adalah sangat menarik apabila diantara resolusi dan ketetapan yang perlu diambil untuk mengembalikan keyakinan ahli khususnya dan keyakinan masyarakat Melayu umumnya segera dilaksanakan. Usaha dan tindakan pantas seolah-olah berjalan lancar dan cekap tetapi hanya berlaku dalam kelompok pertengahan. Akar umbi masih tidak berpuashati dengan kuasa veto birokrasi tertinggi dalam UMNO.

Apa yang menjadi isu utama ialah ketidakpuasan hati akar umbi terhadap sikap pemegang amanah dalam parti dari peringkat bahagian hinggalah ke peringkat tertinggi. Ini adalah kerana kelompok itu menikmati kemewahan yang dianggap tidak seimbang dengan jasa dan perkhidmatan yang disumbangkan. Isu politik wang dan rasuah serta salah menggunakan kuasa dan wang rakyat menjadi isu realiti yang tidak dapat disembunyikan. Kemana sahaja biro penyiasat pergi untuk mendapatkan dan mengumpul maklumat, didapati maklumat yang diberi adalah serupa. Mereka mendapati akar umbi yang merupakan kumpulan teramai dalam UMNO tidak menyesal akan memberi undi kepada pembangkang jika isu dan masalah yang dikemukakan tidak diambil perhatian sebagai satu pengajaran.

Ahli-ahli akar umbi termasuk penyokong di atas pagar mengakui masih menyayangi parti tetapi mereka akan menolak pencalunan ahli UMNO dalam pilihanraya XIII jika amalan rasuah dan salah guna kuasa terus berleluasa. Salah guna kuasa bermaksud mengambil kesempatan mengumpul harta dan kekayaan. Inilah minda yang sangat berbahaya dan akan merosakkan kemurnian perjuangan UMNO. Akar umbi yakin dan terbukti minda kepimpinan yang diharapkan telah menggunakan platform yang disediakan UMNO untuk kepentingan diri dari mengutamakan akar umbi. Mereka dianggap tidak amanah kerana setelah diberi peluang menerajui birokrasi, mereka akan terus berusaha dan dengan mudah mencari wang dan kemewahan hidup sendiri.

Oleh kerana peluang terbuka luas dan negara juga dianggap mewah maka dengan mudah mereka dapat mengeksploitasi amanah yang diberi untuk kepentingan diri dan mereka benar-benar berjaya menunjukkan kemewahan hidup jika menyertai dan aktif dalam UMNO. Tanpa mereka sadari sebenarnya secara otomatis telah berlaku persaingan diantara mereka dan setiap sen peluang tidak pernah dipersiakan. Sehingga tanpa sadar mereka kelihatan seperti anjing merebut bangkai dan perlakuan melanggar disiplin parti dan maruah agama tidak lagi dihiraukan. Akar umbi tidak dapat menghalang mereka kerana itulah budaya dalam perjuangan UMNO yang memakai banyak topeng.

Satu perkara yang akar umbi telah sarankan ialah agar kembali segera kepada nilai-nilai murni Islam kerana semua ahli beragama Islam dan Islam itu menjadi junjungan parti pada peringkat awal penubuhannya. Mereka mengharap isu agama mestilah diselesaikan dengn penuh berhemah terutama apabila bertembung dengan parti pembangkang PAS. Selama kedapatan pertembungan isu dan polimik agama, UMNO kelihatan begitu jahil dan berhujah dengan kejahilan seperti orang yang bukan beragama Islam. Apabila disiasat memang ada kebenarannya kerana kepimpinan UMNO tidak mendalami pengetahuan agama Islam. Mereka hanya menggunakan fatwa dari beberapa ulamak UMNO yang tidak diberi kuasa dan tidak berwibawa. Sehubungan itu suara kuasa pribadi UMNO kelihatan lebih lancang daripada suara hak hukum dari pengetahun ulamak UMNO. Jadilah mereka seolah-olah ulamak suk atau ulamak ynag buruk dan terhina kerana ilmu mereka kelihatan dipersendakan dan dipergunakan pada tempat yang salah.

Maka keluarlah satu saranan yang sangat baik supaya semua ahli terutama kepimpinan UMNO agar kembali kepada nilai-nilai murni agama. Caranya ialah melatih imam dan ulamak muda dengan harapan pada suatu hari nanti mereka sendiri akan menjadi pemimpin atau sekurang-kurangnya sebagai penasihat kepada pemimpin UMNO yang tidak ahli dalam hukum hakam dalam Islam. Tertubuhnya kumpulan imam dan ulamak muda rupa-rupanya cepat dihidu oleh syaitan-syaitan yang bertopeng manusia maka ditekanlah kumpulan imam dan ulamak muda yang menjadi harapan masa hadapan.

Pengerusi penyiasat UMNO ke akar umbi juga tercabar dan demi menjaga kepentingan dirinya, beliau juga berlepas tangan terhadap nasib imam dan ulamak muda UMNO. Dengan melihatkan scenario nasib mereka maka telah tergambar bahawa mereka juga bakal menjadi ulamak buruk atau ulamak suk UMNO yang diperlekehkan oleh kepimpinan UMNO sendiri.

Di waktu yang sama, para pemimpin UMNO yang bertopengkan syaitan manusia berjaya menunjukkan prestasi pemulihan hasil siri-siri pembohongan. Kesombongan dan budaya rasuah bukan sahaja gagal diatasi malah menyemarakkannya lagi. Syaitan manusia memang mempunyai wawasan sungguh jauh kerana mereka dapat menghidu jika dibiarkan imam dan ulamak muda hidup dengan selesa di dalam UMNO maka sudah tentu periuk nasi mereka akan tertutup atau dicurah pasir kerana budaya hidup mereka sudah sebati dengan kemungkaran yang tersembunyi.

Sehubungan dengan itu usahlah bermimpi pada suatu hari nanti Melayu Islam UMNO akan bersatu dengan Melayu PAS kerana PAS sudah bersumpah mengikut ajaran Nabi SAW supaya tidak tertipu lagi memasuki lubang penipuan yang sama ciptaan UMNO. PAS hanya bersatu jika UMNO sanggup berkorban menukarkan perjuangan daripada Melayu kepada Islam. PAS sungguh jauh berwawasan kerana mengikut petunjuk agama bahawa manusia akan bersatu di bawah panji-panji Islam, selain dari itu mereka akan menuju kehancuran kerana nafsu dan kegelojohan. Itulah nasib UMNO jika berterusan menghina Islam yang digunakan untuk mencari pengaruh, kuasa dan kepentingan diri.
Adakah kita yang berada di akar umbi dan menyayangi UMNO sanggup melihat kehancuran diri sendiri kerana kebodohan, kejahilan , kesombongan dan sikap gelojoh…!?

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere