Monday, January 21, 2013

SEJARAH PENGARUH DAN ACUAN SULTAN: SULTAN-SULTAN MELAYU PERLU DISUNATKAN


SEJARAH PENGARUH DAN ACUAN SULTAN: SULTAN-SULTAN MELAYU PERLU DISUNATKAN

Semenjak era Tun Dr Mahathir, cerita dan karenah sultan-sultan dan para kerabat istana yang negatif sering terpapar sehingga rakyat berjaya dipengaruhi dan menyokong rancangan tersirat beliau untuk menghapuskan kekebalan raja-raja. Jika diambil fakta  latar belakang dan sejarah perjuangan Dr. Mahathir sejak di alam persekolahan, beliau memang tidak menggemari golongan berdarah kerabat diraja kerana dianggap tidak bertanggungjawab serta lalai terhadap nasib rakyat. Kerabat diraja dianggap penyebab orang Melayu mundur dan terkongkong dengan kepercayaan kepada daulat, tulah dan tidak boleh menderhaka.

 Sejak sebelum pendudukan Jepun,  sebenarnya  isu sultan dan raja-raja Melayu yang tidak menghiraukan rakyat kerana telah menyerahkan segala hal pentadbiran kepada Inggeris telah dibincang hangat dalam akhbar-akhbar.Tokoh wartawan atau penulis yang berani dan menjadi idola dan model dalam mengkritik kealpaan raja-raja dan kerabat mereka ialah Dato’ Onn Jaafar. Beliau dilihat sebagai seorang tokoh yang pantas membongkar dan penulisannya sangat dipercayai dan berpengaruh kerana beliau membesar di istana.

 Kerabat diraja dianggap kelompok elit yang tidak berguna malah menyusahkan. Nama dan kedudukan mereka telah  digunakan oleh penjajah bagi memaksa dan menggerakkan keinginan penjajah  kepada rakyat jelata. Pada kenyataannya  raja-raja dan para kerabat dianggap hidup dalam alam mereka sendiri yang sengaja diangkat dan dijaga oleh Inggeris sebagai berprestij tinggi  dengan niat mempergunakan mereka untuk menjajah rakyat. Para kerabat istana telah dibentuk mengikut acuan penjajah sehingga mereka  berfikir dan menyangka bahawa mereka berkuasa dan hebat di sisi penjajah yang berselindung disebalik istilah  penanung dan penasihat. 

Terdapat catatan dan fakta sejarah dimana Dato’ Onn telah dipujuk oleh pembesar Johor supaya tidak menolak sultan. Abang angkat beliau iaitu Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim misalnya adalah orang kepercayaan Sultan Ibrahim Johor dan sahabat karib bahkan saudara angkat beliau iaitu Tengku Mahkota Johor Tengku Ismail ibni Sultan Ibrahim, pernah meminta dan memujuk Dato’ Onn jangan menolak kesultanan Melayu kerana telah menjadi lambang kedaulatan, tamaddun dan sebagai penaung agama Islam dan kebudayaan  Melayu sejak turun temurun. 

Apabila Dato’ Onn bersetuju untuk tidak mengucilkan kedudukan raja-raja Melayu, beliau telah dijauhi oleh Dato’ Abdul Rahman Mohd Yasin dengan para pengikut dan ahli-ahli persatuannya iaitu Pesatuan Melayu Johor. Dato’ Abdul Rahman yang berasal dari Muar ialah seorang pembesar Johor  yang liberal dan moderat. Beliau tidak suka pemikiran Melayu ditakuk lama yang  feudal. Beliau yakin orang Melayu akan bertambah maju melalui pendidikan dan bukan lagi bergantung kepada raja. Orang Melayu mesti berani membebaskan diri daripada kongkongan minda feudal. Beliau berjuang memberi  kefahaman kepada masyarakat supaya bersatu padu menuntut kebebasan dan kemerdekaan dan memerintah tanpa raja.

Apabila Dato’ Onn bersetuju untuk mengekalkan kedaulatan raja  hanya secara perlambangan dalam perjuangan beliau menentang Malayan Union dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu, Dato’ Abdul Rahman dengan keluarga besarnya yang berpengaruh bersama-sama pengikut beliau telah memberi  kerjasama tetapi tetap tidak menganggotai UMNO. Mereka hanya menganggotai UMNO pada tahun 1951 setelah Dato’ Onn keluar daripada UMNO. Dato’ Abdul Rahman Mohd Yasin telah dipujuk oleh YM Tunku Abdul Rahman Putra demi  perpaduan dan kepentingan Melayu yang sungguh bersemangat mencita-citakan kemeredekaan ketika itu.

Setelah merdeka, fungsi dan peranan raja-raja Melayu sebenarnya berjaya ditekan. Dalam perlembagaan, kuasa raja adalah tertinggi dan pada gambarannya raja-raja Melayu adalah tunggak kedaulatan dan kekuasaan yang di ketuai oleh Yang DiPertuan Agong. Pada hakikatnya, kuasa Seri Paduka Baginda ini diuar-uarkan sebagai perlambangan sahaja. Jika dikaji secara mendalam, UMNO atau kerajaan Perikatan dan BN ketika ini telah mengambil alih kuasa penjajah dan memerintah atas nama raja Melayu. Raja Melayu hanya sebagai lambang dan mereka diberi segala kemudahan dan pelbagai keistimewaan supaya tidak mengganggu dan campur tangan dalam urusan pentadbiran kecuali dalam soal adat, agama dan kebudayaan.

 Pada hakikatnya dalam soal agama ini juga para raja-raja Melayu mendapat tekanan sehingga urusan pentadbirannya juga diserahkan kepada majlis-majlis agama yang dipengaruhi oleh kuasa ekserkutif menteri kabinet. Apabila para sultan dilihat aktif dan cuba campurtangan, aib-aib mereka dan kelalaian mereka dibongkar oleh kerajaan UMNOBN. Jika sultan kelihatan cenderung kepada agama atau menguntungkan pihak pembangkang, mereka akan ditekan dengan pelbagai  tokmahan yang dianggap tidak patut dizahirkan oleh para sultan. Jika kerajaan UMNOBN sendiri hilang pengaruh rakyat terutamanya daripada kalangan masyarakat Melayu, mereka akan menggunakan sultan untuk kepentingan mereka.

Maka sejak merdeka hingga ke hari ini rakyat hanya terdedah dengan perlakuan sultan dan kerabat baginda yang hanya berkisar dalam keluarga baginda atau hal-hal peribadi sahaja. Tentunya kita tidak lupa cerita sultan melarikan kereta mewah untuk menggelak cukai, sultan atau kerabatnya berkhwin dengan orang kebanyakan atau artis, sultan atau kerabat baginda sibuk bersukan, ada juga cerita anak sultan atau sultan sendiri memukul petugas dengan kayu hoki atau kayu golf, sultan atau kerabatnya buat hal atau bergaduh di kelab-kelab, sultan gering, sultan mangkat, upacara kenaikan tahta, perlantikan tengku mahkota atau raja muda, sultan melakukan lawatan diraja, melancong atau berziarah di bulan puasa,  sultan, anakanda atau kerabat yang cuba merampas tahta, percubaan melanggar atau meminda perlembagaan negeri, sultan atau kerabat merampas atau menuntut harta waris, sultan menampar rakyat atau pembesar dan pelbagai cerita dan karenah. Semuanya tersibar  dan diuar-uarkan dengan tujuan tertentu.

Pihak istana, sultan dan para kerabat juga sering dipergunakan oleh UMNOBN apabila terasa pengaruh mereka terancam. Ketika hal ini berlaku kelihatan sangat sultan tiada kuasa kerana memberi  kenyataan yang memihak kepada kerajaan. Kadang-kadang kenyataan dari istana kelihatan begitu bias dan ada juga berciri dunggu kerana niat dan tujuan jahat  kerajaan tidak dapat dikesan oleh sultan dan para kerabat  yang selama ini seolah-olah terhutang budi kepada kerajaan kerana menyediakan kemewahan hidup dan memastikan keistimewaan mereka. Sultan Selangor, Sultan Pahang, Sultan Perak, Sultan Johor malah boleh dikatakan semua sultan tidak ada yang terlepas dari perangkap dan penipuan yang dimainkan oleh pihak kerajaan ke atas baginda atas nama daulat atau jangan menderhaka.

Oleh kerana telah ramai sultan yang telah mula mendapat penasihat agama yang ikhlas dan dari orang yang ahli sebenarnya, maka adalah sangat baik dan sesuai agar para sultan dan para kerabat yang dimuliakan diberi didikan sejak kecil terhadap agama dan dididik supaya mengikut sunnah. Jangan biarkan mereka seperti dahulu yang telah dipaksakan mengikut acuan penjajah sehinggalah sekarang. Maka itulah maksud perkataan Melayu "disunatkan" (sunah) apabila kita mahu mereka menjadi sultan-sultan Melayu yang hebat, mulia  dan mengamalkan budaya dan agama Islam disamping tidak mengenepikan kebudayaan dan adat Melayu yang tidak bercanggah dengan syariat Islam. 

Usaha penekanan terhadap amalan dan pengetahuan Islam adalah sangat penting diterapkan kepada bukan sahaja para kerabat istana tetapi penekanan dan perancangan awal hendaklah ditumpukan kepada bakal menjadi sultan sebagaimana apa yang telah dilakukan oleh penjajah atau pemerintah kafir dalam sesebuah Negara Islam. Malah ada catatan sejarah dimana bakal sultan yang masih peringkat janin lagi telah dijaga dan dibentuk dan dipastikan lahir dan membesar mengikut acuan mereka.

Sudah sampai masanya perundangan Islam dikuatkuasakan kerana Negara ini adalah Negara Islam mengikut perlembagaan ditambah pula undang-undang Islam ini tidak akan mendatangkan masalah kepada rakyat yang beragama lain kerana ia tidak dikuatkuasakan kepada mereka. Apabila semua sultan dan kerabat baginda telah faham dan mengamalkan budaya agama dan terdidik dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang tidak bertentangan dengan Islam, maka adalah wajar kuasa ekserkutif mereka dikembalikan dan ditadbir oleh majlis syura atau ulama selaku penasihat mutlak dan pada waktu yang sama tidak perlu ada kekuatiran atau perlu bimbang jika jawatan perdana menteri boleh juga dijawat oleh bukan Melayu mengikut perlembagaan Negara.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Parlimen KL 18.1.2013
 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere