Thursday, May 10, 2012

Penggerak Reformasi Indonesia


Penggerak Reformasi Indonesia

Ketika di era 1980-an, sebenarnya  banyak mahasiswa Indonesia yang pro kebebasan rakyat secara demokrasi dan anti rasuah dan nepotisma  telah menjadi tenaga pengajar dan Tun Sheikh difahamkan bahawa pihak pengurusan universitas memberi galakan secara halus juga kerana menyokong suara mahasiswa yang bernilai kemanusiaan yang universal tetapi mereka tidak melakukannya secara terang-terangan kerana mereka juga diperhatikan oleh spy-spy hantu pemerintah.

Di luar kampus, mereka yang telah berjaya dan memimpin persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO) sudah mula berani memanjang-manjangkan berita angin yang mengatakan sebenarnya kroni Suharto yang telah merancang untuk mengambilalih kuasa daripada Presiden Sukarno dan telah melaksanakan pelbagai strategi ke arah itu untuk melemahkan pengaruh Presiden Sukarno yang sangat berjasa itu. Mereka berpegang kepada alasan dan pandangan yang berasa bimbang dasar sosial dan liberal Sukarno akan menyebabkan pengaruh komunis berkembang pesat dan akhirnya menguasai politik negara. Ramai di antara pemimpin rakyat dan mahasiswa menganggap alasan ini sangat berpengaruh tetapi hanyalah perspektif dan spekulasi.

Terdapat juga maklumat, para graduan Indonesia yang berminat  menyertai pasukan beruniform  kebanyakan hanya suka memasuki angkatan laut dan udara daripada angkatan darat sejak 1970-an. Ini adalah kerana angkatan darat dan kepolisan dirasai terlalu bias kepada pemerintah dan mendapat banyak keistimewaan. Sejarah perjuangan dan kesetiaan mereka sangat dibanggakan sehingga ada norma memperendahkan keupayaan dan kemecemerlangan pasukan udara dan laut. Pasukan Laut dan udara pula terkenal dengan keterbukaan kerana sering berinteraksi di peringkat antara bangsa dan prihatin terhadap nasib rakyat bawahan.


Pada era berlaku reformasi, mereka yang berkhidmat dengan angkatan laut dan udara telah berpangkat senior. Mereka dapat melihat kemurniaan nilai kemanusiaan sejagat yang diperjuangkan dan mereka juga mengetahui peraturan menggunakan senjata dengan budibicara terpuji sebagaimana ditetapkan di peringkat antara bangsa. Mereka berasa bertanggongjawab mengawal keamanan dan berusaha tidak menggunakan senjati api kepada rakyat yang tidak bersenjata.

Rakyat dari kelompok sosial pertengahan dan sederhana juga tidak menggemari cara dan budaya tindakan pemerintah menghantar kereta prisai atau kereta kebal ke kampus untuk menakut-nakutkan mahasiswa jika ada krisis kecil di kampus. Di pihak kepolisan dan tentera pula mereka kelihatan agak bengis dan sombong dengan golongan mahasiswa kerana sejarah perjuangan kemerdekaan dan sosial mereka adalah tercetus dari pergerakan pelajar sehingga tercipta Sumpah Pemuda. Pemerintah khuatir sejarah akan berulang kerana mahasiswa berupaya memainkan peranan membangkit sesuatu semangat dan perjuangan rakyat dan mencetus keadaan huru-hara.

Di era 1990-an kegiatan pergerakan mahasiswa yang anti kepada dasar-dasar dan cara pemerintahan yang dianggap ala tentera bertambah subur di universiti atau pusat pengajian tinggi swasta. Ini adalah berikutan sedikit kebebasan yang terpaksa diberi kepada mahasiswa swasta oleh pihak pengurusan universiti yang khuatir mereka akan kehilangan pelajar dan terpaksa menutup universiti yang diusahakan mereka kerana masalah kemelesetan ekonomi global. 

Diwaktu yang sama,  kesan kemelesetan ekonomi global  seperti tidak mendatangkan masalah kepada golongan berada dan kroni-kroni yang dekat dengan parti pemerintah dan keluarga dan saudara mara atau kaum kerabat presiden dan para menteri. Hanya segelintir menteri sahaja yang berani membawa isu penderitaan dan kesempitan hidup rakyat biasa ke parlimen dan sering tidak mendapat perhatian. Ini sangat dikesali oleh golongan pertengahan apabila cengkaman kemelesetan ekonomi telah mula dirasai mereka. Mereka berasa cemburu cara hidup golongan kroni pemerintah dan secara tidak langsung mereka menyokong perjuangan para mahasiswa menuntut demokrasi tulen dan menghapus rasuah, kronisma dan nepotisma.

Terdapat juga maklumat dan fakta bahawa mahasiswa yang mampu belajar dengan biaya orang tua itu lebih terdedah dengan perkembangan, pergerakan dan kebebasan para mahasiswa di luar negara kerana ada di antara mereka sering ke luar negara berikutan kebanyakan mereka adalah dari keluarga yang berada dan berkemampuan. Mereka juga berasa tertekan kerana sering disindir sebagai kelompok yang mampu kerana hasil rasuah yang dimakan oleh orang tua mereka. Mereka berazam dan turut sama berjuang untuk mengubah budaya rasuah dan ini terbukti berlaku secara aktif di universiti-universiti dan kolej swasta yang terkenal dan mahal seperti Tri Sakti di Jakarta.

Pergerakan dan kemuncak perjuangan supaya pemerintah memperbaiki proses demokrasi ini terus berkembang di kalangan para pelajar di pusat pengajian tinggi dan apabila demontrasi di Tri Sakti dipatahkan oleh pemerintah dengan 3 mahasiswa parah dan terkorban, maka berlaku pergabungan segala pergerakan yang anti rasuah dan nepotisma dan pemerintahan ala tentera oleh para mahasiswa sama ada swasta dan universiti pemerintah. Kemuncaknya ialah demontrasi jalanan yang diadakan setiap minggu oleh para mahasiswa dari 1997 hingga 1998 dan akhirnya pemerintah terpaksa mengumumkan proses pilihanraya yang lebih terbuka dan berciri demokrasi pada tahun 1999.

Hari ini buah reformasi Indonesia telah menjadi kenyataan tetapi sebenarnya belumlah menyeluruh dikuasai rakyat atau berdemokrasi tulen. Ini adalah kerana ketika pengaruh angkatan bersenjata ditolak, banyak huru-hara dikatakan berlaku sehingga kerajaan rakyat pimpinan BJ Habibi, Abd Rahman dan Megawati Sukarnoputri terpaksa melepaskan dan memberi beberapa daerah dengan kuasa otonomi malah pengaruh atau kuasa mereka sebagai presiden rakyat pun tidak bertahan lama kerana kerap tergganggu dan dipaksa bertukar tangan. Ada yang mengatakan ini semua adalah peranan yang dimainkan oleh kepimpinan yang taksub dengan angkatan bersenjata. Apabila Susilo Bambang yang berlatar belakang pemimpin angkatan bersenjata dan cenderung kepada demokrasi mengambil alih, barulah kelajuan pemilihan dan pertukaran presiden yang dianggap berlaku terlalu kerap dan kurang baik itu menjadi perlahan.

Apabila berkesempatan, insyaallah Tun Sheikh akan menulis sedikit berkenaan kejayaan reformasi yang diperjuangkan oleh mahasiswa Indonesia. Kebetulan ketika berlaku reformasi Indonesia pada tahun 1997, 1998 dan 1999, Tun Sheikh berada di sana dan  menjadi saksi mata kerana bertugas membuat penyelidikan rasmi. Selain itu,  sejak pulang pada tahun 1986 sehingga ke hari ini hubungan Tun Sheikh dengan teman-teman dan kawan-kawan di sana masih berterusan. Kebanyakan mereka telah menjadi pensyarah kanan dan memiliki Phd dan tidak berkeberatan memberi informasi perkembangan semasa dan sejarah pergerakan reformasi mahasiswa yang bernilai kemanusiaan sejagat atau universal. Beberapa faktor sama ada serupa atau berlainan di antara reformasi Indonesia dan Malaysia akan dapat memberi gambaran penyebab reformasi Malaysia lambat atau kurang berjaya.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Perjuangan dan Pergerakan Pelajar Sebelum Reformasi Indonesia 1998


Perjuangan dan Pergerakan Pelajar Sebelum Reformasi Indonesia 1998

Pengalaman Tun Sheikh melanjutkan pelajaran di Universitas Indonesia dan tinggal selama 4 tahun di sana telah memberi kesempatan bergaul dan melihat perjuangan mahasiswa di sana. Mereka bergerak dengan aktif dan mengadakan pelbagai aktiviti pelajar. Dalam program-program kampus yang dilaksanakan itu,  boleh dikatakan tiada unsur-unsur menanam kebencian kepada pemerintahan ala tentera oleh Presiden Suharto. Jika mereka disyaki dan tertangkap maka pada kebiasaannya kebolehan dan bakat mereka akan hilang begitu sahaja kerana disingkir dari kampus dan dipantau sehingga mereka lumpuh atau tidak berdaya dan tidak dapat bangun mencari pengaruh akibat dari hukuman yang halus itu.

 Ketika Tun Sheikh baru sampai, pihak kedutaan menasihat, mengingat dan memberi amaran supaya jangan terlibat dalam aktiviti mahasiswa jika berbau anti dasar-dasar pemerintah. Sebagai mahasiswa, Tun Sheikh terpaksa melaporkan segala aktiviti pelajar atau kampus yang Tun Sheikh wajib ikuti tetapi tidaklah dilaporkan kegiatan yang mempengaruhi minda mahasiswa menolak dasar-dasar pemerintah. Tun Sheikh ikut dan dengar tetapi tidak aktif kerana Tun Sheikh berstatus mahasiswa asing. Dalam kampus,  Tun Sheikh bergaul dan mesra dengan semua tetapi tidak  begitu rapat. Maksudnya  mesra tetapi tidak sampai terlalu rapat yang betah iaitu bertukar-tukar cerita peribadi. 

Mereka mengetahui semua mahasiswa atau pelajar pengajian tinggi Indonesia adalah terdiri dari golongan yang memiliki akal kecerdekan kerana pemilihan mereka yang berpeluang menjejakkan kaki ke kampus setelah lulus peperiksaan Sekolah Menengah Atas (SMA) begitu ketat dan persaingannya begitu ramai tidak seperti di Malaysia. Yang terbaik sahaja yang berjaya dan yang berjaya itu hanya lebih kurang 10-15 % sahaja dari keseluruhan yang memohon. Dengan lain perkataan Indonesia ketika itu hanya melepaskan 1% sahaja rakyatnya ke pengajian tinggi setelah tamat SMA (SPM di Malaysia). Dengan itu terlalu banyak golongan cerdek yang tidak berpeluang menapak ke kolej atau menara gading berasa kecewa. Bayangkan daripada sejumlah 300 juta hanya 3 juta berpendidikan tinggi dan daripada 3 juta ini jika diperinci lagi maka akan terserlah rakyat Indonesia yang memiliki ijazah Phd, sarjana dan sarjana muda atau diploma adalah beberapa kerat sahaja daripada sejumlah 300 juta rakyat.

 Mereka yang gagal akan menjadi rakyat biasa walaupun tidak marhein tetapi bergaul rapat dengan golongan itu. Di luar kota rakyat menikmati kehidupan yang sangat sederhana sehingga untuk menghantar anak ke sekolah kerajaan setelah tamat sekolah dasar (sekolah rendah), kebanyakan tidak berkemampuan. Untungnya ramai para pelajar dan  tokoh bijak pandai Indonesia tidak lupa daratan untuk membantu bangsa mereka sendiri apabila mereka berpeluang melihat perkembangan dan kemajuan pendidikan Negara luar. Mereka sedar dasar pemerintah yang sengaja mengawal kuota golongan cerdek pandai kerana berpandangan jika terlalalu ramai yang bijak, Negara tidak akan seimbang, banyak akan tidak berminat menganggotai angkatan bersenjata yang boleh diperintah-perintah dan jika banyak golongan terpelajar, mereka akan hilang kuasa. Kebangkitan rakyat melalui bijak pandai ini atau secara demokrasi tulen tanpa perkongsian dengan kuasa angkatan bersenjata tidak diyakini oleh pemerintah ala tentera akan dapat mewujud dan mengawal keamanan.

Di kampus terutama yang dimiliki pemerintah, memang banyak hantu-hantu mahasiswa  yang terdiri daripada pelajar yang diupah, yang terpaksa, yang dihantar dan penyamar yang bertugas memantau aktiviti kampus dan melapor  kepada pemerintah. Jika di Malaysia mereka ialah SB tetapi di sana selain SB banyak lagi hantu dan puaka yang ditindik. Pemimpin pelajar atau mahasiswa yang berbakat dan membawa perwatakan yang tidak suka kerajaan diekori terus dan dalam keadaan tanpa diketahui kita akan mendapati tokoh kepimpinan mahasiswa yang lantang itu dilapor telah berpindah universitas tetapi sebenarnya ditahan atau dibunuh bakat dan masa depannya jika dikhuatiri akan menjadi pemimpin menentang kerajaan. 

Oleh kerana itu kepimpinan mahasiswa sangat berhati-hati dan tekanan yang dihadapi sebenarnya telah meransang mereka bertambah bijak membuat program dan merancang aktiviti kampus sehingga tidak kelihatan atau boleh didakwa sebagai menghasut atau anti kerajaaan. Mereka bijak menyampaikan mesej yang tersirat tanpa boleh didakwa mengikut undang-undang tetapi sampai dengan jelas dan dapat mempengaruhi pelajar. Mereka bijak menyampaikan objektif yang tersirat secara kias dan sindiran mahupun secara gurauan atau jenaka. Pelbagai permainan dan bahasa kampus tercipta sesama mereka. 

Golongan mahasiswa Indonesia tidak terlibat dengan politik. Walau bagaimana  pun mereka seolah-olah diiktiraf sebagai pemerhati perjalanan politik. Tiada catatan pemimpin atau bekas mahasiswa  menyertai politik dengan cepat dan terus diangkat atau dilantik sebagai orang penting parti. Mahasiswa mempunyai pengaruh dan kuasa tersendiri. Mereka memiliki sejarah perjuangan yang murni dalam pembentukan negara Indonesia dan sering menjadi pengimbang sesuatu dasar dari luar parlimen. Jika dasar pemerintah kelihatan tidak memberi faedah kepada rakyat atau merugikan rakyat, mereka akan mengadakan forum, seminar, debat di kampus dan juga adakalanya berkerjasama dengan persatuan-persatuan sosial atau NGO. Resolusi dan memorandum dihantar oleh wakil mereka kepada pemerintah. Jarang pandangan mereka diabai atau diperlekeh. Tetapi jika berlaku pengabaian berterusan, mereka keluar ke jalanan mengadakan demonstrasi.

Jika kerajaan BN menyedari bahawa tuntutan Bersih bukanlah daripada orang awam yang kuarang berpelajaran, maka mereka sepatutnya segera memberi respon sesuai dengan taraf keintelektualan  pemimpin Bersih. Ternyata Bersih diwakili oleh para peguam dan lebih kurang 80 NGO lain yang tiada berkepentingan politik kecuali menuntut ketelusan dan intergriti yang amanah dan jujur. Tetapi mereka diperlekeh dan dituduh termakan hasutan dari parti politik pembangkang. BN terus angkuh dan terus memberi tekanan tanpa menyadari bahawa mewujudkan tekanan kepada golongan bijak pandai akan membelit dan menyusahkan BN sendiri. Bersambung….. ke Penggerak Reformasi Indonesia.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Damansara KL 10.5.2012
 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere