Jadikan Universiti Sebagai Sebuah Negara Yang Mempunyai Kerajaan Hasil Politik Kampus
Diantara dua atau tiga pemimpin kontemporari yang terkenal hasil berpolitik di kampus sebelum AUKU dikuatkuasakan ialah seperti Tun Dr Mahathir, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali dan Muhamad Sabu. Mereka berjaya menarik perhatian kerajaan terhadap isu-isu yang dibawa mereka. Penglibatan universiti menjadi begitu terkenal dan pengaruh siswa-siswi berkempen juga memberi keuntungan besar kepada parti-parti politik yang mempengaruhi mereka.
Oleh kerana mereka sangat berpengalaman menggerakkan aktiviti politik di kampus, mereka tahu bagaimana pengaruh dan aktiviti boleh berlaku dan digerakkan. Mereka mengetahu kesan-kesannya dan sehubungan dengan itu, demi menjaga kepentingan mereka, mereka telah bersetuju AUKU dikuatkuasakan. Mereka ialah Dr Mahathir, Anwar dan Ibrahim Ali adalah juga tokoh yang telah mencadangkan dan bersetuju Akta Universiti dikuatkuasakan dan menghalang para siswa-siswi terlibat dalam politik. Alasan utama mereka ialah berpolitik di kampus telah melemahkan para siswa-siswi dalam pembelajaran, sangat banyak membuang waktu dan mudah terpengaruh malah dipergunakan oleh parti-parti politik untuk mempengaruhi rakyat atau meracuni pemikiran masayarakat. Pokoknya impak negatif yang timbul adalah lebih banyak daripada kebaikan dan positifnya.
Sejarah pula telah merekodkan bukti penglibatan siswa-siswi dalam politik di era mereka telah menyebabkan pihak kerajaan terutamanya, dipandang serong atau agak negatif oleh masyarakat kerana masyarakat terpengaruh dengan maklumat dan aktiviti yang dimainkan oleh para siswa-siswi. Pada waktu yang sama hanya universiti-universiti yang tidak aktif dalam politik saja yang terkenal dengan jumpaan-jumpaan ilmiah baru samaada dalam bidang sains mahupun sastera budaya. Kecemerlangan universiti-universiti berkenaan amat merisaukan golongan pemimpin kerana kebanyakan pelajar atau para siswa dan siswi yang sibuk berpolitik adalah siswa-siswi Melayu manakala yang tekun dan berjaya cemerlang dalam akademik di universiti adalah pelajar-pelajar bukan Melayu.
Pada hakikatnya, memang ada kebenarannya bahawa banyak perkara dan hal atau isu yang tidak didedahkan oleh kerajaan telah diuar-uarkan oleh tokoh-tokoh politik kampus. Kerajaan telah berhadapan banyak halangan, masalah dan kebocoran maklumat kerana para kepimpinan politik di kampus berjaya menghebahkannya. Ini adalah kerana mereka sendiri turun padang dan membuat kajian. Sebanyak sedikit penglibatan para siswa dan siswi berpolitik telah mengurangkan populariti tokoh politik. Banyak juga isu-isu penyelewengan dan kepentingan pribadi terbongkar sehingga menyusahkan mereka untuk bergerak dan bertindak. Perkara yang sangat merisaukan tokoh-tokoh politik ialah penghakisan pengaruh dan hilangnya kewibawaan diri mereka akibat peranan yang dimainkan oleh politik dari kampus-kampus.
Justeru, salah satu mengapa AUKU dikuatkuasakan sebenarnya adalah untuk menyelamatkan kewibawaan dan kedudukan mereka dalam politik tanahair. AUKU juga sebenarnya sekaligus memberi advantage kepada pihak pemerintah iaitu parti yang menerajui kerajaan kerana hanya pihak kerajaan sahaja yang boleh akses kepada mereka. Mereka akan mudah dipengaruhi dan dibentuk sebagaimana yang diacuankan oleh parti politik yang berkuasa atas nama kerajaan.
Akibat dari penguatkuasaan AUKU, cetusan minda yang aktif, bernas dan agresif yang bebas lahir dari anak-anak muda di universiti menjadi mati. Para siswa siswi tidak tahu dan tidak berminat dengan politik. Kerajaan pula berjaya mengurus negara tanpa gangguan dari aktiviti para pelajar universiti. Masyarakat sudah tiada lagi mendapat maklumat dari sumber kedua yang boleh diyakini dan dibuat perbandingan dan perimbangan. Akibatnyanya rakyat juga kelihatan begitu pasif sehingga apabila berlaku pilihanraya, kerajaan tidak menghadapi masalah untuk menang walau meletak sesiapa saja sebagai calon yang mewakili kerajaan.
Ironi sekali apabila kejayaan parti-parti BN di setiap kali pilihanraya telah mebuatkan mereka mendabik dada dan begitu yakin sebagai golongan yang bijak dan cekap mentadbir. Kerana adanya unsur-unsur kesombongan ini, tambah pula tiada permerhati yang ekstrim seperti golongan pelajar atau politik kampus maka para pemimpin barisan kerajaan terjerumus melakukan penyelewengan untuk kepentingan diri dan keluarga. Maka kelihatan trend menjadi kaya, mewah dan berduit di kalangan semua tokoh pimpimpin dari parti kerajaan walau hanya baru aktif di cawangan atau bahagian. Trend ini sampai ke hari hari ini seolah-olah telah menjadi matlamat dan tujuan utama mereka melibatkan diri untuk berpolitik iaitu untuk menjadi cepat kaya dengan usaha yang sedikit dan mudah.Ia tidak lagi sebagai trend yang mengikut musim tetapi telah membudaya. Ini adalah kebudayaan kuning dalam politik yang sengaja dibiarkan.
Akibat negatif yang sangat ketara di kalangan pelajar-pelajar pula, seolah-olah berlaku kejumudan minda para siswa-siswi. Pencapaian mereka dalam akademik hanya tertumpu kepada apa yang mereka pelajari dalam bentuk stereo type. Dalam ertikata lain, fikiran mereka tidak berkembang dan matang. Mereka mengetahui sesuatu bidang yang tinggi tetapi gagal mengimplimenkannya dan gagal mengembangkan dan menyesuaikannya kepada kehidupana seharian masyarakat kontemporari. Dari segi kemajuan dan perkembangan politik pula, tidak banyak tokoh yang menonjol kerana para graduan tempatan tidak berminat dan berani mengeluarkan pendapat dalam politik hasil dari pengaruh sekatan dan halangan AUKU yang diamalkan. Tokoh-tokoh politik pelapis dari pusat pengajian tinggi tempatan tidak banyak dikesan berkebolehan maka banyaklah tokoh-tokoh politik muda yang memiliki segulung ijazah luar negeri memenuhi kerusi-kerusi politik yang dikosongkan itu. Akibatnya, dasar dan minda politik negara kita tidak lagi bersemangat kebangsaan kerana mereka terpengaruh dengan budaya asing ketika mereka di alam universiti di luar negeri dahulu.
Sehubungan itu kebebasan berpolitik dikampus hendaklah dibuka semula. Sebaiknya diperbaikilagi dan dinaikkan taraf dan pengiktirafannya. Jadikanlah universiti itu sebagai sebuah negara yang berkerajaan. Kerajaan yang ditadbir oleh tokoh-tokoh politik kampus yang menang dalam suatu jawatankuasa ekserkutif. Hal-hal pentadbiran dilakukan oleh badan tenaga pentadbiran sedia ada. Hal politik dan isu politik mestilah bebas tetapi tokoh politik kampus tidak boleh terlibat dengan parti politik di luar kampus. Dalam piliharaya negara mereka boleh bertindak sebagai badan pemerhati dan badan penguatkuasaan penyelewengan dan rasuah yang bebas dan tidak bias kepada mana-mana parti. Semua warga universiti kecuali kakitangan pentadbiran sokongan adalah lantikan kerajaan politik kampus dan pastinya perlantikan ketua-ketua bidang adalah mengikut kelulusan hakiki yang mereka miliki dan dilantik mengikut politik mereka tetapi fahaman politik tidak mengikat mereka menjadi bias dalam sebarang disiplin keilmuan.
Semua warga universiti yang telah berusia 21 tahun adalah bebas mengundi mengikut pilihan mereka dalam piliharaya kebangsaan tetapi mereka tidak boleh menggabungkan diri aktif dalam mana-mana parti politik di luar kampus sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Dan kerajaan hendaklah mengiktiraf kerajaan politik di kampus seperti pusat sumber dan pengembangan politik yang sihat. Malah mungkin sebagai teladan dan bayangan kerajaan berdasarkan penghuni dan masyarakat kampus yang berilmu tinggi berpolitik di dalam kampus ke arah keharmonian dan kecemerlangan kehidupan dalam dunia akademik dan falsafah pendidikan dan falsafah ilmu.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Friday, August 13, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)