Friday, November 18, 2011

Cerita Melayu Malbari Johor - UMNO Johor Perbodoh Rakyat

Cerita Melayu Malbari Johor - UMNO Johor Perbodoh Rakyat

Kelmarin, pada hari minggu seperti biasa Tun Sheikh balik Johor Bahru menjengok keluarga. Seminggu sekali atau dua minggu sekali Tun Sheikh balik kerana ada anak isteri di sana. Muar pula ialah kampong halaman. Batu Pahat dan Keluang tempat permainan. Pontian ada mertua dan Kota Tinggi ada abang dan darah kerabat seketurunan di sanan. Musim makan percuma setiap minggu masih belum putus sejak musim raya puasa hingga di musim raya haji dan tidak lama lagi akan bersambung pula majlis kenduri kahwin di musim cuti sekolah. Apapun Tun Sheikh bersyukur kerana hati pengantin terbuka untuk berkahwin secara sah daripada berterusan membuat maksiat atau terdedah untuk melakukannya sebelum bernikah secara sah. Maklum saja kebebasan dan budaya hidup moden hari ini tidak terkongkong atau dikongkong adat seperti zaman dahulu.

Ahad lepas, Tun Sheikh telah memenuhi undangan kenduri kahwin seorang sahabat berdarah Malbari di Kangkar Tebrau Johor Baharu. Cerita punya cerita ada juga pertalian darah mamak Tun Sheikh dengan mereka. Paling tidak pun memang satu kapal. Perbedaanya hanya saudara mara Tun Sheikh telah berbaur jauh jadi Melayu dan tidak lagi seperti keluarga pengantin yang majoriti para hadirin ialah sewajah dan sewarna kulit dan bahasa Malbarinya pun masih diamalkan. Banyak juga wajah-wajah sejuk mata memandang kerana tarikan jambang mereka yang boleh dikatakan sefesyen membawa imej kealiman atau setidak-tidaknya membawa imej Islam. Dari perbualan, mereka memang tidak gemar jika mereka dianggap sebagai India walaupun mereka berasal dari sana. Mereka sangat gembira tetapi tidaklah berlebih-lebihan seperti Melayu Umno bila menceritakan mereka ada darah ahlul-bait.

Ironinya dalam perbualan sepanjang Tun Sheikh berada di majlis itu selama 3 jam, 60% cerita atau perbualan adalah mengenai Melayu Umno Johor. Pertamanya mereka terasa mereka diasingkan oleh Melayu UMNO seolah-olah tidak terima mereka walau mereka mengaku Melayu. Kedua, mereka tidak mahu malah tidak terima jika dikategorikan sebagai India. Ketiga, mereka terasa terpinggir manakala Persatuan India Muslim tidak memenuhi citarasa mereka. Keempat, mereka terasa seolah-olah mereka diperlekeh oleh Melayu UMNO seperti rakyat kelas ketiga setaraf India marhaen padahal ekonomi mereka boleh dikatakan kukuh kerana aktif dalam dunia perniagaan dan tidak banyak yang makan gaji dengan kerajaan atau syarikat-syarikat Cina kecuali syarikat yang ada hubungan dengan kelompok mereka sendiri. Kelima mereka rasa seperti diperbodohkan Melayu UMNO kerana mereka mengaku mereka ada darah Melayu tetapi Melayu UMNO kelihatan banyak menipu dan membohongi orang Melayu sendiri dalam dunia politik yang dikuasai Melayu membuat mereka juga terasa sehingga rasa tergugat jika hendak mengaku atau memperjuangkan Melayu. Keenam, mereka tidak percaya kepada Parti Keadilan kerana mereka anggap perjuangan parti itu akhirnya akan membudayakan politik kotor seperti yang diamalkan oleh UMNO setelah berkuasa.Ketujuh, mereka sangat tertarik kepada diplomasi PAS dan berminat menyumbang apa yang termampu kepada parti yang bertunjangkan Islam itu.

Perbualan bertambah panas apabila isu atau topic menyentuh orang-orang Melayu UMNO Johor yang berperangai bodoh, bergasak dan mengganggu ceramah Mat Sabu hingga ada yang luka. Mereka amat faham kejahilan atau kejahatan UMNO Johor kerana mereka sendiri pernah berpengalaman dengan situasi sebegitu. Mereka sedih kerana UMNO Johor pura-pura buat bodoh bahawa pemikiran majority anak muda Johor sudah berubah. Lebih-lebih lagi apabila Menteri Besar Johor menafikan penglibatannya menerbitkan buku sejarah oleh Yayasan Warisan Johor yang mengiktiraf Mat Indera sebagai tokoh negarawan Johor menentang pejajah Inggeris.

Sebenarnya, jika dikaji kisah politik Melayu Johor memang unik. Dato’ Onn misalnya adalah seorang tokoh yang benci Inggeris. Tetapi dikelabui dengan catatan sejarah yang telah menganggap beliau adalah anak emas Inggeris. Begitu juga dengan perpaduan Melayu Johor, sebenarnya orang Jawa, Banjar, Boyan, Melayu, Arab-Melayu, Bugis, Seletar atau Orang Selat, Minang dan lain-lain suku Melayu Johor, tidak pernah bersatu padu atau bersatu hati di Johor kecuali apabila dititah menyertai perang. Mereka tinggal dengan kelompok sendiri. Itulah sebabnya mengapa orang India dan Cina juga boleh hidup dalam kampong suku-suku Melayu. Masing-masing ada kepentingan hidup sendiri.

Apabila berlaku penjajahan Jepun, barulah mereka membuka mata bahawa mereka perlu bersatu padu sebagai Melayu kerana perjuangan perpaduan diperjuangkan oleh elit dan intelektual Melayu. Mereka berasa yakin Melayu boleh bangkit kerana Jepun sendiri memberi semangat kepada mereka dengan mengalahkan British yang dianggap hebat. Manakala dari segi fizikal pula, orang Jepun atau tentera Jepun dilihat lebih kecil dari tubuh orang Melayu sendiri dan apabila berlaku keganasan komunis yang menolak agama dan berlaku zalim terhadap orang-orang Melayu seperti apa yang berlaku di Muar dan Batu Pahat Johor, maka ketika itulah perpaduan suku-suku Melayu menjadi padu dan mantap.

Berbalik kepada cerita Melayu UMNO Johor, kumpulan kecil Melayu-Malbari berdarah ahlul-bait ini yakin UMNO akan tumpas secara mengejut kerana tidak mahu berubah walaupun telah ditegur dan diperingatkan beberapa kali terhadap penyelewengan dan ketidaktelusan yang mereka amalkan. Melayu UMNO Johor kelihatan terus sombong mendabik dada mengaku bahawa mereka adalah pencipta UMNO, pencipata perpaduan, perancang kemerdekaan, pembawa kemajuan dan sebagainya tanpa menghiraukan bahawa masalah sebenar ialah masalah tidak amanah kerana terlalu sibuk mementingkan diri mencuri harta rakyat untuk diri peribadi melalui parti.

Akhirnya, kelompok Melayu-Malbari ini, mengaku bahawa mereka tidak lagi berbangga hendak mengaku Melayu kecuali berjanji akan menyokong tidak kira siapa asalkan memperjuangkan Islam. Dalam hal ini dan ketika ini mereka aktif membantu PAS selagi PAS telus , tulen dan jujur memperjuangkan dasar-dasar dan budaya hidup Islam bukan budaya Melayu yang songsang dan bercanggah dengan syariat Islam seperti banyak yang diamalkan atau yang diperjuangkan oleh Melayu UMNO. Marilah sama-sama kita berdoa semoga semua manusia tidak kira Melayu, India, Cina atau Malbari dan lain-lain agar sentiasa diberi petunjuk, taufik dan hidayah ke arah mengagongkan Islam. Amin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Monday, August 22, 2011

BN Yang Rapuh Tetapi Terus Mendada

BN Yang Rapuh Tetapi Terus Mendada

PM Kita Sudah Seperti Paklah dan Tun Dr. Mahathir Yang Syok Sendiri


DSAI ketua pembangkang nampaknya telah pasrah dan merasa dirinya tidak akan berpeluang tampil menjadi calon pelihanraya 13. Impiannya untuk ke Putrajaya telah dikuburkan walaupun dirinya masih belum ke liang lahat politik itu. Semua rakyat telah dapat melihat usaha kerajaan BN menggali kubur untuk DSAI dan tentunya bagi sesiapa yang berhati perut merasa begitu jijik dan loya. Kelmarin Dato' Najib berbuka puasa di Hulu Langat Batu 14. Jalan segera diturap ala kadarnya. Sebelum ini kawasan pembangkang itu seperti terbiar. PR menang tipis di situ pada pilihanraya 2008 gara-gara mendapat hadiah penyapu dari Menteri Besar Khir Toyo.

Kedatangan PM ke Hulu Langat dan Ampang menandakan piliharaya sudah dekat dan berkemungkinan akan diadakan pada bila-bila masa saja mengikut kesukaan, congak mahupun nujum PM. Jika di perhatikan dan dibuat analisa, kini PM dalam rangka melawat kawasan parti lawan dimana BN kalah tipis. Kawasan-kawasan yang dulunya dimenangi BN tetapi berpindah tangan kepada pembangkang kerana bosan dengan kesombongan BN. PM yakin beliau dan BN akan menang jika DSAI dapat dibekukan atau kerajaya politiknya dibunuh dan ditanam hidup-hidup. PM dan barisan kroninya yakin dengan kebaikan beliau menabur duit di sana-sini terutamanya di tempat dan kawasan DUN yang dilawati akan memenangkan BN walaupun ini adalah taktik lama dan kuno. Di mata pembangkang pula, PM dilihat sedang menggali lubang kuburnya sendiri kerana nampak mantan PM secara terang-terangan menyebelahi dan memberi galakan kepada TPM yang berjanji akan mengangkat anaknya pada suatu kedudukan yang akan memudahkan dirinya menjadi orang nombor satu.

PM mungkin sedar atau mungkin tidak dapat berbuat apa-apa terhadap karenah mentornya itu. Dr. Mahathir perasan beliau masih PM walaupun cita-citanya untuk mencipta rekod menjadi PM paling lama iaitu 30 tahun tidak tercapai kerana beliau dibuang oleh UMNO sendiri. Dalam senyap-senyap, sayap-sayap kiri dan gelap UMNO telah menyediakan pelbagai senjata halus berupa physiko dan umpan memerangkap PM melalui isteri beliau yang merupakan liabiliti UMNO. Ramai tokoh pemimpin UMNO mula merasa cengkaman kuku wanita pertama dan merasa khuatir, tidak senang hati dan rimas kerana beliau telah bertindak mempengaruhi PM menentukan calon-calon yang akan bertanding terutamanya tempat-tempat yang dikhususkan untuk wanita. Ketika ini berlaku lobi-melobi dan mencantas keting diantara pemimpin wanita dalam BN untuk merebut tempat-tempat yang dikira selamat untuk mereka.

Kawasan bekas Dr. Lolo' contohnya sedang menjadi rebutan hangat dan wanita pertama telah dipergunakan untuk mendapat tempat dalam persaingan. Kedengaran tempat yang panas itu bernilai jutaan ringgit dan bon politik ini akan mengikat calon yang menang disitu menjadi hamba yang akan membekal emas atau menjadi haiwan peliharaan mahupun lombong emas kepada wanita pertama nanti. Sebenarnya sejarah telah mencatat bahawa wanita pertama memang mempunyai keistimewaan mendapat sedikit lowongan politik untuk kroninya sendiri tetapi belum ada rekod yang menunjukkan penglibatan mereka melampaui batas seperti apa yang sedang berlaku kini.

Ada penganalisa politik menjangkakan wanita pertama seolah-olah sedang membuat tembok besar keselamatan untuk diri dan kroni-kroninya. Akhirnya mereka akan dipaksa membalas budi yang diberikan dengan mengangkat dirinya sendiri menjali calon pilihanraya sekaligus ketua kepada mereka. Kelihatan sumber kewangan dan publisiti ketika ini telah dikuasai beliau. Beliau dikatakan sedang menunggu saat yang baik untuk mengambilalih minda penyokong-penyokong BN untuk mengangkat ketokohan dirinya. Jika mengikut apa yang pernah berlaku di negara jiran mahupun di negara di benua lain, peluang sebegini berlaku apabila suami mereka selaku orang nombor satu dikalahkan oleh teman atau timbalannya sendiri mahupun musuh politik dari pembangkang. Pada ketika itu rakyat kelihatan simpati kepada penyikiran pemimpin utama seolah-olah digambarkan telah berlaku penipuan, pembelotan dan konspirasi dalaman. Berikutan itu undi kasihan akan menyebelahi kepada wanita pertama. Mungkin itulah yang sedang dinantikan oleh wanita pertama negara ini.

Berbalik kepada bahang pilihanraya, rakyat terasa diperbodohkan oleh BN apabila PM mengumumkan kesediaan menubuhkan sebuah jawatankuasa menilai semula peraturan dan perjalanan dan apa-apa mengenai piliharaya. Anehnya beliau tidak mengiktiraf apa-apa laporan dan saranan yang bakal dikeluarkan. Jawankuasa ini kelihatan sangat lemah dan cacat apabila tiada sebarang ahlinya dari pembangkang atau NGO yang berkaitan dengan pilihanraya.

Di Pekan pula iaitu tempat PM sendiri, masalah yang dihadapi beliau ialah kuatnya pengaruh kerabat di raja Pahang yang menyebelahi pembangkang kerana mereka dipinggirkan oleh istana. Mereka belum lagi begitu jauh dengan kerabat mereka yang berada di istana tetapi mereka terasa mereka sengaja dipinggirkan atas nasihat UMNO dan BN. Kaum kerabat mereka yang begitu ramai di Pekan telah menolak BN. Di sini jangan terperanjat jika anda di kelilingi oleh orang asing yang didakwa sebagai orang kita yang diuar-uarkan oleh mesin penyalak BN. Orang luar mungkin akan mudah percaya dan kelihatan PM begitu perihatin kepada orang kita atau orang asal yang dikatakan sengaja dipindahkan ke kawasan Pekan untuk mendedahkan mereka dengan pembangunan. Apa yang berlaku sebenarnya adalah untuk memperbanyakkan undi menyokong PM kerana rakyat tempatan banyak cenderung kepada kerabat diraja yang telah dipinggirkan di Pekan. Dan bagi mereka yang memang anak jati Pekan, mereka amat kesal dan berasa hampa kerana orang asal itu bukan semua yang asli tetapi dicampur sekali dengan pendatang Myanmar dan Kemboja. Orang Asli hanya minoriti sahaja.

Dengan kelihatannya apa yang dilakukan oleh PM dan BN, rakyat dengan mudah dapat merasakan mereka tertipu dan diperbodohkan. Hal inilah yang perlu diteliti dan dinilai kerana rakyat menuntut ketelusan dan kejujuran. Jika BN berterusan menggunakan taktik munafik double standard, talam dua muka atau dengan perkataan yang keras iaitu berciri munafik ini maka pasti halatuju sebenarnya ialah BN sedang menggali lubang kubur untuk dirinya sendiri. Rakyat bukan tidak menghargai pembangunan dan kemajuan yang dibawa BN. Rakyat bukannya tidak suka dan tidak sayang BN, tetapi rakyat sangat kecewa unsur-unsur penipuan kepada amanah yang dipercayakan kepada mereka. Jika BN dan UMNO terus sombong dan tidak berupaya keluar dari kesesatan ini maka tidak mustahil PR akan berjaya berkuasa dan mengambil alih Putrajaya. Malah sebenarnya rakyat telah bersedia dan matang untuk melihat siapa yang terbaik untuk mereka. Jika PR curang dan pecah amanah maka mereka juga akan digantikan dengan yang menjanjikan dan melasanakan kebajikan dalam manifesto mereka. Apabila rakyat bersedia dan bijak memaksakan parti pemerintah pilihan mereka adalah parti berkebajikan maka subur dan harmonilah kehidupan dan demokrasi.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Saturday, April 9, 2011

Sarawak Oh Malaysiaku

Sarawak Oh Tanahairku
Pilihanraya Negeri 2011
Sarawak Memerlukan Pemimpin Berwawasan Global Sejagat


Ketika ini Kerajaan BN sedang sibuk berkempen menjelang pilihanraya Sarawak yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Rakyat tidak berasa aneh lagi kerana semua siaran media massa milik kerajaan memfokus kemajuan yang telah dicapai dan yang akan dilakukan. Kerajaan BN berusaha mempengaruhi rakyat Sarawak seolah-olah tiada siapa yang berupaya memajukan Sarawak seperti pemimpin-peminpin sedia ada yang bersekutu dengan BN.

Ironinya Sarawak yang dikatakan sebuah negeri yang mempunyai sumber kekayaan bumi masih berada dalam kelompok lima negeri teratas berada dalam kemiskinan. Pemimpin-pemimpin Sarawak bersama kroni mereka pula memegang rekod orang kaya di sana. Dan kekayaan pribadi yang dimiliki pula bukan sahaja dalam kelompok sesama mereka atau dengan kumpulan orang kaya di Malaysia malah boleh bersaing dengan orang kaya rakyat negara lain. Mereka berani berkata bahawa kekayaan mereka adalah hasil kepintaran mereka memerintah dan hasil usaha titik peluh mereka yang menyumbang bakti kepada masyarakat pribumi di sana. Sedangkan pada waktu yang sama, masih terdapat pribuminya yang masih bercawat.

Kerajaan Sarawak seolah-olah lupa bahawa puluhan ribu anak watannya sedang bertebaran di Semenanjung mencari penghidupan yang lebih baik. Mereka dapat hidup di sini tetapi dalam keadaan daif kerana mereka datang dengan bermodal tulang empat kerat dan pendidikan yang rendah. Kebanyakan mereka bersyukur kerana dapat hidup lebih baik dari di negeri Sarawak sendiri. Tetapi sangatlah menyedihkan kerana penghidupan mereka tidak jauh berbeda dengan pendatang asing malah nasib mereka selaku rakyat Malaysia tidak lebih baik dari pendatang asing. Mereka banyak terdapat di Johor, Trengganu dan Kuala Lumpur.

Golongan terpelajar Sarawak pula, mengikut sejarahnya memang mengikut perancangan kerajaan BN. Banyak yang sampai ke menara gading, memiliki segulung ijazah dan berkeluarga sesama sendiri sebagai kumpulan profesional tetapi peratusannya sangat sedikit yang kembali menyumbang tenaga dan kepakaran di Sarawak. Mereka lebih selesa membeli rumah dan menjadi orang Semenanjung. Mereka pernah merungut bahawa wawasan mereka tidak pernah dipedulikan oleh pemimpin Sarawak. Jika pandangan mereka membawa kesadaran menyeluruh kepada pribumi Sarawak, mereka akan dituduh subersif atau kelompok yang mencita-citakan merdeka. Persatuan Anak Negeri Sarawak pula dianggap terlalu memihak kepada kerajaan dan tidak berani mengemukakan pandangan positif yang bertentangan dengan wawasan kepimpinan Sarawak.

Sehubungan itu meskipun telah merdeka bersama dalam Malaysia, kemajuan dan pembangunan Sarawak sebenarnya masih terhad dan tidak menyeluruh kepada rakyat jelata. Apa yang kelihatan, mereka sebenarnya mewarisi corak pemikiran dan wawasan pemimpin Semenanjung. Kemajuan yang wujud tidak setara dengan kekayaan sumber hasil dan keluasan bumi Sarawak. Untuk menafikan tiada pembangunan yang dilakukan, tidak pula boleh dikatakan begitu kerana terbukti ada juga terpampang di hadapan mata. Cuma nikmat kekayaan tidak merata kecuali tersebar di kalangan kroni-kroni sahaja.

Jika menilik pendidikan pendatang Sarawak yang berduyun datang ke Semenanjung, terasa hal pendidikan dan segala perkara yang berkaitan dengannya masih sangat pincang. Mereka bukan sahaja tidak layak jadi ketua atau memimpin dalam pekerjaan yang tidak memerlukan sijil kemahiran malah hanya layak menjadi buruh kepada pendatang asing. Ini sangatlah dikesalkan kerana pendatang asing lebih bernasib baik malah kelihatan lebih terbela daripada rakyat sendiri. Pemimpin BN pusat seolah-olah tidak dapat dipersalahkan. Masalah ini kelihatan seperti mereka berlepas tangan yang akhirnya terbeban kepada pemimpin Sarawak jua yang akan dituding. Mereka boleh ditekan dan dituduh sebagai tidak bertanggungjawab dan gagal berperanan sebagai pemimpin rakyat Sarawak. Di sudut yang lain, pemimpin Sarawak tertekan dan terpaksa mengikut rentak BN dalam hal politik dan juga kepentingan pribadi dalam soal mengambil kesempatan dan mengawal kekayaan Sarawak. Akhirnya mereka sama-sama bersefahaman menangguk kekayaan untuk diri sendiri mahupun parti dan terus berjaya memerintah dengan budaya curang.

Dalam keadaan ekonomi dan sara hidup yang masih di peringkat asas dan ketinggalan, tentunya rakyat yang berada dalam kelompok itu tidak akan terbuai dengan isu-isu kebejatan moral pemimpin. Mereka lebih mengutamakan keselesaan dan kesenangan hidup daripada memikirkan kebejatan atau kecurangan pemimpin mereka. Sehubungan itu propaganda terhadap ketiadaan moral yang menjadi isu dan pertuduhan kepada ketua PKR tidak berkesan. Malah kebejatan pemimpin masyarakat mereka sendiri jika ada juga tidak menjadi suatu masalah yang boleh mempengaruhi kuasa memilih mereka ketika mengundi. Dengan itu, kerajaan BN mempunyai peluang yang sungguh luas dan lebar untuk memanipulasikan janji-janji pembangunan yang mengiurkan mereka.

Anak negeri Sarawak yang pintar dan celik ilmu, yang berada di Semenanjung pula kelihatan tidak mengambil tahu nasib saudara-mara mereka yang tidak bernasib baik. Mereka leka dibuai kesenangan hidup dan tidak sanggup berhadapan dengan risiko. Kumpulan yang terbuka hati untuk membantu pula boleh dikira dengan jari. Manakala yang cerdik dan pandai di Sarawak pula banyak yang telah termakan budi dan pro kepada kroni dan pemimpin Sarawak meskipun mereka mengetahui hak-hak asas rakyat terutamanya yang miskin diselewengkan.

Sarawak akan terus dijajah oleh pemimpin perompak duitan selagi tidak terlahirnya pemimpin anakbumi yang ikhlas, luhur dan berwawasan sejagat. Setiap pemimpin Sarawak yang tidak sanggup tidur digigit nyamuk seperti masyarakat peribumi di pedalaman maka selagi itulah pemimpinnya yang lahir akan mengintai kesempatan dan mengutamakan kepentingan diri untuk menjadi jutawan yang masih tidak terfikir oleh peribumi Sarawak seperti Orang Penan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara.

Monday, February 21, 2011

Kelebihan dan Kekurangan Melayu UMNO – PAS

Kelebihan dan Kekurangan Melayu UMNO – PAS

Intailah Kekuatan Melayu


UMNO dan PAS ialah dua parti orang Melayu yang utama, popular dan berwibawa di Malaysia. Tetapi satu daripadanya mengakui tidak bertunjangkan perjuangan Melayu kecuali Islam. UMNO pula mengaku Islam tetapi memperjuangkan kepentingan Melayu. UMNO berasa PAS tidak perlu ujud kerana menganggap UMNO berupaya menjalankan objektif parti PAS. PAS pula tidak mengharap UMNO akan melaksanakannya kerana UMNO terujud daripada konspirasi penjajah dan PAS pula lahir dari penyelewengan UMNO terhadap agama.

Jika anda seorang UMNO dan ingin membuat atau melaksanakan satu aktiviti misalnya membuat sebuah dewan orang ramai kos sederhana secara gotong royong, tidak banyak halangan dan masalah yang anda hadapi dengan syarat aktiviti itu mestilah kelihatan sumbangan atau komitmen UMNO kepada masyarakat. Anda akan dapat pembiayaan daripada pihak atasan. Hal ini menambah keyakinan anda untuk memberi perkhidmatan kerana separuh dari pekerjaan dan masalah anda dapat diatasi. Malah anda jangan terkejut, anda juga dapat imbuhan walaupun pada awalnya aktiviti atau projek pembangunan yang anda uar-uarkan itu adalah berkonsepkan gotong royong. Yang penting anda mesti berusaha menghadirkan seramai mungkin muka-muka Melayu pada hari gotong royong itu dan tahu menutup mulut.

Anda jangan pula terkejut segala bahan mentah itu akan dihantar oleh pembekal Ah Chong ke destinasi yang anda kehendaki. Anda juga jangan terkejut anggaran bajet yang anda kira untuk mendirikan dewan serbaguna itu sehingga siap dan selesai segalanya sebanyak misalnya RM100,000.00 tetapi diberitahukan Ah Chong bahawa kos bahan-bahan itu semuanya RM250,000.00 dan menasihatkan anda tidak perlu bersusah hati kerana Ah Chong juga mengaku sebagai penyumbang.

Di waktu yang sama anda tidak perlu terkejut dan memperbesar-besarkan isu apabila mengetahui sebuah jabatan kerajaan misalnya JKR telah memperuntukan sebanyak RM300,000.00 untuk projek yang disarankan oleh anda itu. Anda dinasihatkan supaya berterima kasih dan bersyukur serta berbangga kerana berjaya membina sebuah dewan orang ramai dengan kos hanya RM250,000.00 daripada peruntukan asal sebanyak RM300,000.00 kerana anda berjaya berjimat RM50,000.00 daripada wang kerajaan.

Inilah contoh fenomena jika anda seorang UMNO dan inilah kelebihan anda atau kelebihan UMNO yang berduit dan berkuasa. UMNO memiliki kepakaran dalam pelbagai hal dan bidang dan banyak professional yang menyumbang perkhidmatan di dalam parti Melayu itu. Sungguh hebat UMNO milik Melayu, milik kita. Dengan itu majulah bangsa kita apabila projek pembangunan tidak menjadi masalah untuk melaksanakannya.

Jika anda seorang PAS pula dan bercadang untuk membuat pekerjaaan yang sama, anda terpaksa menguar-uarkannya secara nyata dan merata tempat dan jika tidak bernasib baik anda terpaksa menjadi penagih atau pengemis derma dan amat malang jika silap-silap haribulan anda difitnah mengsonglap duit kutipan. Lokasi atau tapak pembinaan yang anda cadangkan itu akan diperiksa dan diuji oleh pihak berkuasa dan kadang-kadang tidak dapat kelulusan. Entah mengapa anda pun tidak begitu tahu dan tidak diberitahu dengan sejelasnya. Jika anda cenderung menggunakan harta atau tanah milik anda sendiri, banyak proses pemutihan atau memindahmilik terpaksa anda lalui kerana dikhuartiri anda atau waris anda mengambil kesempatan terhadap bangunan itu yang diperkirakan pembinaannya adalah dari duit orang ramai.

Sekiranya anda seorang berkemampuan, berkemungkinan besar projek amal anda itu menjadikan diri anda seorang yang terpaksa mengeluarkan banyak tenaga dan pelbagai belanja yang tidak terduga. Pelbagai masalah misalnya kewangan yang tidak mencukupi menyebabkan projek itu lambat atau tidak selesai. Tetapi jika anda mempunyai saudara usrah yang mantap dan berilmu, kesedihan anda akan dikongsi bersama dan mereka tetap bersabar dengan dugaan yang dihadapi. Mereka tidak akan lupa terhadap hidup satu matlamat bersama anda.

Dengan kekuatan saudara kumpulan usrah yang beramal dan hidup secara fikrah Islam, anda tidak perlu terkejut, dewan yang tidak siap itu telah berfungsi mengikut objektif yang ditetapkan oleh anda. Anda akan terhibur dan tidak menyangka bajet untuk mendirikannya sebanyak RM100,000.00 tetapi cukup dengan hanya separuh daripadanya secara ala kadar tetapi dapat merasakan kebarkatannya. Anda tidak pula gentar dan terpengaruh dengan segala tokmah dan fitnah kerana anda membangunnya dengan sumbangan ikhlas anda dan orang ramai. Bukan duit rakyat yang anda kumpulkan dari cukai sehingga barang keperluan menjadi mahal . Yang sangat penting ialah, penyucian wang atau pendapatan anda. Bukan kemasukan wang syubahat atau wang haram yang menjadi darah daging anda dan anak isteri.

Sekiranya bangunan itu dibina oleh anda dengan tangan sendiri dan sama-sama bergotong royang, tidak mustahil semua yang terlibat akan memperoleh pengalaman dan ilmu juga pertautan hati. Berikutan daripada itu fikrah dan roh islamiah akan terus mantap dan terus bertambah kuat jika anda menyedarinya.

Betapa hebatnya manusia Melayu jika orang berfikrah Islam sejujur anda, hidup dengan mengamati atau secara Islam terdiri juga daripada Melayu UMNO yang professional dan yang cerdik-cerdik sebagaimana yang sangat banyak terdapat di dalam UMNO yang sedang memancarkan kesombongan itu. Sama-samalah kita berdoa semoga kita bersatu kerana agama. Bukan bersatu kerana Melayu dan meminggirkan Islam. Harap-harap UMNO tidak terus sombong dan selesa dengan budaya rasuah.Renung-renungkanlah…….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere