Politik Semasa Rakyat
Johor
Ketika pulang berulang-alik ke Johor beberapa kali bulan
lepas (Mei dan Jun), Tun Sheikh terasa
kesungguhan dan kerja keras Pakatan Rakyat memberi perhatian utama meluaskan pengaruh di Johor,
negeri kelahiran UMNO. Tun Sheikh sempat menemubual beberapa tokoh penting dan
juga mendengar ceramah-ceramah politik dan agama yang dianjurkan. Tun Sheikh
juga berkesempatan bertukar-tukar fikiran dengan angkatan muda anak Johor yang
berusia 45 tahun ke bawah. Malah sempat juga berbual-bual dengan masyarakat
Cina dari kalangan pekebun, peniaga runcit atau dengan istilah lain yang biasa
dipakai di Johor ialah Cina kampong.
Perkembangan positif ialah sambutan masyarakat Cina yang mula
menjauhkan diri dari MCA kerana mereka juga berpendapat pemimpin MCA
terikut-ikut mengamalkan budaya rasuah yang disuap oleh UMNO dan lebih
mementingkan diri dan saudara mara dekat serta kroni. Mereka mengamalkan budaya
bias tidak seperti tahun-tahun 1990-an dan sebelumnya. Ketika itu perjuangan
MCA dirasa benar-benar untuk kepentingan masyarakat Cina Johor pada
keseluruhannya. Trend mereka ketika ini ialah memberi kefahaman sesama mereka
bahawa selama ini mereka juga sebenarnya didiskriminasi oleh BN jika dibanding
dengan kekayaan dan kesenangan yang digarap oleh pemimpin BN Johor dengan
keadaan keseluruhan masyarakat atau rakyat Johor terutamanya masyarakat Cina
kampong.
Orang Cina yang berpelajaran lebih terbuka minda dan tertarik
dengan perjuangan NGO seperti demontrasi BERSIH, Lynas dan juga isu paksaan BN
kepada orang Felda supaya menerima dan bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk
mendaftar perniagaan Felda ke bursa saham. Kepada masyarakat Cina yang telah
biasa dengan budaya perniagaan, mereka berpendapat urusan saham itu hanya
memberi keuntungan jangka pendek dan akibat buruknya akan ditanggung oleh
masyarakat Felda itu sendiri. Keuntungan jangka pendek ini sudah tentu
dinikmati oleh orang berduit atau orang yang dapat memiliki agihan saham itu
secara mudah dan telah tergambar di minda mereka bahawa itu hanya dinikmati
oleh orang-orang politik dan kroni mereka.
Isu lain yang suka
diikuti mereka ialah penerangan dari bekas presiden MCA mengenai muslihat
politik dan tipu helah UMNO kepada masyarakat Melayu dan juga kepada
parti-parti komponen dalam BN. Telah berlaku paradigma minda walaupun tidak
berbentuk tsunami di kalangan masyarakat Cina untuk beralih dan menyokong DAP
atau PR daripada MCA atau BN. Mereka masih berasa terbuku di hati dan kecewa
dengan presiden MCA yang mempunyai rekod moral yang memalukan tetapi mereka
tidak dapat berbuat apa-apa kerana beliau telah terpilih menjadi presiden MCA.
Masyarakat Cina Johor juga tidak menyangka bahawa hal-ehwal orang Melayu
banyak ditutup oleh UMNO sendiri terutamanya mengenai usaha dan kecapan faedah
bersama sesuatu projek secara keseluruhannya. Untung besar hanya kepada
pemimpin dan retorika kepada rakyat biasa. Maksudnya rakyat hanya dapat
perasaan gembira dan rasa bangga dengan pembangunan yang dibuat tetapi rakyat
tidak mengecapi keuntungan langsung secara individu sebagaimana dikecapi oleh
para pemimpin.
Orang Cina Johor yang telah mendapat penerangan dan
penjelasan mengenai nilai sejagat dan kebaikan agama Islam berasa kesal kerana
selama ini UMNO tidak memberi penjelasan secara ikhlas kecuali dengan budaya
menakut-nakutkan mereka mengenai hukum hudud, berkhitan dan lain-lain sehingga
mereka sangka kebudayaan Melayu adalah agama.
Orang Cina Johor jika
dibanding dengan orang Cina di negeri lain, boleh dikatakan kesetiaan mereka
kepada kerajaan adalah lebih kerana pengaruh pergaulan, pendidikan dan sejarah
latar belakang yang pernah hitam dalam beberapa
peristiwa pertumpahan darah di Johor. Mereka sangat hormat kepada Sultan
kerana faktor sejarah dan jasa istana yang dianggap telah mengubah nasib mereka
yang susah kepada senang dalam kehidupan di Johor.
Dari satu kajian atau banci yang telah dilakukan secara
professional mengenai trend politik masyarakat Cina di Johor, mereka dianggap
sebagai kuasa penentu dan mempunyai pengaruh yang kuat. Orang Cina Johor
dianggarkan seramai 40%, Melayu 45% dan selebihnya India dan lain-lain. Adalah
dianggarkan 65% masyarakat Cina telah dipengaruhi oleh PR manakala 40% daripada
jumlah Melayu telah menyokong selain BN. Sekiranya undi Cina Johor tidak dapat
dipujuk agar menyebelahi BN seperti dulu-dulu dan trend 40% Melayu itu, ada
kemungkinan besar Johor akan ditawan PR dengan nisbah 53% PR dan 47% BN. Johor
akan mengikuti jejak Selangor dan Pulau Pinang sebagai negeri termaju dan
harmoni berkebajikan yang sampai kepada rakyat jelata kerana banyak hasil dan
ditadbirkan oleh PR yang bertanggongjawab dan amanah.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
KLIA Sepang 3 Julai 2012