Monday, February 21, 2011

Kelebihan dan Kekurangan Melayu UMNO – PAS

Kelebihan dan Kekurangan Melayu UMNO – PAS

Intailah Kekuatan Melayu


UMNO dan PAS ialah dua parti orang Melayu yang utama, popular dan berwibawa di Malaysia. Tetapi satu daripadanya mengakui tidak bertunjangkan perjuangan Melayu kecuali Islam. UMNO pula mengaku Islam tetapi memperjuangkan kepentingan Melayu. UMNO berasa PAS tidak perlu ujud kerana menganggap UMNO berupaya menjalankan objektif parti PAS. PAS pula tidak mengharap UMNO akan melaksanakannya kerana UMNO terujud daripada konspirasi penjajah dan PAS pula lahir dari penyelewengan UMNO terhadap agama.

Jika anda seorang UMNO dan ingin membuat atau melaksanakan satu aktiviti misalnya membuat sebuah dewan orang ramai kos sederhana secara gotong royong, tidak banyak halangan dan masalah yang anda hadapi dengan syarat aktiviti itu mestilah kelihatan sumbangan atau komitmen UMNO kepada masyarakat. Anda akan dapat pembiayaan daripada pihak atasan. Hal ini menambah keyakinan anda untuk memberi perkhidmatan kerana separuh dari pekerjaan dan masalah anda dapat diatasi. Malah anda jangan terkejut, anda juga dapat imbuhan walaupun pada awalnya aktiviti atau projek pembangunan yang anda uar-uarkan itu adalah berkonsepkan gotong royong. Yang penting anda mesti berusaha menghadirkan seramai mungkin muka-muka Melayu pada hari gotong royong itu dan tahu menutup mulut.

Anda jangan pula terkejut segala bahan mentah itu akan dihantar oleh pembekal Ah Chong ke destinasi yang anda kehendaki. Anda juga jangan terkejut anggaran bajet yang anda kira untuk mendirikan dewan serbaguna itu sehingga siap dan selesai segalanya sebanyak misalnya RM100,000.00 tetapi diberitahukan Ah Chong bahawa kos bahan-bahan itu semuanya RM250,000.00 dan menasihatkan anda tidak perlu bersusah hati kerana Ah Chong juga mengaku sebagai penyumbang.

Di waktu yang sama anda tidak perlu terkejut dan memperbesar-besarkan isu apabila mengetahui sebuah jabatan kerajaan misalnya JKR telah memperuntukan sebanyak RM300,000.00 untuk projek yang disarankan oleh anda itu. Anda dinasihatkan supaya berterima kasih dan bersyukur serta berbangga kerana berjaya membina sebuah dewan orang ramai dengan kos hanya RM250,000.00 daripada peruntukan asal sebanyak RM300,000.00 kerana anda berjaya berjimat RM50,000.00 daripada wang kerajaan.

Inilah contoh fenomena jika anda seorang UMNO dan inilah kelebihan anda atau kelebihan UMNO yang berduit dan berkuasa. UMNO memiliki kepakaran dalam pelbagai hal dan bidang dan banyak professional yang menyumbang perkhidmatan di dalam parti Melayu itu. Sungguh hebat UMNO milik Melayu, milik kita. Dengan itu majulah bangsa kita apabila projek pembangunan tidak menjadi masalah untuk melaksanakannya.

Jika anda seorang PAS pula dan bercadang untuk membuat pekerjaaan yang sama, anda terpaksa menguar-uarkannya secara nyata dan merata tempat dan jika tidak bernasib baik anda terpaksa menjadi penagih atau pengemis derma dan amat malang jika silap-silap haribulan anda difitnah mengsonglap duit kutipan. Lokasi atau tapak pembinaan yang anda cadangkan itu akan diperiksa dan diuji oleh pihak berkuasa dan kadang-kadang tidak dapat kelulusan. Entah mengapa anda pun tidak begitu tahu dan tidak diberitahu dengan sejelasnya. Jika anda cenderung menggunakan harta atau tanah milik anda sendiri, banyak proses pemutihan atau memindahmilik terpaksa anda lalui kerana dikhuartiri anda atau waris anda mengambil kesempatan terhadap bangunan itu yang diperkirakan pembinaannya adalah dari duit orang ramai.

Sekiranya anda seorang berkemampuan, berkemungkinan besar projek amal anda itu menjadikan diri anda seorang yang terpaksa mengeluarkan banyak tenaga dan pelbagai belanja yang tidak terduga. Pelbagai masalah misalnya kewangan yang tidak mencukupi menyebabkan projek itu lambat atau tidak selesai. Tetapi jika anda mempunyai saudara usrah yang mantap dan berilmu, kesedihan anda akan dikongsi bersama dan mereka tetap bersabar dengan dugaan yang dihadapi. Mereka tidak akan lupa terhadap hidup satu matlamat bersama anda.

Dengan kekuatan saudara kumpulan usrah yang beramal dan hidup secara fikrah Islam, anda tidak perlu terkejut, dewan yang tidak siap itu telah berfungsi mengikut objektif yang ditetapkan oleh anda. Anda akan terhibur dan tidak menyangka bajet untuk mendirikannya sebanyak RM100,000.00 tetapi cukup dengan hanya separuh daripadanya secara ala kadar tetapi dapat merasakan kebarkatannya. Anda tidak pula gentar dan terpengaruh dengan segala tokmah dan fitnah kerana anda membangunnya dengan sumbangan ikhlas anda dan orang ramai. Bukan duit rakyat yang anda kumpulkan dari cukai sehingga barang keperluan menjadi mahal . Yang sangat penting ialah, penyucian wang atau pendapatan anda. Bukan kemasukan wang syubahat atau wang haram yang menjadi darah daging anda dan anak isteri.

Sekiranya bangunan itu dibina oleh anda dengan tangan sendiri dan sama-sama bergotong royang, tidak mustahil semua yang terlibat akan memperoleh pengalaman dan ilmu juga pertautan hati. Berikutan daripada itu fikrah dan roh islamiah akan terus mantap dan terus bertambah kuat jika anda menyedarinya.

Betapa hebatnya manusia Melayu jika orang berfikrah Islam sejujur anda, hidup dengan mengamati atau secara Islam terdiri juga daripada Melayu UMNO yang professional dan yang cerdik-cerdik sebagaimana yang sangat banyak terdapat di dalam UMNO yang sedang memancarkan kesombongan itu. Sama-samalah kita berdoa semoga kita bersatu kerana agama. Bukan bersatu kerana Melayu dan meminggirkan Islam. Harap-harap UMNO tidak terus sombong dan selesa dengan budaya rasuah.Renung-renungkanlah…….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere