Friday, November 18, 2011

Cerita Melayu Malbari Johor - UMNO Johor Perbodoh Rakyat

Cerita Melayu Malbari Johor - UMNO Johor Perbodoh Rakyat

Kelmarin, pada hari minggu seperti biasa Tun Sheikh balik Johor Bahru menjengok keluarga. Seminggu sekali atau dua minggu sekali Tun Sheikh balik kerana ada anak isteri di sana. Muar pula ialah kampong halaman. Batu Pahat dan Keluang tempat permainan. Pontian ada mertua dan Kota Tinggi ada abang dan darah kerabat seketurunan di sanan. Musim makan percuma setiap minggu masih belum putus sejak musim raya puasa hingga di musim raya haji dan tidak lama lagi akan bersambung pula majlis kenduri kahwin di musim cuti sekolah. Apapun Tun Sheikh bersyukur kerana hati pengantin terbuka untuk berkahwin secara sah daripada berterusan membuat maksiat atau terdedah untuk melakukannya sebelum bernikah secara sah. Maklum saja kebebasan dan budaya hidup moden hari ini tidak terkongkong atau dikongkong adat seperti zaman dahulu.

Ahad lepas, Tun Sheikh telah memenuhi undangan kenduri kahwin seorang sahabat berdarah Malbari di Kangkar Tebrau Johor Baharu. Cerita punya cerita ada juga pertalian darah mamak Tun Sheikh dengan mereka. Paling tidak pun memang satu kapal. Perbedaanya hanya saudara mara Tun Sheikh telah berbaur jauh jadi Melayu dan tidak lagi seperti keluarga pengantin yang majoriti para hadirin ialah sewajah dan sewarna kulit dan bahasa Malbarinya pun masih diamalkan. Banyak juga wajah-wajah sejuk mata memandang kerana tarikan jambang mereka yang boleh dikatakan sefesyen membawa imej kealiman atau setidak-tidaknya membawa imej Islam. Dari perbualan, mereka memang tidak gemar jika mereka dianggap sebagai India walaupun mereka berasal dari sana. Mereka sangat gembira tetapi tidaklah berlebih-lebihan seperti Melayu Umno bila menceritakan mereka ada darah ahlul-bait.

Ironinya dalam perbualan sepanjang Tun Sheikh berada di majlis itu selama 3 jam, 60% cerita atau perbualan adalah mengenai Melayu Umno Johor. Pertamanya mereka terasa mereka diasingkan oleh Melayu UMNO seolah-olah tidak terima mereka walau mereka mengaku Melayu. Kedua, mereka tidak mahu malah tidak terima jika dikategorikan sebagai India. Ketiga, mereka terasa terpinggir manakala Persatuan India Muslim tidak memenuhi citarasa mereka. Keempat, mereka terasa seolah-olah mereka diperlekeh oleh Melayu UMNO seperti rakyat kelas ketiga setaraf India marhaen padahal ekonomi mereka boleh dikatakan kukuh kerana aktif dalam dunia perniagaan dan tidak banyak yang makan gaji dengan kerajaan atau syarikat-syarikat Cina kecuali syarikat yang ada hubungan dengan kelompok mereka sendiri. Kelima mereka rasa seperti diperbodohkan Melayu UMNO kerana mereka mengaku mereka ada darah Melayu tetapi Melayu UMNO kelihatan banyak menipu dan membohongi orang Melayu sendiri dalam dunia politik yang dikuasai Melayu membuat mereka juga terasa sehingga rasa tergugat jika hendak mengaku atau memperjuangkan Melayu. Keenam, mereka tidak percaya kepada Parti Keadilan kerana mereka anggap perjuangan parti itu akhirnya akan membudayakan politik kotor seperti yang diamalkan oleh UMNO setelah berkuasa.Ketujuh, mereka sangat tertarik kepada diplomasi PAS dan berminat menyumbang apa yang termampu kepada parti yang bertunjangkan Islam itu.

Perbualan bertambah panas apabila isu atau topic menyentuh orang-orang Melayu UMNO Johor yang berperangai bodoh, bergasak dan mengganggu ceramah Mat Sabu hingga ada yang luka. Mereka amat faham kejahilan atau kejahatan UMNO Johor kerana mereka sendiri pernah berpengalaman dengan situasi sebegitu. Mereka sedih kerana UMNO Johor pura-pura buat bodoh bahawa pemikiran majority anak muda Johor sudah berubah. Lebih-lebih lagi apabila Menteri Besar Johor menafikan penglibatannya menerbitkan buku sejarah oleh Yayasan Warisan Johor yang mengiktiraf Mat Indera sebagai tokoh negarawan Johor menentang pejajah Inggeris.

Sebenarnya, jika dikaji kisah politik Melayu Johor memang unik. Dato’ Onn misalnya adalah seorang tokoh yang benci Inggeris. Tetapi dikelabui dengan catatan sejarah yang telah menganggap beliau adalah anak emas Inggeris. Begitu juga dengan perpaduan Melayu Johor, sebenarnya orang Jawa, Banjar, Boyan, Melayu, Arab-Melayu, Bugis, Seletar atau Orang Selat, Minang dan lain-lain suku Melayu Johor, tidak pernah bersatu padu atau bersatu hati di Johor kecuali apabila dititah menyertai perang. Mereka tinggal dengan kelompok sendiri. Itulah sebabnya mengapa orang India dan Cina juga boleh hidup dalam kampong suku-suku Melayu. Masing-masing ada kepentingan hidup sendiri.

Apabila berlaku penjajahan Jepun, barulah mereka membuka mata bahawa mereka perlu bersatu padu sebagai Melayu kerana perjuangan perpaduan diperjuangkan oleh elit dan intelektual Melayu. Mereka berasa yakin Melayu boleh bangkit kerana Jepun sendiri memberi semangat kepada mereka dengan mengalahkan British yang dianggap hebat. Manakala dari segi fizikal pula, orang Jepun atau tentera Jepun dilihat lebih kecil dari tubuh orang Melayu sendiri dan apabila berlaku keganasan komunis yang menolak agama dan berlaku zalim terhadap orang-orang Melayu seperti apa yang berlaku di Muar dan Batu Pahat Johor, maka ketika itulah perpaduan suku-suku Melayu menjadi padu dan mantap.

Berbalik kepada cerita Melayu UMNO Johor, kumpulan kecil Melayu-Malbari berdarah ahlul-bait ini yakin UMNO akan tumpas secara mengejut kerana tidak mahu berubah walaupun telah ditegur dan diperingatkan beberapa kali terhadap penyelewengan dan ketidaktelusan yang mereka amalkan. Melayu UMNO Johor kelihatan terus sombong mendabik dada mengaku bahawa mereka adalah pencipta UMNO, pencipata perpaduan, perancang kemerdekaan, pembawa kemajuan dan sebagainya tanpa menghiraukan bahawa masalah sebenar ialah masalah tidak amanah kerana terlalu sibuk mementingkan diri mencuri harta rakyat untuk diri peribadi melalui parti.

Akhirnya, kelompok Melayu-Malbari ini, mengaku bahawa mereka tidak lagi berbangga hendak mengaku Melayu kecuali berjanji akan menyokong tidak kira siapa asalkan memperjuangkan Islam. Dalam hal ini dan ketika ini mereka aktif membantu PAS selagi PAS telus , tulen dan jujur memperjuangkan dasar-dasar dan budaya hidup Islam bukan budaya Melayu yang songsang dan bercanggah dengan syariat Islam seperti banyak yang diamalkan atau yang diperjuangkan oleh Melayu UMNO. Marilah sama-sama kita berdoa semoga semua manusia tidak kira Melayu, India, Cina atau Malbari dan lain-lain agar sentiasa diberi petunjuk, taufik dan hidayah ke arah mengagongkan Islam. Amin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere