Saturday, April 9, 2011

Sarawak Oh Malaysiaku

Sarawak Oh Tanahairku
Pilihanraya Negeri 2011
Sarawak Memerlukan Pemimpin Berwawasan Global Sejagat


Ketika ini Kerajaan BN sedang sibuk berkempen menjelang pilihanraya Sarawak yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Rakyat tidak berasa aneh lagi kerana semua siaran media massa milik kerajaan memfokus kemajuan yang telah dicapai dan yang akan dilakukan. Kerajaan BN berusaha mempengaruhi rakyat Sarawak seolah-olah tiada siapa yang berupaya memajukan Sarawak seperti pemimpin-peminpin sedia ada yang bersekutu dengan BN.

Ironinya Sarawak yang dikatakan sebuah negeri yang mempunyai sumber kekayaan bumi masih berada dalam kelompok lima negeri teratas berada dalam kemiskinan. Pemimpin-pemimpin Sarawak bersama kroni mereka pula memegang rekod orang kaya di sana. Dan kekayaan pribadi yang dimiliki pula bukan sahaja dalam kelompok sesama mereka atau dengan kumpulan orang kaya di Malaysia malah boleh bersaing dengan orang kaya rakyat negara lain. Mereka berani berkata bahawa kekayaan mereka adalah hasil kepintaran mereka memerintah dan hasil usaha titik peluh mereka yang menyumbang bakti kepada masyarakat pribumi di sana. Sedangkan pada waktu yang sama, masih terdapat pribuminya yang masih bercawat.

Kerajaan Sarawak seolah-olah lupa bahawa puluhan ribu anak watannya sedang bertebaran di Semenanjung mencari penghidupan yang lebih baik. Mereka dapat hidup di sini tetapi dalam keadaan daif kerana mereka datang dengan bermodal tulang empat kerat dan pendidikan yang rendah. Kebanyakan mereka bersyukur kerana dapat hidup lebih baik dari di negeri Sarawak sendiri. Tetapi sangatlah menyedihkan kerana penghidupan mereka tidak jauh berbeda dengan pendatang asing malah nasib mereka selaku rakyat Malaysia tidak lebih baik dari pendatang asing. Mereka banyak terdapat di Johor, Trengganu dan Kuala Lumpur.

Golongan terpelajar Sarawak pula, mengikut sejarahnya memang mengikut perancangan kerajaan BN. Banyak yang sampai ke menara gading, memiliki segulung ijazah dan berkeluarga sesama sendiri sebagai kumpulan profesional tetapi peratusannya sangat sedikit yang kembali menyumbang tenaga dan kepakaran di Sarawak. Mereka lebih selesa membeli rumah dan menjadi orang Semenanjung. Mereka pernah merungut bahawa wawasan mereka tidak pernah dipedulikan oleh pemimpin Sarawak. Jika pandangan mereka membawa kesadaran menyeluruh kepada pribumi Sarawak, mereka akan dituduh subersif atau kelompok yang mencita-citakan merdeka. Persatuan Anak Negeri Sarawak pula dianggap terlalu memihak kepada kerajaan dan tidak berani mengemukakan pandangan positif yang bertentangan dengan wawasan kepimpinan Sarawak.

Sehubungan itu meskipun telah merdeka bersama dalam Malaysia, kemajuan dan pembangunan Sarawak sebenarnya masih terhad dan tidak menyeluruh kepada rakyat jelata. Apa yang kelihatan, mereka sebenarnya mewarisi corak pemikiran dan wawasan pemimpin Semenanjung. Kemajuan yang wujud tidak setara dengan kekayaan sumber hasil dan keluasan bumi Sarawak. Untuk menafikan tiada pembangunan yang dilakukan, tidak pula boleh dikatakan begitu kerana terbukti ada juga terpampang di hadapan mata. Cuma nikmat kekayaan tidak merata kecuali tersebar di kalangan kroni-kroni sahaja.

Jika menilik pendidikan pendatang Sarawak yang berduyun datang ke Semenanjung, terasa hal pendidikan dan segala perkara yang berkaitan dengannya masih sangat pincang. Mereka bukan sahaja tidak layak jadi ketua atau memimpin dalam pekerjaan yang tidak memerlukan sijil kemahiran malah hanya layak menjadi buruh kepada pendatang asing. Ini sangatlah dikesalkan kerana pendatang asing lebih bernasib baik malah kelihatan lebih terbela daripada rakyat sendiri. Pemimpin BN pusat seolah-olah tidak dapat dipersalahkan. Masalah ini kelihatan seperti mereka berlepas tangan yang akhirnya terbeban kepada pemimpin Sarawak jua yang akan dituding. Mereka boleh ditekan dan dituduh sebagai tidak bertanggungjawab dan gagal berperanan sebagai pemimpin rakyat Sarawak. Di sudut yang lain, pemimpin Sarawak tertekan dan terpaksa mengikut rentak BN dalam hal politik dan juga kepentingan pribadi dalam soal mengambil kesempatan dan mengawal kekayaan Sarawak. Akhirnya mereka sama-sama bersefahaman menangguk kekayaan untuk diri sendiri mahupun parti dan terus berjaya memerintah dengan budaya curang.

Dalam keadaan ekonomi dan sara hidup yang masih di peringkat asas dan ketinggalan, tentunya rakyat yang berada dalam kelompok itu tidak akan terbuai dengan isu-isu kebejatan moral pemimpin. Mereka lebih mengutamakan keselesaan dan kesenangan hidup daripada memikirkan kebejatan atau kecurangan pemimpin mereka. Sehubungan itu propaganda terhadap ketiadaan moral yang menjadi isu dan pertuduhan kepada ketua PKR tidak berkesan. Malah kebejatan pemimpin masyarakat mereka sendiri jika ada juga tidak menjadi suatu masalah yang boleh mempengaruhi kuasa memilih mereka ketika mengundi. Dengan itu, kerajaan BN mempunyai peluang yang sungguh luas dan lebar untuk memanipulasikan janji-janji pembangunan yang mengiurkan mereka.

Anak negeri Sarawak yang pintar dan celik ilmu, yang berada di Semenanjung pula kelihatan tidak mengambil tahu nasib saudara-mara mereka yang tidak bernasib baik. Mereka leka dibuai kesenangan hidup dan tidak sanggup berhadapan dengan risiko. Kumpulan yang terbuka hati untuk membantu pula boleh dikira dengan jari. Manakala yang cerdik dan pandai di Sarawak pula banyak yang telah termakan budi dan pro kepada kroni dan pemimpin Sarawak meskipun mereka mengetahui hak-hak asas rakyat terutamanya yang miskin diselewengkan.

Sarawak akan terus dijajah oleh pemimpin perompak duitan selagi tidak terlahirnya pemimpin anakbumi yang ikhlas, luhur dan berwawasan sejagat. Setiap pemimpin Sarawak yang tidak sanggup tidur digigit nyamuk seperti masyarakat peribumi di pedalaman maka selagi itulah pemimpinnya yang lahir akan mengintai kesempatan dan mengutamakan kepentingan diri untuk menjadi jutawan yang masih tidak terfikir oleh peribumi Sarawak seperti Orang Penan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara.

Monday, February 21, 2011

Kelebihan dan Kekurangan Melayu UMNO – PAS

Kelebihan dan Kekurangan Melayu UMNO – PAS

Intailah Kekuatan Melayu


UMNO dan PAS ialah dua parti orang Melayu yang utama, popular dan berwibawa di Malaysia. Tetapi satu daripadanya mengakui tidak bertunjangkan perjuangan Melayu kecuali Islam. UMNO pula mengaku Islam tetapi memperjuangkan kepentingan Melayu. UMNO berasa PAS tidak perlu ujud kerana menganggap UMNO berupaya menjalankan objektif parti PAS. PAS pula tidak mengharap UMNO akan melaksanakannya kerana UMNO terujud daripada konspirasi penjajah dan PAS pula lahir dari penyelewengan UMNO terhadap agama.

Jika anda seorang UMNO dan ingin membuat atau melaksanakan satu aktiviti misalnya membuat sebuah dewan orang ramai kos sederhana secara gotong royong, tidak banyak halangan dan masalah yang anda hadapi dengan syarat aktiviti itu mestilah kelihatan sumbangan atau komitmen UMNO kepada masyarakat. Anda akan dapat pembiayaan daripada pihak atasan. Hal ini menambah keyakinan anda untuk memberi perkhidmatan kerana separuh dari pekerjaan dan masalah anda dapat diatasi. Malah anda jangan terkejut, anda juga dapat imbuhan walaupun pada awalnya aktiviti atau projek pembangunan yang anda uar-uarkan itu adalah berkonsepkan gotong royong. Yang penting anda mesti berusaha menghadirkan seramai mungkin muka-muka Melayu pada hari gotong royong itu dan tahu menutup mulut.

Anda jangan pula terkejut segala bahan mentah itu akan dihantar oleh pembekal Ah Chong ke destinasi yang anda kehendaki. Anda juga jangan terkejut anggaran bajet yang anda kira untuk mendirikan dewan serbaguna itu sehingga siap dan selesai segalanya sebanyak misalnya RM100,000.00 tetapi diberitahukan Ah Chong bahawa kos bahan-bahan itu semuanya RM250,000.00 dan menasihatkan anda tidak perlu bersusah hati kerana Ah Chong juga mengaku sebagai penyumbang.

Di waktu yang sama anda tidak perlu terkejut dan memperbesar-besarkan isu apabila mengetahui sebuah jabatan kerajaan misalnya JKR telah memperuntukan sebanyak RM300,000.00 untuk projek yang disarankan oleh anda itu. Anda dinasihatkan supaya berterima kasih dan bersyukur serta berbangga kerana berjaya membina sebuah dewan orang ramai dengan kos hanya RM250,000.00 daripada peruntukan asal sebanyak RM300,000.00 kerana anda berjaya berjimat RM50,000.00 daripada wang kerajaan.

Inilah contoh fenomena jika anda seorang UMNO dan inilah kelebihan anda atau kelebihan UMNO yang berduit dan berkuasa. UMNO memiliki kepakaran dalam pelbagai hal dan bidang dan banyak professional yang menyumbang perkhidmatan di dalam parti Melayu itu. Sungguh hebat UMNO milik Melayu, milik kita. Dengan itu majulah bangsa kita apabila projek pembangunan tidak menjadi masalah untuk melaksanakannya.

Jika anda seorang PAS pula dan bercadang untuk membuat pekerjaaan yang sama, anda terpaksa menguar-uarkannya secara nyata dan merata tempat dan jika tidak bernasib baik anda terpaksa menjadi penagih atau pengemis derma dan amat malang jika silap-silap haribulan anda difitnah mengsonglap duit kutipan. Lokasi atau tapak pembinaan yang anda cadangkan itu akan diperiksa dan diuji oleh pihak berkuasa dan kadang-kadang tidak dapat kelulusan. Entah mengapa anda pun tidak begitu tahu dan tidak diberitahu dengan sejelasnya. Jika anda cenderung menggunakan harta atau tanah milik anda sendiri, banyak proses pemutihan atau memindahmilik terpaksa anda lalui kerana dikhuartiri anda atau waris anda mengambil kesempatan terhadap bangunan itu yang diperkirakan pembinaannya adalah dari duit orang ramai.

Sekiranya anda seorang berkemampuan, berkemungkinan besar projek amal anda itu menjadikan diri anda seorang yang terpaksa mengeluarkan banyak tenaga dan pelbagai belanja yang tidak terduga. Pelbagai masalah misalnya kewangan yang tidak mencukupi menyebabkan projek itu lambat atau tidak selesai. Tetapi jika anda mempunyai saudara usrah yang mantap dan berilmu, kesedihan anda akan dikongsi bersama dan mereka tetap bersabar dengan dugaan yang dihadapi. Mereka tidak akan lupa terhadap hidup satu matlamat bersama anda.

Dengan kekuatan saudara kumpulan usrah yang beramal dan hidup secara fikrah Islam, anda tidak perlu terkejut, dewan yang tidak siap itu telah berfungsi mengikut objektif yang ditetapkan oleh anda. Anda akan terhibur dan tidak menyangka bajet untuk mendirikannya sebanyak RM100,000.00 tetapi cukup dengan hanya separuh daripadanya secara ala kadar tetapi dapat merasakan kebarkatannya. Anda tidak pula gentar dan terpengaruh dengan segala tokmah dan fitnah kerana anda membangunnya dengan sumbangan ikhlas anda dan orang ramai. Bukan duit rakyat yang anda kumpulkan dari cukai sehingga barang keperluan menjadi mahal . Yang sangat penting ialah, penyucian wang atau pendapatan anda. Bukan kemasukan wang syubahat atau wang haram yang menjadi darah daging anda dan anak isteri.

Sekiranya bangunan itu dibina oleh anda dengan tangan sendiri dan sama-sama bergotong royang, tidak mustahil semua yang terlibat akan memperoleh pengalaman dan ilmu juga pertautan hati. Berikutan daripada itu fikrah dan roh islamiah akan terus mantap dan terus bertambah kuat jika anda menyedarinya.

Betapa hebatnya manusia Melayu jika orang berfikrah Islam sejujur anda, hidup dengan mengamati atau secara Islam terdiri juga daripada Melayu UMNO yang professional dan yang cerdik-cerdik sebagaimana yang sangat banyak terdapat di dalam UMNO yang sedang memancarkan kesombongan itu. Sama-samalah kita berdoa semoga kita bersatu kerana agama. Bukan bersatu kerana Melayu dan meminggirkan Islam. Harap-harap UMNO tidak terus sombong dan selesa dengan budaya rasuah.Renung-renungkanlah…….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Thursday, November 25, 2010

ULAMAK MUDA & KEPIMPINAN UMNO GELOJOH?

ULAMAK MUDA DAN KEPIMPINAN UMNO YANG GELOJOH?

SUDAH TERANG LAGI BERSULUH & KELEMAHAN PERJUANGAN



Krisis kelemahan kepimpinan Tun Abdullah telah memaksa para pemikir UMNO menyiasat dan mencari kelemahan hingga ke akar umbi. Adalah sangat menarik apabila diantara resolusi dan ketetapan yang perlu diambil untuk mengembalikan keyakinan ahli khususnya dan keyakinan masyarakat Melayu umumnya segera dilaksanakan. Usaha dan tindakan pantas seolah-olah berjalan lancar dan cekap tetapi hanya berlaku dalam kelompok pertengahan. Akar umbi masih tidak berpuashati dengan kuasa veto birokrasi tertinggi dalam UMNO.

Apa yang menjadi isu utama ialah ketidakpuasan hati akar umbi terhadap sikap pemegang amanah dalam parti dari peringkat bahagian hinggalah ke peringkat tertinggi. Ini adalah kerana kelompok itu menikmati kemewahan yang dianggap tidak seimbang dengan jasa dan perkhidmatan yang disumbangkan. Isu politik wang dan rasuah serta salah menggunakan kuasa dan wang rakyat menjadi isu realiti yang tidak dapat disembunyikan. Kemana sahaja biro penyiasat pergi untuk mendapatkan dan mengumpul maklumat, didapati maklumat yang diberi adalah serupa. Mereka mendapati akar umbi yang merupakan kumpulan teramai dalam UMNO tidak menyesal akan memberi undi kepada pembangkang jika isu dan masalah yang dikemukakan tidak diambil perhatian sebagai satu pengajaran.

Ahli-ahli akar umbi termasuk penyokong di atas pagar mengakui masih menyayangi parti tetapi mereka akan menolak pencalunan ahli UMNO dalam pilihanraya XIII jika amalan rasuah dan salah guna kuasa terus berleluasa. Salah guna kuasa bermaksud mengambil kesempatan mengumpul harta dan kekayaan. Inilah minda yang sangat berbahaya dan akan merosakkan kemurnian perjuangan UMNO. Akar umbi yakin dan terbukti minda kepimpinan yang diharapkan telah menggunakan platform yang disediakan UMNO untuk kepentingan diri dari mengutamakan akar umbi. Mereka dianggap tidak amanah kerana setelah diberi peluang menerajui birokrasi, mereka akan terus berusaha dan dengan mudah mencari wang dan kemewahan hidup sendiri.

Oleh kerana peluang terbuka luas dan negara juga dianggap mewah maka dengan mudah mereka dapat mengeksploitasi amanah yang diberi untuk kepentingan diri dan mereka benar-benar berjaya menunjukkan kemewahan hidup jika menyertai dan aktif dalam UMNO. Tanpa mereka sadari sebenarnya secara otomatis telah berlaku persaingan diantara mereka dan setiap sen peluang tidak pernah dipersiakan. Sehingga tanpa sadar mereka kelihatan seperti anjing merebut bangkai dan perlakuan melanggar disiplin parti dan maruah agama tidak lagi dihiraukan. Akar umbi tidak dapat menghalang mereka kerana itulah budaya dalam perjuangan UMNO yang memakai banyak topeng.

Satu perkara yang akar umbi telah sarankan ialah agar kembali segera kepada nilai-nilai murni Islam kerana semua ahli beragama Islam dan Islam itu menjadi junjungan parti pada peringkat awal penubuhannya. Mereka mengharap isu agama mestilah diselesaikan dengn penuh berhemah terutama apabila bertembung dengan parti pembangkang PAS. Selama kedapatan pertembungan isu dan polimik agama, UMNO kelihatan begitu jahil dan berhujah dengan kejahilan seperti orang yang bukan beragama Islam. Apabila disiasat memang ada kebenarannya kerana kepimpinan UMNO tidak mendalami pengetahuan agama Islam. Mereka hanya menggunakan fatwa dari beberapa ulamak UMNO yang tidak diberi kuasa dan tidak berwibawa. Sehubungan itu suara kuasa pribadi UMNO kelihatan lebih lancang daripada suara hak hukum dari pengetahun ulamak UMNO. Jadilah mereka seolah-olah ulamak suk atau ulamak ynag buruk dan terhina kerana ilmu mereka kelihatan dipersendakan dan dipergunakan pada tempat yang salah.

Maka keluarlah satu saranan yang sangat baik supaya semua ahli terutama kepimpinan UMNO agar kembali kepada nilai-nilai murni agama. Caranya ialah melatih imam dan ulamak muda dengan harapan pada suatu hari nanti mereka sendiri akan menjadi pemimpin atau sekurang-kurangnya sebagai penasihat kepada pemimpin UMNO yang tidak ahli dalam hukum hakam dalam Islam. Tertubuhnya kumpulan imam dan ulamak muda rupa-rupanya cepat dihidu oleh syaitan-syaitan yang bertopeng manusia maka ditekanlah kumpulan imam dan ulamak muda yang menjadi harapan masa hadapan.

Pengerusi penyiasat UMNO ke akar umbi juga tercabar dan demi menjaga kepentingan dirinya, beliau juga berlepas tangan terhadap nasib imam dan ulamak muda UMNO. Dengan melihatkan scenario nasib mereka maka telah tergambar bahawa mereka juga bakal menjadi ulamak buruk atau ulamak suk UMNO yang diperlekehkan oleh kepimpinan UMNO sendiri.

Di waktu yang sama, para pemimpin UMNO yang bertopengkan syaitan manusia berjaya menunjukkan prestasi pemulihan hasil siri-siri pembohongan. Kesombongan dan budaya rasuah bukan sahaja gagal diatasi malah menyemarakkannya lagi. Syaitan manusia memang mempunyai wawasan sungguh jauh kerana mereka dapat menghidu jika dibiarkan imam dan ulamak muda hidup dengan selesa di dalam UMNO maka sudah tentu periuk nasi mereka akan tertutup atau dicurah pasir kerana budaya hidup mereka sudah sebati dengan kemungkaran yang tersembunyi.

Sehubungan dengan itu usahlah bermimpi pada suatu hari nanti Melayu Islam UMNO akan bersatu dengan Melayu PAS kerana PAS sudah bersumpah mengikut ajaran Nabi SAW supaya tidak tertipu lagi memasuki lubang penipuan yang sama ciptaan UMNO. PAS hanya bersatu jika UMNO sanggup berkorban menukarkan perjuangan daripada Melayu kepada Islam. PAS sungguh jauh berwawasan kerana mengikut petunjuk agama bahawa manusia akan bersatu di bawah panji-panji Islam, selain dari itu mereka akan menuju kehancuran kerana nafsu dan kegelojohan. Itulah nasib UMNO jika berterusan menghina Islam yang digunakan untuk mencari pengaruh, kuasa dan kepentingan diri.
Adakah kita yang berada di akar umbi dan menyayangi UMNO sanggup melihat kehancuran diri sendiri kerana kebodohan, kejahilan , kesombongan dan sikap gelojoh…!?

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Sunday, September 19, 2010

Anwar Dan Ibrahim Bukan Pemimpin Tulen

Anwar And Ibrahim… Are Fake Leaders
Anwar Dan Ibrahim Bukan Pemimpin Tulen

Selamat Hari Raya 2010 dan Maaf Zahir Batin. Seminggu sebelum raya, Tun Sheikh berkesempatan menemubual Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim yang bertanggong jawab untuk menerang-nerang dan memperjelaskan sesuatu isu, polimik, propaganda mahupun gimik kerajaan dan sebagainya yang dipikulkan ke bahunya. Bagi Tun Sheikh, beliau memang seorang pemimpin yang berpandangan luas, jauh dan ada nilai global. Sayangnya, ketulusan dan kesayangan beliau terhadap adat resam Melayu terutamanya terhadap adat pepatih yang diamalkan di negeri asal beliau sangat tebal menyebabkan beliau terhijab daripada ilmu syariah mahupun ilmu hukum agama Islam.

Beliau sebenarnya adalah seorang yang boleh dikatakan sangat lurus sehingga pernah diperdaya ketika berlaku pergolakan politik antara team A dengan team B sehingga terlahirnya Parti Semangat 46 dan UMNO Baru. Beliau tidak menyesal tetapi secara terbuka mengaku kesilapannya dahulu. Walau bagaimana pun beliau juga mengakui bahawa beliau juga mendapat faedah dari segi pengalaman dan kematangan pemikiran dalam politik tanah air.

Apabila ditanya terhadap isu-isu yang agak sensitif, pertamanya beliau mengingatkan bahawa isu sensitif kena hati-hati supaya tiada pihak yang tersinggung hingga merugikan bangsa dan negara. Namun beliau tetap menjawabnya dengan tidak menyandarkannya kepada pandapat atau pandangan orang lain kecuali sebagai pendapat peribadi beliau sendiri. Ini membuktikan bahawa beliau memang seorang atau setidak-tidaknya memiliki ciri-ciri kepimpinan yang ikhlas dan tulin.Beliau mempunyai jati diri yang positif untuk memajukan pemikiran bangsanya. Beliau sangat bertanggongjawab dan tidak takut berhujah mengikut buah fikirannya sendiri dan berani bertanggongjawab ke atasnya.

Apabila disentuh apakah beliau pernah bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau secara spontan menjawab bahawa beliau tidak pernah mimpikan jawatan itu. Apa yang sangat penting bagi beliau adalah untuk memberi sesuatu yang terbaik kepada rakyat tidak kira jawatan apa yang diamanahkan kepada beliau, beliau akan berusaha keras dan berfikir mencari idea dan jalan tindakan supaya sesuatu yang bermanfaat sampai kepada rakyat. Beliau tidak gairah dengan jawatan Perdana Menteri kerana beliau telah berpengalaman lama dan telah berkhidmat kepada banyak Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Tun Sheikh menanyakan tentang tenggongjawab yang dipikulkan kepadanya terlalu banyak sehingga boleh dibahagikan kepada 3 potfolio menteri yang penting. Beliau mengakuinya dan tidak berasa terbeban secara tidak adil kerana beliau memang seorang yang suka dan berminat untuk bekerja jadi hal itu bukanlah masalah bagi beliau. Yang menjadi masalah bagi beliau ialah apabila semakin hari semakin tipis minat dan sayang oleh generasi muda terhadap adat resam dan budaya Melayu. Beliau menganggap dirinya sebagai pejuang Melayu tulen yang memiliki jati diri yang terhasil dari adat dan nounsa Melayu itu sendiri.

Apabila ditanya mengenai masa depan politiknya sama ada ingin terus berkhidmat dan menyumbang bakti, beliau berkata hal itu adalah bergantung kepada kesihatan dirinya. Jika sihat dan dipilih atau dikehendaki rakyat maka beliau akan berusaha memberi perkhidmatan terbaik. Tetapi jika mengikut kehendak hatinya, beliau bukanlah tokoh yang mencita-citakan pangkat dan jawatan. Bagi beliau, tanggongjawab sebagai Menteri telah menjadi routin kepada beliau dan tidak gairah untuk merebut-rebut atau mencari fasal pada ketika tampok kepimpinan atau rakyat telah tidak mahu lagi perkhidmatannya.

Apabila disimpulkan adakah penggal ini merupakan penggal terakhir beliau memberi perkhidmatan selaku menteri. Beliau tidak mengiakan dan tidak menafikan sebaliknya sekali lagi menegaskan jika beliau tidak diperlukan lagi oleh pucuk pimpinan dan rakyat maka beliau tidak akan berusaha untuk mendapatkan jawatan itu. Maksudnya beliau akan berundur dengan senang hati. Dan jika beliau ditunjuk atau dilantik oleh pucuk pimpinan dan rakyat tetapi pada masa yang sama kesihatannya tidak mengizinkan maka ketika itu beliau juga akan mengundurkan diri.

Mengenai masa depan UMNO pula beliau tetap yakin bahawa masa depan UMNO sangat cerah. Apa yang dikhuatiri ialah perjuangan yang tidak kolektif kerana masing-masing ingin menunjukkan kehebatan diri dan kepentingan diri sehingga mengabai kepentingan rakyat. Ini ditimbulkan kerana telah terdapat tunas-tunasnya ketika ini kerana banyak menteri tidak mahu mengorbankan sedikit waktu dan pemikiran untuk melihat dan memikirkan apakah yang diharap oleh rakyat.

Menyentuh terhadap parti PAS, beliau seperti tokoh-tokoh UMNO lain menganggap PAS tidak akan berjaya mencapai prinsipnya kerana negara ini berbilang kaum. PAS pula dilihat seolah-olah sebuah parti yang berterusan memperalatkan agama untuk kepentingan politik mereka. PAS adalah sebuah parti yang gagal menunjukkan contoh pengamalan Islam yang tulen. PAS adalah juga parti rasis iaitu Parti Melayu seperti UMNO yang berselindung disebalik agama.

Apabila ditanya mengenai perjuangan Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali terhadap kepentingan Melayu, beliau berkata mereka adalah fake leaders. Beliau sangat berharap agar orang Melayu jangan tertipu tetapi UMNO juga berhadapan masalah yang besar kerana dalam UMNO juga banyak terdapat fake leaders. Jadi bagaimana caranya untuk mengekalkan keselamatan dan keharmonian memandangkan perkembangan politik tanah air semakin hari semakin hangat. Beliau termenung seketika dan berkata kita mesti jujur dan saling faham memahami di antara satu sama lain tidak kira kita berlainan bangsa atau kepercayaan agama. Bila Tun Sheikh kata bukankah itu ada pengajaran dalam Islam. Beliau berkata harap-harap semua orang Melayu dan bukan Melayu memahami Islam sebenar yang bersih dari pengaruh UMNO mahupun PAS……..

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Friday, August 13, 2010

Membenarkan Siswa-Siswi Berpolitik

Jadikan Universiti Sebagai Sebuah Negara Yang Mempunyai Kerajaan Hasil Politik Kampus

Diantara dua atau tiga pemimpin kontemporari yang terkenal hasil berpolitik di kampus sebelum AUKU dikuatkuasakan ialah seperti Tun Dr Mahathir, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali dan Muhamad Sabu. Mereka berjaya menarik perhatian kerajaan terhadap isu-isu yang dibawa mereka. Penglibatan universiti menjadi begitu terkenal dan pengaruh siswa-siswi berkempen juga memberi keuntungan besar kepada parti-parti politik yang mempengaruhi mereka.

Oleh kerana mereka sangat berpengalaman menggerakkan aktiviti politik di kampus, mereka tahu bagaimana pengaruh dan aktiviti boleh berlaku dan digerakkan. Mereka mengetahu kesan-kesannya dan sehubungan dengan itu, demi menjaga kepentingan mereka, mereka telah bersetuju AUKU dikuatkuasakan. Mereka ialah Dr Mahathir, Anwar dan Ibrahim Ali adalah juga tokoh yang telah mencadangkan dan bersetuju Akta Universiti dikuatkuasakan dan menghalang para siswa-siswi terlibat dalam politik. Alasan utama mereka ialah berpolitik di kampus telah melemahkan para siswa-siswi dalam pembelajaran, sangat banyak membuang waktu dan mudah terpengaruh malah dipergunakan oleh parti-parti politik untuk mempengaruhi rakyat atau meracuni pemikiran masayarakat. Pokoknya impak negatif yang timbul adalah lebih banyak daripada kebaikan dan positifnya.

Sejarah pula telah merekodkan bukti penglibatan siswa-siswi dalam politik di era mereka telah menyebabkan pihak kerajaan terutamanya, dipandang serong atau agak negatif oleh masyarakat kerana masyarakat terpengaruh dengan maklumat dan aktiviti yang dimainkan oleh para siswa-siswi. Pada waktu yang sama hanya universiti-universiti yang tidak aktif dalam politik saja yang terkenal dengan jumpaan-jumpaan ilmiah baru samaada dalam bidang sains mahupun sastera budaya. Kecemerlangan universiti-universiti berkenaan amat merisaukan golongan pemimpin kerana kebanyakan pelajar atau para siswa dan siswi yang sibuk berpolitik adalah siswa-siswi Melayu manakala yang tekun dan berjaya cemerlang dalam akademik di universiti adalah pelajar-pelajar bukan Melayu.

Pada hakikatnya, memang ada kebenarannya bahawa banyak perkara dan hal atau isu yang tidak didedahkan oleh kerajaan telah diuar-uarkan oleh tokoh-tokoh politik kampus. Kerajaan telah berhadapan banyak halangan, masalah dan kebocoran maklumat kerana para kepimpinan politik di kampus berjaya menghebahkannya. Ini adalah kerana mereka sendiri turun padang dan membuat kajian. Sebanyak sedikit penglibatan para siswa dan siswi berpolitik telah mengurangkan populariti tokoh politik. Banyak juga isu-isu penyelewengan dan kepentingan pribadi terbongkar sehingga menyusahkan mereka untuk bergerak dan bertindak. Perkara yang sangat merisaukan tokoh-tokoh politik ialah penghakisan pengaruh dan hilangnya kewibawaan diri mereka akibat peranan yang dimainkan oleh politik dari kampus-kampus.

Justeru, salah satu mengapa AUKU dikuatkuasakan sebenarnya adalah untuk menyelamatkan kewibawaan dan kedudukan mereka dalam politik tanahair. AUKU juga sebenarnya sekaligus memberi advantage kepada pihak pemerintah iaitu parti yang menerajui kerajaan kerana hanya pihak kerajaan sahaja yang boleh akses kepada mereka. Mereka akan mudah dipengaruhi dan dibentuk sebagaimana yang diacuankan oleh parti politik yang berkuasa atas nama kerajaan.

Akibat dari penguatkuasaan AUKU, cetusan minda yang aktif, bernas dan agresif yang bebas lahir dari anak-anak muda di universiti menjadi mati. Para siswa siswi tidak tahu dan tidak berminat dengan politik. Kerajaan pula berjaya mengurus negara tanpa gangguan dari aktiviti para pelajar universiti. Masyarakat sudah tiada lagi mendapat maklumat dari sumber kedua yang boleh diyakini dan dibuat perbandingan dan perimbangan. Akibatnyanya rakyat juga kelihatan begitu pasif sehingga apabila berlaku pilihanraya, kerajaan tidak menghadapi masalah untuk menang walau meletak sesiapa saja sebagai calon yang mewakili kerajaan.

Ironi sekali apabila kejayaan parti-parti BN di setiap kali pilihanraya telah mebuatkan mereka mendabik dada dan begitu yakin sebagai golongan yang bijak dan cekap mentadbir. Kerana adanya unsur-unsur kesombongan ini, tambah pula tiada permerhati yang ekstrim seperti golongan pelajar atau politik kampus maka para pemimpin barisan kerajaan terjerumus melakukan penyelewengan untuk kepentingan diri dan keluarga. Maka kelihatan trend menjadi kaya, mewah dan berduit di kalangan semua tokoh pimpimpin dari parti kerajaan walau hanya baru aktif di cawangan atau bahagian. Trend ini sampai ke hari hari ini seolah-olah telah menjadi matlamat dan tujuan utama mereka melibatkan diri untuk berpolitik iaitu untuk menjadi cepat kaya dengan usaha yang sedikit dan mudah.Ia tidak lagi sebagai trend yang mengikut musim tetapi telah membudaya. Ini adalah kebudayaan kuning dalam politik yang sengaja dibiarkan.

Akibat negatif yang sangat ketara di kalangan pelajar-pelajar pula, seolah-olah berlaku kejumudan minda para siswa-siswi. Pencapaian mereka dalam akademik hanya tertumpu kepada apa yang mereka pelajari dalam bentuk stereo type. Dalam ertikata lain, fikiran mereka tidak berkembang dan matang. Mereka mengetahui sesuatu bidang yang tinggi tetapi gagal mengimplimenkannya dan gagal mengembangkan dan menyesuaikannya kepada kehidupana seharian masyarakat kontemporari. Dari segi kemajuan dan perkembangan politik pula, tidak banyak tokoh yang menonjol kerana para graduan tempatan tidak berminat dan berani mengeluarkan pendapat dalam politik hasil dari pengaruh sekatan dan halangan AUKU yang diamalkan. Tokoh-tokoh politik pelapis dari pusat pengajian tinggi tempatan tidak banyak dikesan berkebolehan maka banyaklah tokoh-tokoh politik muda yang memiliki segulung ijazah luar negeri memenuhi kerusi-kerusi politik yang dikosongkan itu. Akibatnya, dasar dan minda politik negara kita tidak lagi bersemangat kebangsaan kerana mereka terpengaruh dengan budaya asing ketika mereka di alam universiti di luar negeri dahulu.

Sehubungan itu kebebasan berpolitik dikampus hendaklah dibuka semula. Sebaiknya diperbaikilagi dan dinaikkan taraf dan pengiktirafannya. Jadikanlah universiti itu sebagai sebuah negara yang berkerajaan. Kerajaan yang ditadbir oleh tokoh-tokoh politik kampus yang menang dalam suatu jawatankuasa ekserkutif. Hal-hal pentadbiran dilakukan oleh badan tenaga pentadbiran sedia ada. Hal politik dan isu politik mestilah bebas tetapi tokoh politik kampus tidak boleh terlibat dengan parti politik di luar kampus. Dalam piliharaya negara mereka boleh bertindak sebagai badan pemerhati dan badan penguatkuasaan penyelewengan dan rasuah yang bebas dan tidak bias kepada mana-mana parti. Semua warga universiti kecuali kakitangan pentadbiran sokongan adalah lantikan kerajaan politik kampus dan pastinya perlantikan ketua-ketua bidang adalah mengikut kelulusan hakiki yang mereka miliki dan dilantik mengikut politik mereka tetapi fahaman politik tidak mengikat mereka menjadi bias dalam sebarang disiplin keilmuan.

Semua warga universiti yang telah berusia 21 tahun adalah bebas mengundi mengikut pilihan mereka dalam piliharaya kebangsaan tetapi mereka tidak boleh menggabungkan diri aktif dalam mana-mana parti politik di luar kampus sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Dan kerajaan hendaklah mengiktiraf kerajaan politik di kampus seperti pusat sumber dan pengembangan politik yang sihat. Malah mungkin sebagai teladan dan bayangan kerajaan berdasarkan penghuni dan masyarakat kampus yang berilmu tinggi berpolitik di dalam kampus ke arah keharmonian dan kecemerlangan kehidupan dalam dunia akademik dan falsafah pendidikan dan falsafah ilmu.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Thursday, July 15, 2010

UMNO WASPADALAH, JANGAN GELOJOH

UMNO JANGAN GELOJOH & HATI-HATI DENGAN SYAITAN MANUSIA

Jun 2010 adalah bulan rencam Tun Sheikh kerana tidak dapat banyak menulis dan tidak dapat banyak bergerak walaupun ada 2 minggu musim percutian sekolah. Namun, Tuhan dengan kebesaranNya yang tidak dapat kita fikirkan telah mendatangkan banyak imput berita dan peristiwa melalui aduan dan laporan mengenai politik dan social semasa. Kes-kes sahabat handai dan saudara mara yang meminta bantuan dan pandangan rasional mengenai masalah rumah tangga yang sedang bergolak atau diambang perceraian sebanyak sedikit dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Apalah salahnya kita memberi senyuman jika sedikit senyuman kita itu dapat menyenang atau memberi ketenangan kepada orang lain. Ini semua sangat Tun Sheikh syukuri kerana dapat dijadikan bahan penulisan. Semacam suatu rahmat, nikmat dan hikmah jua dari Allah. Alhamdulillah.

Alhamdulillah juga kerana idea dan pandangan liberal Tun Sheikh mengenai bangsa Melayu tercinta seolah-olah didengar dan diterima. Tetapi adalah wajar, ia belum lagi berhasil kerana benihnya baru saja bercambah. Tun Sheikh sangat bersyukur apabila mengetahui telah ada gelombang biru-hijau di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sedang aktif dalam aktiviti dan menyibar fahaman dan mencari ahli yang bersependapat. Apa yang Tun Sheikh maksudkan biru-hijau ini bukanlah PR tetapi gelombang kumpulan anak muda dalam UMNO yang sedang bergerak aktif dengan visi dan misi baru yang bertenaga. Meskipun masih seperti ombak-ombak kecil, tetapi sangat giat menguar-uarkan untuk kembali berjuang seperti matlamat murni Melayu asal. Tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin Melayu rasuah. Mereka ingin berbakti dengan jujur dan tulus dan apa yang sangat membanggakan ialah sumpah mereka untuk memartabatkan Islam sebagai panduan dan rujukan diatas segalanya seperti PAS.

Mereka berjanji dan bersumpah untuk merealisasikannya dan apabila Tun Sheikh dapati berbondong kumpulan ulamak Islam muda menyertai UMNO ketika ini, Tun Sheikh yakin mereka akan mengotai apa yang mereka kata. Mereka adalah pemuda UMNO generasi baru yang akan mengangkat Islam dalam UMNO sebagaimana ahli PAS mengangkat martabat Islam dalam PAS. Mereka tidak mahu UMNO menjadi ikon Melayu tetapi mereka akan berusaha menjadikan UMNO adalah Islam.

Di Perak, kumpulan pemuda UMNO ini mendapat kesadaran dan pengajaran yang tinggi nilainya setelah berlaku rampasan kuasa politik yang mereka anggap bacul yang telah dilakukan oleh pemimpin atasan mereka sendiri. Mereka sebenarnya tidak bersetuju tetapi ketika ini mereka tiada kuasa malah untuk menyuarakan suara hati mereka pun tidak ada platform yang disediakan. Ketika ini mereka hanya bergerak sebagai mengikut kepada pemimpin veteran mereka yang dianggap berfikiran konservatif dan ortodoks tetapi walupun berdiam, mereka mencari pengaruh dan pengalaman menyiapkan diri.

Mereka adalah angkatan muda UMNO yang melihat bahawa PAS akan selamanya gagal untuk memertabatkan Islam jika minda politik veteran UMNO terus berkuasa dan pada waktu yang sama sedang menyediakan jambatan rapuh untuk masa depan anak-anak muda UMNO. Mereka amat sadar bahawa jambatan yang disediakan pemimpin veteren yang sedang menguasai UMNO dan memerinth ketika ini akan runtuh ketika sampai giliran mereka menggunakannya nanti. Mereka adalah kumpulan pemuda UMNO yang yakin bahawa hanya UMNO sahaja yang akan berjaya memartabatkan Islam jika UMNO segera berjuang kearah itu tanpa menghiraukan PAS.

Mereka sangat yakin bahawa pekong UMNO hanya terubat jika mereka berjaya menghapuskan minda kebejatan yang hanya mementingkan diri dan bercita-cita menjadi popular dan mengaut kekayaan melalui UMNO sebagaimana menjadi amalan ketika ini. Mereka juga sangat yakin bahawa kecintaan mereka terhadap Melayu dan UMNO hanya akan terselamat di bawah payung Islam tulin sebagaimana diperjuangkan PAS tetapi mereka melihat PAS gagal dan lemah dalam banyak perkara terutamanya dalam segi teknikal dan professional semasa.

Mereka juga mengenal PKR yang dianggap serupa sahaja seperti pemimpin UMNO mereka yang berminda konservatif. Adalah sangat menarik apabila mendengar hujah mereka, mengatakan bahawa orang luar melihat minda pemimpin UMNO amat moden tetapi bagi mereka, minda pemimpin mereka adalah konservatif kerana masih menganggap budaya barat termasuk bahasa dan kebudayaan social barat adalah baik.

Seperti di Perak, begitu juga di Negeri Sembilan. Mereka adalah kumpulan muda yang membenci lagak dan perilaku ketua mereka dan bekas menteri besar yang mereka anggap masih lagi dalam dunia apungan duit. Mereka yakin apabila minda Islam kontemporari mereka ini dapat diterima oleh semua yang beragama Islam, maka pemimpin Melayu yang tidak mengenal dan tidak tahu membedakan antara agama Islam dan adat Melayu akan pupus. Mereka sangat yakin bahawa perjuangan Islam PAS adalah tulin tetapi malangnya kelemahan PAS tidak dimanfaatkan oleh pemimpin UMNO veteran mereka untuk merajui Islam. Ketika ini mereka sangat sadar kerana mereka sendiri melihat pemimpin UMNO mereka yang sedang berkuasa ketika ini hanyalah memakai topeng.

Kumpulan pemuda Negeri Sembilan ini banyak mengambil pelajaran melalui keadaan yang berlaku terhadap PKR. Mereka juga berpendapat bahawa idea kesatuan PKR dengan PAS dan DAP menjadi PR yang bersetuju duduk dibawah payung Islam yang sempurna dan adil sangat menarik dan jika berjaya dilaksanakan maka ketika itu akan terkuburlah UMNO. UMNO akan dikenang sebagai sebuah parti Melayu yang sangat kuat dan pernah memerintah negara tetapi kerana kesombongan dan penyelewengan serta menipu kepada bangsa terutama dalam hal agama dan kekayaan Negara maka UMNO tumbang.

Sehubungan dengan itu, sebelum UMNO tersungkur, kumpulan muda ini berjanji bekerja keras untuk mengangkat dasar Islam sebagai dasar dan wadah perjuangan. Mereka sangat menyayangi Tun Abdullah Badawi dan menyalahkan ahli keluarganya sebagai penyebab karier politik Pak Lah berakhir. Mereka yakin hanya melalui Islam, UMNO dan Melayu akan selamat dan terus berkuasa. Tetapi tidaklah serupa keadaan dan gambarannya sebagaimana UMNO ketika ini kerana UMNO yang dipimpin mereka bukan UMNO-Melayu, sebaliknya adalah UMNO Islam.

Di Melaka pula, apa yang menarik ialah pengakuan kumpulan muda UMNO ini mengatakan bahawa dasar perjuangan mereka untuk memertabatkan Islam adalah dokongan dari pemimpin mereka yang sedang berkuasa ketika ini. Beliau ingin membersihkan dirinya dari tuduhan rasuah. Beliau ingin membuktikan bahawa beliau adalah Melayu Islam yang tulin. Kalau dulu orang mengatakan beliau jahil tetapi ketika ini beliau berazam mengatasi anggapan jahil itu dengan menggalak dan mengundang para ulamak mengajar di masjid-masjid seluruh negeri Melaka. Yang sangat menarik, beliau sendiri menghadirkan diri dalam pengajian dan pembelajaran ilmu Islam di masjid-masjid. Ini adalah suatu tindakan yang sangat positif dan hendaklah kita menyokongnya.

Kesimpulan dari fakta-fakta dan berita yang Tun Sheikh dengar dan terima ini, yang sangat buat rasa terharu adalah berita keinsafan pemimpin tertinggi UMNO yang berasal dari anak seorang ulamak. Beliau dikatakan kecewa kerana laporan kajian soal selidik diperingkat akar umbi yang dipertanggongjawabkan kepadanya diperlekehkan. Berikutan dari itu beliau telah menggalakkan gelombang biru-hijau dalam UMNO demi kerana agama dan bangsa Melayu. Sayangnya beliau seolah-olah begitu optimis sekali.

Tun Sheikh juga diberitahu, bahawa gelombang biru-hijau UMNO muda ini adalah hasil dari pengaruh minda mantan PM Tun Dr Mahathir yang berjaya menanam semangat Malaysia Boleh. Kumpulan ini juga adalah pengaruh minda mantan TPM yang menggerakkan ABIM dimana Islam berteknologi dengan kontemporari sains. Mereka juga mengaku terpikat kepada budi pekerti dan contoh perilaku Tuan Guru Nik Aziz yang sungguh sederhara selaku Menteri Besar dalam penghayatan dan pengamalan Islamnya.

Tun Sheikh yakin jika mereka berjaya, maka inilah angkatan Melayu Islam Rabaniyun, pemimpin yang memayungi ummah iaitu rakyat berbagai bangsa dan agama di Malaysia. Kepada semua pemimpin Melayu yang mengaku Islam, janganlah menipu Melayu atau kelihatan seperti menipu dalam soal megangkat martabat Islam ini. Insyaallah UMNO Islam akan berjaya dan pejuang-pejuang Islam akan bergabung jika pendekatan UMNO sekurang-kurangnya seperti pendekatan PAS malah bertambah gah dan berkat jika berpadu dengan kepakaran dan kemahiran teknikal atau dengan istilah baru kejuruteraan budaya kontemporari Islam hakiki.

Sehubungan itu kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang ada fikrah Islam, hendaklah segera bergabung tetapi jangan gelojoh. Ini adalah kerana teman-teman yang sedang memimpin UMNO dengan nafsu serakah, akan membunuh karier politik anda kerana mereka sebenarnya syaitan manusia.


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Friday, May 21, 2010

PILIHANRAYA SIBU, MELAYU SIBU-SIBU DAN UMNO SEBU

PILIHANRAYA SIBU, MELAYU SIBU-SIBU DAN UMNO SEBU

Pilihanraya Parlimen Sibu telah pun selesai dan DAP tanpa diduga telah menang dengan majority tidak sampai 500. Bertungkus lumus SPR akur kepada bos gelap supaya mengira dan mengira semula dan mencari ikhtiar jangan ada salah pengiraan dan kerosakan.Teruja sungguh SPR kerana arahan bos gelap tetapi pengiraan tidak dapat dilakukan dalam gelap sebaliknya dalam dewan yang terang-benderang. Undi pos talian hayat juga dikira berkali-kali akhirnya sahih PR menang di Sibu dan BN sesak nafas, manakala Melayu UMNO sebu. Ketika peluh kepenatan mengira belum sempat kering dari menitik, bos-bos gelap yang terdiri dari Melayu UMNO yang sebu sudah pun menghilangkan diri bersembunyi atau balik ke Semenanjung.

Dalam sembang kopi dengan kawan-kawan yang majoritinya berkecuali dan sudah naik menyampah dan muak dengan kedegilan dan kesombongan Melayu UMNO yang masih tidak sedar diri, Tun Sheikh dapati mereka juga tidak memihak kepada PR.Ini adalah kerana darah yang mengalir dalam diri kami masih domain Melayu. Pandangan kami lebih kurang serupa iaitu melihat Melayu PKR dan Melayu PAS dalam pilihanraya di Sibu tidak ubah seperti sibu-sibu.Manakala telah tiada harapan yang kami letakkan kepada Melayu UMNO sebu selagi mereka tamak dan buas dengan dunia serakah penuh nafsu.

Sibu-sibu ialah serangga yang dikenali juga sebagai pepatung, terbang dipermukaan air dan kerap mencecah-cecahkan ekornya ke air. Rupanya cantik dan bergaya tetapi banyak kelemahan. Melihat peranan yang dimainkan oleh Melayu PKR dan PAS di Sibu, tidak ubah seperti lagak sibu-sibu itu tadi. Ini dapat diperkira dan dijangkakan dimana sibu-sibu itu tadi akan terhumban entah ke mana apabila nanti datang banjir tsunami atau setelah udara menjadi angin tofan.Adalah sangat malang dan terhina jika ini berlaku, mereka akan merempat dan menjadi pengemis di bumi tanahair nenek moyang sendiri.Manakala Melayu UMNO sebu yang sempat melarikan diri untuk tinggal di luar negara juga akan menjadi muzafir terbuang kerana duit rakyat yang dirembat tidaklah berkat dan jadilah mereka dan keturunan mereka sebagai Melayu jalang yang tidak lagi mengenal agama dan budaya.

Saranan supaya keadaan dan nasib Melayu ini segera diselamatkan ialah dengan perubahan mega agar Melayu UMNO yang berkuasa segeralah kembali ke pangkal jalan. Jadilah pemimpin dan pemegang amanah yang jujur. Belanjalah membiayai kehidupan berdasarkan gaji dan upah yang anda terima sahaja. Usahlah memandai-mandai dan mengambil kesempatan membolot komisyen dan duit-duit rasuah yang sengaja dicipta atas nama pembangunan. Malah mendermalah dan bersedekahlah dari pendapatan yang halal walaupun sedikit. Belajar dan hayatilah agama supaya pemikiran jahat dan nafsu yang buas itu dapat ditahan dan dikekang. Insyaallah wang yang tidak menjadi duit haram gara-gara rasuah akan kembali terkumpul dengan berkat dan belanjalah untuk kepentingan rakyat. Bukan kepentingan diri dan keluarga.

Jika saranan ini dibuat dengan tegas dan serius, bukan sahaja kepercayaan orang-orang Melayu akan kembali pulih tetapi semua bangsa akan gembira dan berkompromi. Namun jika dianalisa dengan terperinci, jika hal ini berlaku, ketuanan Melayu tetap tidak bertahan lama. Paling-paling jika hari ini Melayu UMNO kembali mentadbir dengan jujur, amanah dan bersih, ketuanan Melayu akan bertahan hanya 30 tahun sahaja. Ketuanan Melayu tetap akan hancur dengan sendirinya kerana rakyat Malaysia tidak berbangga lagi dan tidak suka mengaku sebagai Cina tanah besar atau India. Ketika ini pun mereka lebih suka dikenali sebagai China atau India Malaysia. Maknanya mereka nanti akan menuntut persamaan hak dan mereka memang berhak.

Adalah lebih buruk dan sangat malang jika Melayu UMNO yang sebenarnya sedang sebu masih sombong dan ingin berlari laju dalam rentak kuasa sekarang. Jika dianalisa dengan terperinci, Melayu akan tersungkur dan hilang ketuanannya dalam masa 10 tahun atau lebih cepat dari itu. Ini adalah kerana gelombang tsunami bertambah besar. Bayangkan di Sibu, di ladang dan di kawasan yang terpencil sekalipun, di mana kemudahan dan infrastrukturnya belum sempurna tetapi asal penghuni atau penduduk domain Cina walau banyak yang tidak berpelajaran tinggi tetapi mereka sudah mantap dalam pradigma minda dan pemikiran bahawa mereka tidak mahu lagi mengikut telunjuk Melayu yang korup dan tidak jujur sebagaimana yang telah menjadi ikon kepada Melayu UMNO yang sedang memerintah sekarang.

Melayu UMNO mungkin sedar bahawa politik orang bukan Melayu sebenarnya sungguh mantap dan matang. Mereka bijak bermain wayang Cina dalam politik dan kebudayaan bermain wayang dan tarian singga ini bukanlah baru tetapi sejak turun temurun dan berzaman-zaman dengan azam yang tinggi dan tidak pernah berputus asa. Itulah sebabnya mereka boleh hidup dan membina empayar dan rangkaian perdagangan seluruh dunia. Pada waktu yang sama Melayu UMNO terus menari-nari seperti ayam hutan yang di ekornya banyak tahi.

Ingatlah bahawa suka atau tidak peraturan dan undang-undang dunia glokal atau global akan terseragam dengan sendirinya. Akan menonjol dengan gahnya beserta dengan kebudayaan universal. Glokal yang tidak menepati kebebasan global akan terpinggir. Malaysia tidak berhak dan istimewa lagi untuk orang Melayu tetapi adalah hak kepada mereka yang lahir dan yang dapat memiliki kewarganegaraan di sini. Dan mereka inilah akan membunuh hak keistimewaan Melayu dan sekarang idea ini sangat diminati sehingga PR disokong oleh mereka. Suatu ketika nanti orang Melayu dalam PR juga akan hanyut. Melayu PAS tetap begitu pada takuk lama. Manakala Melayu UMNO dan PKR dan lain-lain dicurigai oleh Melayu PAS kerana sejarah dimana mereka pernah ditikam dari belakang oleh Melayu UMNO dan lain-lain yang tidak jujur dan bernafsu buas terhadap kehidupan dunia.

Melayu PAS memang dapat bertahan tetapi apalah yang dapat diharapkan dari segi ketuanan kerana PAS tidak memperjuangkan itu. Mereka tahu dan yakin kerana agama telah menceritakan dan telah memberi tanda-tanda bahawa perjuangan bangsa adalah sia-sia.Mereka dan seharusnya kita sebagai Melayu Islam menyokong mereka kerana yang dikejar adalah janji agama. Dan janji agama adalah janji Tuhan. Ini adalah kerana Islam mengajar bahawa dalam pelbagai usaha dan bidang, kepada pejuang agama dan kebaikan bahawa mereka dijanjikan dengan dua kemenangan. Kemenangan di dunia hasil usaha mereka . Tetapi jika mereka gagal, mereka tetap dianugerah kemenangan di akhirat. Betapa indahnya jika kita atau Melayu UMNO yang sombong memahami dan menjiwai falsafah dan panduan atau peringatan dari Tuhan ini. Jika Melayu UMNO memartabatkan segera agama dengan meminda dan memaku segera perlembagaan sediaada, selagi Islam berkuasa, maka secara tidak langsung melalui agama Islam yang tulen tidak seperti Melayu UMNO yang mengaku Islam sekarang, maka Melayu adalah bangsa bertuan disebaliknya dibumi Malaysia yang bertuah ini.

Mudah-mudahan pandangan ini diperhalusi dan diperhatikan oleh semua orang yang beragama Islam di Malaysia ini dan tidak salah juga oleh orang yang bukan Islam kerana Islam tidak menzalimi hidup dan kepercayaan anda selagi anda tidak berlaku zalim terhadap Islam.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara – dengan adaptasi idea dari bukunya Melayu Dahulu, Melayu Kontemporari dan Melayu Wawasan yang belum terbit.

 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere