Saturday, April 9, 2011

Sarawak Oh Malaysiaku

Sarawak Oh Tanahairku
Pilihanraya Negeri 2011
Sarawak Memerlukan Pemimpin Berwawasan Global Sejagat


Ketika ini Kerajaan BN sedang sibuk berkempen menjelang pilihanraya Sarawak yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Rakyat tidak berasa aneh lagi kerana semua siaran media massa milik kerajaan memfokus kemajuan yang telah dicapai dan yang akan dilakukan. Kerajaan BN berusaha mempengaruhi rakyat Sarawak seolah-olah tiada siapa yang berupaya memajukan Sarawak seperti pemimpin-peminpin sedia ada yang bersekutu dengan BN.

Ironinya Sarawak yang dikatakan sebuah negeri yang mempunyai sumber kekayaan bumi masih berada dalam kelompok lima negeri teratas berada dalam kemiskinan. Pemimpin-pemimpin Sarawak bersama kroni mereka pula memegang rekod orang kaya di sana. Dan kekayaan pribadi yang dimiliki pula bukan sahaja dalam kelompok sesama mereka atau dengan kumpulan orang kaya di Malaysia malah boleh bersaing dengan orang kaya rakyat negara lain. Mereka berani berkata bahawa kekayaan mereka adalah hasil kepintaran mereka memerintah dan hasil usaha titik peluh mereka yang menyumbang bakti kepada masyarakat pribumi di sana. Sedangkan pada waktu yang sama, masih terdapat pribuminya yang masih bercawat.

Kerajaan Sarawak seolah-olah lupa bahawa puluhan ribu anak watannya sedang bertebaran di Semenanjung mencari penghidupan yang lebih baik. Mereka dapat hidup di sini tetapi dalam keadaan daif kerana mereka datang dengan bermodal tulang empat kerat dan pendidikan yang rendah. Kebanyakan mereka bersyukur kerana dapat hidup lebih baik dari di negeri Sarawak sendiri. Tetapi sangatlah menyedihkan kerana penghidupan mereka tidak jauh berbeda dengan pendatang asing malah nasib mereka selaku rakyat Malaysia tidak lebih baik dari pendatang asing. Mereka banyak terdapat di Johor, Trengganu dan Kuala Lumpur.

Golongan terpelajar Sarawak pula, mengikut sejarahnya memang mengikut perancangan kerajaan BN. Banyak yang sampai ke menara gading, memiliki segulung ijazah dan berkeluarga sesama sendiri sebagai kumpulan profesional tetapi peratusannya sangat sedikit yang kembali menyumbang tenaga dan kepakaran di Sarawak. Mereka lebih selesa membeli rumah dan menjadi orang Semenanjung. Mereka pernah merungut bahawa wawasan mereka tidak pernah dipedulikan oleh pemimpin Sarawak. Jika pandangan mereka membawa kesadaran menyeluruh kepada pribumi Sarawak, mereka akan dituduh subersif atau kelompok yang mencita-citakan merdeka. Persatuan Anak Negeri Sarawak pula dianggap terlalu memihak kepada kerajaan dan tidak berani mengemukakan pandangan positif yang bertentangan dengan wawasan kepimpinan Sarawak.

Sehubungan itu meskipun telah merdeka bersama dalam Malaysia, kemajuan dan pembangunan Sarawak sebenarnya masih terhad dan tidak menyeluruh kepada rakyat jelata. Apa yang kelihatan, mereka sebenarnya mewarisi corak pemikiran dan wawasan pemimpin Semenanjung. Kemajuan yang wujud tidak setara dengan kekayaan sumber hasil dan keluasan bumi Sarawak. Untuk menafikan tiada pembangunan yang dilakukan, tidak pula boleh dikatakan begitu kerana terbukti ada juga terpampang di hadapan mata. Cuma nikmat kekayaan tidak merata kecuali tersebar di kalangan kroni-kroni sahaja.

Jika menilik pendidikan pendatang Sarawak yang berduyun datang ke Semenanjung, terasa hal pendidikan dan segala perkara yang berkaitan dengannya masih sangat pincang. Mereka bukan sahaja tidak layak jadi ketua atau memimpin dalam pekerjaan yang tidak memerlukan sijil kemahiran malah hanya layak menjadi buruh kepada pendatang asing. Ini sangatlah dikesalkan kerana pendatang asing lebih bernasib baik malah kelihatan lebih terbela daripada rakyat sendiri. Pemimpin BN pusat seolah-olah tidak dapat dipersalahkan. Masalah ini kelihatan seperti mereka berlepas tangan yang akhirnya terbeban kepada pemimpin Sarawak jua yang akan dituding. Mereka boleh ditekan dan dituduh sebagai tidak bertanggungjawab dan gagal berperanan sebagai pemimpin rakyat Sarawak. Di sudut yang lain, pemimpin Sarawak tertekan dan terpaksa mengikut rentak BN dalam hal politik dan juga kepentingan pribadi dalam soal mengambil kesempatan dan mengawal kekayaan Sarawak. Akhirnya mereka sama-sama bersefahaman menangguk kekayaan untuk diri sendiri mahupun parti dan terus berjaya memerintah dengan budaya curang.

Dalam keadaan ekonomi dan sara hidup yang masih di peringkat asas dan ketinggalan, tentunya rakyat yang berada dalam kelompok itu tidak akan terbuai dengan isu-isu kebejatan moral pemimpin. Mereka lebih mengutamakan keselesaan dan kesenangan hidup daripada memikirkan kebejatan atau kecurangan pemimpin mereka. Sehubungan itu propaganda terhadap ketiadaan moral yang menjadi isu dan pertuduhan kepada ketua PKR tidak berkesan. Malah kebejatan pemimpin masyarakat mereka sendiri jika ada juga tidak menjadi suatu masalah yang boleh mempengaruhi kuasa memilih mereka ketika mengundi. Dengan itu, kerajaan BN mempunyai peluang yang sungguh luas dan lebar untuk memanipulasikan janji-janji pembangunan yang mengiurkan mereka.

Anak negeri Sarawak yang pintar dan celik ilmu, yang berada di Semenanjung pula kelihatan tidak mengambil tahu nasib saudara-mara mereka yang tidak bernasib baik. Mereka leka dibuai kesenangan hidup dan tidak sanggup berhadapan dengan risiko. Kumpulan yang terbuka hati untuk membantu pula boleh dikira dengan jari. Manakala yang cerdik dan pandai di Sarawak pula banyak yang telah termakan budi dan pro kepada kroni dan pemimpin Sarawak meskipun mereka mengetahui hak-hak asas rakyat terutamanya yang miskin diselewengkan.

Sarawak akan terus dijajah oleh pemimpin perompak duitan selagi tidak terlahirnya pemimpin anakbumi yang ikhlas, luhur dan berwawasan sejagat. Setiap pemimpin Sarawak yang tidak sanggup tidur digigit nyamuk seperti masyarakat peribumi di pedalaman maka selagi itulah pemimpinnya yang lahir akan mengintai kesempatan dan mengutamakan kepentingan diri untuk menjadi jutawan yang masih tidak terfikir oleh peribumi Sarawak seperti Orang Penan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara.

1 comment:

  1. Muak betul dengan cerita politik, sudah2 lah tu... banyak lagi kerja berpaedah lain boleh dibuat...

    Benci Politik!

    Nilailah sendiri....

    ReplyDelete

 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere