Friday, August 13, 2010
Membenarkan Siswa-Siswi Berpolitik
Diantara dua atau tiga pemimpin kontemporari yang terkenal hasil berpolitik di kampus sebelum AUKU dikuatkuasakan ialah seperti Tun Dr Mahathir, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali dan Muhamad Sabu. Mereka berjaya menarik perhatian kerajaan terhadap isu-isu yang dibawa mereka. Penglibatan universiti menjadi begitu terkenal dan pengaruh siswa-siswi berkempen juga memberi keuntungan besar kepada parti-parti politik yang mempengaruhi mereka.
Oleh kerana mereka sangat berpengalaman menggerakkan aktiviti politik di kampus, mereka tahu bagaimana pengaruh dan aktiviti boleh berlaku dan digerakkan. Mereka mengetahu kesan-kesannya dan sehubungan dengan itu, demi menjaga kepentingan mereka, mereka telah bersetuju AUKU dikuatkuasakan. Mereka ialah Dr Mahathir, Anwar dan Ibrahim Ali adalah juga tokoh yang telah mencadangkan dan bersetuju Akta Universiti dikuatkuasakan dan menghalang para siswa-siswi terlibat dalam politik. Alasan utama mereka ialah berpolitik di kampus telah melemahkan para siswa-siswi dalam pembelajaran, sangat banyak membuang waktu dan mudah terpengaruh malah dipergunakan oleh parti-parti politik untuk mempengaruhi rakyat atau meracuni pemikiran masayarakat. Pokoknya impak negatif yang timbul adalah lebih banyak daripada kebaikan dan positifnya.
Sejarah pula telah merekodkan bukti penglibatan siswa-siswi dalam politik di era mereka telah menyebabkan pihak kerajaan terutamanya, dipandang serong atau agak negatif oleh masyarakat kerana masyarakat terpengaruh dengan maklumat dan aktiviti yang dimainkan oleh para siswa-siswi. Pada waktu yang sama hanya universiti-universiti yang tidak aktif dalam politik saja yang terkenal dengan jumpaan-jumpaan ilmiah baru samaada dalam bidang sains mahupun sastera budaya. Kecemerlangan universiti-universiti berkenaan amat merisaukan golongan pemimpin kerana kebanyakan pelajar atau para siswa dan siswi yang sibuk berpolitik adalah siswa-siswi Melayu manakala yang tekun dan berjaya cemerlang dalam akademik di universiti adalah pelajar-pelajar bukan Melayu.
Pada hakikatnya, memang ada kebenarannya bahawa banyak perkara dan hal atau isu yang tidak didedahkan oleh kerajaan telah diuar-uarkan oleh tokoh-tokoh politik kampus. Kerajaan telah berhadapan banyak halangan, masalah dan kebocoran maklumat kerana para kepimpinan politik di kampus berjaya menghebahkannya. Ini adalah kerana mereka sendiri turun padang dan membuat kajian. Sebanyak sedikit penglibatan para siswa dan siswi berpolitik telah mengurangkan populariti tokoh politik. Banyak juga isu-isu penyelewengan dan kepentingan pribadi terbongkar sehingga menyusahkan mereka untuk bergerak dan bertindak. Perkara yang sangat merisaukan tokoh-tokoh politik ialah penghakisan pengaruh dan hilangnya kewibawaan diri mereka akibat peranan yang dimainkan oleh politik dari kampus-kampus.
Justeru, salah satu mengapa AUKU dikuatkuasakan sebenarnya adalah untuk menyelamatkan kewibawaan dan kedudukan mereka dalam politik tanahair. AUKU juga sebenarnya sekaligus memberi advantage kepada pihak pemerintah iaitu parti yang menerajui kerajaan kerana hanya pihak kerajaan sahaja yang boleh akses kepada mereka. Mereka akan mudah dipengaruhi dan dibentuk sebagaimana yang diacuankan oleh parti politik yang berkuasa atas nama kerajaan.
Akibat dari penguatkuasaan AUKU, cetusan minda yang aktif, bernas dan agresif yang bebas lahir dari anak-anak muda di universiti menjadi mati. Para siswa siswi tidak tahu dan tidak berminat dengan politik. Kerajaan pula berjaya mengurus negara tanpa gangguan dari aktiviti para pelajar universiti. Masyarakat sudah tiada lagi mendapat maklumat dari sumber kedua yang boleh diyakini dan dibuat perbandingan dan perimbangan. Akibatnyanya rakyat juga kelihatan begitu pasif sehingga apabila berlaku pilihanraya, kerajaan tidak menghadapi masalah untuk menang walau meletak sesiapa saja sebagai calon yang mewakili kerajaan.
Ironi sekali apabila kejayaan parti-parti BN di setiap kali pilihanraya telah mebuatkan mereka mendabik dada dan begitu yakin sebagai golongan yang bijak dan cekap mentadbir. Kerana adanya unsur-unsur kesombongan ini, tambah pula tiada permerhati yang ekstrim seperti golongan pelajar atau politik kampus maka para pemimpin barisan kerajaan terjerumus melakukan penyelewengan untuk kepentingan diri dan keluarga. Maka kelihatan trend menjadi kaya, mewah dan berduit di kalangan semua tokoh pimpimpin dari parti kerajaan walau hanya baru aktif di cawangan atau bahagian. Trend ini sampai ke hari hari ini seolah-olah telah menjadi matlamat dan tujuan utama mereka melibatkan diri untuk berpolitik iaitu untuk menjadi cepat kaya dengan usaha yang sedikit dan mudah.Ia tidak lagi sebagai trend yang mengikut musim tetapi telah membudaya. Ini adalah kebudayaan kuning dalam politik yang sengaja dibiarkan.
Akibat negatif yang sangat ketara di kalangan pelajar-pelajar pula, seolah-olah berlaku kejumudan minda para siswa-siswi. Pencapaian mereka dalam akademik hanya tertumpu kepada apa yang mereka pelajari dalam bentuk stereo type. Dalam ertikata lain, fikiran mereka tidak berkembang dan matang. Mereka mengetahui sesuatu bidang yang tinggi tetapi gagal mengimplimenkannya dan gagal mengembangkan dan menyesuaikannya kepada kehidupana seharian masyarakat kontemporari. Dari segi kemajuan dan perkembangan politik pula, tidak banyak tokoh yang menonjol kerana para graduan tempatan tidak berminat dan berani mengeluarkan pendapat dalam politik hasil dari pengaruh sekatan dan halangan AUKU yang diamalkan. Tokoh-tokoh politik pelapis dari pusat pengajian tinggi tempatan tidak banyak dikesan berkebolehan maka banyaklah tokoh-tokoh politik muda yang memiliki segulung ijazah luar negeri memenuhi kerusi-kerusi politik yang dikosongkan itu. Akibatnya, dasar dan minda politik negara kita tidak lagi bersemangat kebangsaan kerana mereka terpengaruh dengan budaya asing ketika mereka di alam universiti di luar negeri dahulu.
Sehubungan itu kebebasan berpolitik dikampus hendaklah dibuka semula. Sebaiknya diperbaikilagi dan dinaikkan taraf dan pengiktirafannya. Jadikanlah universiti itu sebagai sebuah negara yang berkerajaan. Kerajaan yang ditadbir oleh tokoh-tokoh politik kampus yang menang dalam suatu jawatankuasa ekserkutif. Hal-hal pentadbiran dilakukan oleh badan tenaga pentadbiran sedia ada. Hal politik dan isu politik mestilah bebas tetapi tokoh politik kampus tidak boleh terlibat dengan parti politik di luar kampus. Dalam piliharaya negara mereka boleh bertindak sebagai badan pemerhati dan badan penguatkuasaan penyelewengan dan rasuah yang bebas dan tidak bias kepada mana-mana parti. Semua warga universiti kecuali kakitangan pentadbiran sokongan adalah lantikan kerajaan politik kampus dan pastinya perlantikan ketua-ketua bidang adalah mengikut kelulusan hakiki yang mereka miliki dan dilantik mengikut politik mereka tetapi fahaman politik tidak mengikat mereka menjadi bias dalam sebarang disiplin keilmuan.
Semua warga universiti yang telah berusia 21 tahun adalah bebas mengundi mengikut pilihan mereka dalam piliharaya kebangsaan tetapi mereka tidak boleh menggabungkan diri aktif dalam mana-mana parti politik di luar kampus sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Dan kerajaan hendaklah mengiktiraf kerajaan politik di kampus seperti pusat sumber dan pengembangan politik yang sihat. Malah mungkin sebagai teladan dan bayangan kerajaan berdasarkan penghuni dan masyarakat kampus yang berilmu tinggi berpolitik di dalam kampus ke arah keharmonian dan kecemerlangan kehidupan dalam dunia akademik dan falsafah pendidikan dan falsafah ilmu.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Thursday, July 15, 2010
UMNO WASPADALAH, JANGAN GELOJOH
Jun 2010 adalah bulan rencam Tun Sheikh kerana tidak dapat banyak menulis dan tidak dapat banyak bergerak walaupun ada 2 minggu musim percutian sekolah. Namun, Tuhan dengan kebesaranNya yang tidak dapat kita fikirkan telah mendatangkan banyak imput berita dan peristiwa melalui aduan dan laporan mengenai politik dan social semasa. Kes-kes sahabat handai dan saudara mara yang meminta bantuan dan pandangan rasional mengenai masalah rumah tangga yang sedang bergolak atau diambang perceraian sebanyak sedikit dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Apalah salahnya kita memberi senyuman jika sedikit senyuman kita itu dapat menyenang atau memberi ketenangan kepada orang lain. Ini semua sangat Tun Sheikh syukuri kerana dapat dijadikan bahan penulisan. Semacam suatu rahmat, nikmat dan hikmah jua dari Allah. Alhamdulillah.
Alhamdulillah juga kerana idea dan pandangan liberal Tun Sheikh mengenai bangsa Melayu tercinta seolah-olah didengar dan diterima. Tetapi adalah wajar, ia belum lagi berhasil kerana benihnya baru saja bercambah. Tun Sheikh sangat bersyukur apabila mengetahui telah ada gelombang biru-hijau di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sedang aktif dalam aktiviti dan menyibar fahaman dan mencari ahli yang bersependapat. Apa yang Tun Sheikh maksudkan biru-hijau ini bukanlah PR tetapi gelombang kumpulan anak muda dalam UMNO yang sedang bergerak aktif dengan visi dan misi baru yang bertenaga. Meskipun masih seperti ombak-ombak kecil, tetapi sangat giat menguar-uarkan untuk kembali berjuang seperti matlamat murni Melayu asal. Tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin Melayu rasuah. Mereka ingin berbakti dengan jujur dan tulus dan apa yang sangat membanggakan ialah sumpah mereka untuk memartabatkan Islam sebagai panduan dan rujukan diatas segalanya seperti PAS.
Mereka berjanji dan bersumpah untuk merealisasikannya dan apabila Tun Sheikh dapati berbondong kumpulan ulamak Islam muda menyertai UMNO ketika ini, Tun Sheikh yakin mereka akan mengotai apa yang mereka kata. Mereka adalah pemuda UMNO generasi baru yang akan mengangkat Islam dalam UMNO sebagaimana ahli PAS mengangkat martabat Islam dalam PAS. Mereka tidak mahu UMNO menjadi ikon Melayu tetapi mereka akan berusaha menjadikan UMNO adalah Islam.
Di Perak, kumpulan pemuda UMNO ini mendapat kesadaran dan pengajaran yang tinggi nilainya setelah berlaku rampasan kuasa politik yang mereka anggap bacul yang telah dilakukan oleh pemimpin atasan mereka sendiri. Mereka sebenarnya tidak bersetuju tetapi ketika ini mereka tiada kuasa malah untuk menyuarakan suara hati mereka pun tidak ada platform yang disediakan. Ketika ini mereka hanya bergerak sebagai mengikut kepada pemimpin veteran mereka yang dianggap berfikiran konservatif dan ortodoks tetapi walupun berdiam, mereka mencari pengaruh dan pengalaman menyiapkan diri.
Mereka adalah angkatan muda UMNO yang melihat bahawa PAS akan selamanya gagal untuk memertabatkan Islam jika minda politik veteran UMNO terus berkuasa dan pada waktu yang sama sedang menyediakan jambatan rapuh untuk masa depan anak-anak muda UMNO. Mereka amat sadar bahawa jambatan yang disediakan pemimpin veteren yang sedang menguasai UMNO dan memerinth ketika ini akan runtuh ketika sampai giliran mereka menggunakannya nanti. Mereka adalah kumpulan pemuda UMNO yang yakin bahawa hanya UMNO sahaja yang akan berjaya memartabatkan Islam jika UMNO segera berjuang kearah itu tanpa menghiraukan PAS.
Mereka sangat yakin bahawa pekong UMNO hanya terubat jika mereka berjaya menghapuskan minda kebejatan yang hanya mementingkan diri dan bercita-cita menjadi popular dan mengaut kekayaan melalui UMNO sebagaimana menjadi amalan ketika ini. Mereka juga sangat yakin bahawa kecintaan mereka terhadap Melayu dan UMNO hanya akan terselamat di bawah payung Islam tulin sebagaimana diperjuangkan PAS tetapi mereka melihat PAS gagal dan lemah dalam banyak perkara terutamanya dalam segi teknikal dan professional semasa.
Mereka juga mengenal PKR yang dianggap serupa sahaja seperti pemimpin UMNO mereka yang berminda konservatif. Adalah sangat menarik apabila mendengar hujah mereka, mengatakan bahawa orang luar melihat minda pemimpin UMNO amat moden tetapi bagi mereka, minda pemimpin mereka adalah konservatif kerana masih menganggap budaya barat termasuk bahasa dan kebudayaan social barat adalah baik.
Seperti di Perak, begitu juga di Negeri Sembilan. Mereka adalah kumpulan muda yang membenci lagak dan perilaku ketua mereka dan bekas menteri besar yang mereka anggap masih lagi dalam dunia apungan duit. Mereka yakin apabila minda Islam kontemporari mereka ini dapat diterima oleh semua yang beragama Islam, maka pemimpin Melayu yang tidak mengenal dan tidak tahu membedakan antara agama Islam dan adat Melayu akan pupus. Mereka sangat yakin bahawa perjuangan Islam PAS adalah tulin tetapi malangnya kelemahan PAS tidak dimanfaatkan oleh pemimpin UMNO veteran mereka untuk merajui Islam. Ketika ini mereka sangat sadar kerana mereka sendiri melihat pemimpin UMNO mereka yang sedang berkuasa ketika ini hanyalah memakai topeng.
Kumpulan pemuda Negeri Sembilan ini banyak mengambil pelajaran melalui keadaan yang berlaku terhadap PKR. Mereka juga berpendapat bahawa idea kesatuan PKR dengan PAS dan DAP menjadi PR yang bersetuju duduk dibawah payung Islam yang sempurna dan adil sangat menarik dan jika berjaya dilaksanakan maka ketika itu akan terkuburlah UMNO. UMNO akan dikenang sebagai sebuah parti Melayu yang sangat kuat dan pernah memerintah negara tetapi kerana kesombongan dan penyelewengan serta menipu kepada bangsa terutama dalam hal agama dan kekayaan Negara maka UMNO tumbang.
Sehubungan dengan itu, sebelum UMNO tersungkur, kumpulan muda ini berjanji bekerja keras untuk mengangkat dasar Islam sebagai dasar dan wadah perjuangan. Mereka sangat menyayangi Tun Abdullah Badawi dan menyalahkan ahli keluarganya sebagai penyebab karier politik Pak Lah berakhir. Mereka yakin hanya melalui Islam, UMNO dan Melayu akan selamat dan terus berkuasa. Tetapi tidaklah serupa keadaan dan gambarannya sebagaimana UMNO ketika ini kerana UMNO yang dipimpin mereka bukan UMNO-Melayu, sebaliknya adalah UMNO Islam.
Di Melaka pula, apa yang menarik ialah pengakuan kumpulan muda UMNO ini mengatakan bahawa dasar perjuangan mereka untuk memertabatkan Islam adalah dokongan dari pemimpin mereka yang sedang berkuasa ketika ini. Beliau ingin membersihkan dirinya dari tuduhan rasuah. Beliau ingin membuktikan bahawa beliau adalah Melayu Islam yang tulin. Kalau dulu orang mengatakan beliau jahil tetapi ketika ini beliau berazam mengatasi anggapan jahil itu dengan menggalak dan mengundang para ulamak mengajar di masjid-masjid seluruh negeri Melaka. Yang sangat menarik, beliau sendiri menghadirkan diri dalam pengajian dan pembelajaran ilmu Islam di masjid-masjid. Ini adalah suatu tindakan yang sangat positif dan hendaklah kita menyokongnya.
Kesimpulan dari fakta-fakta dan berita yang Tun Sheikh dengar dan terima ini, yang sangat buat rasa terharu adalah berita keinsafan pemimpin tertinggi UMNO yang berasal dari anak seorang ulamak. Beliau dikatakan kecewa kerana laporan kajian soal selidik diperingkat akar umbi yang dipertanggongjawabkan kepadanya diperlekehkan. Berikutan dari itu beliau telah menggalakkan gelombang biru-hijau dalam UMNO demi kerana agama dan bangsa Melayu. Sayangnya beliau seolah-olah begitu optimis sekali.
Tun Sheikh juga diberitahu, bahawa gelombang biru-hijau UMNO muda ini adalah hasil dari pengaruh minda mantan PM Tun Dr Mahathir yang berjaya menanam semangat Malaysia Boleh. Kumpulan ini juga adalah pengaruh minda mantan TPM yang menggerakkan ABIM dimana Islam berteknologi dengan kontemporari sains. Mereka juga mengaku terpikat kepada budi pekerti dan contoh perilaku Tuan Guru Nik Aziz yang sungguh sederhara selaku Menteri Besar dalam penghayatan dan pengamalan Islamnya.
Tun Sheikh yakin jika mereka berjaya, maka inilah angkatan Melayu Islam Rabaniyun, pemimpin yang memayungi ummah iaitu rakyat berbagai bangsa dan agama di Malaysia. Kepada semua pemimpin Melayu yang mengaku Islam, janganlah menipu Melayu atau kelihatan seperti menipu dalam soal megangkat martabat Islam ini. Insyaallah UMNO Islam akan berjaya dan pejuang-pejuang Islam akan bergabung jika pendekatan UMNO sekurang-kurangnya seperti pendekatan PAS malah bertambah gah dan berkat jika berpadu dengan kepakaran dan kemahiran teknikal atau dengan istilah baru kejuruteraan budaya kontemporari Islam hakiki.
Sehubungan itu kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang ada fikrah Islam, hendaklah segera bergabung tetapi jangan gelojoh. Ini adalah kerana teman-teman yang sedang memimpin UMNO dengan nafsu serakah, akan membunuh karier politik anda kerana mereka sebenarnya syaitan manusia.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Friday, May 21, 2010
PILIHANRAYA SIBU, MELAYU SIBU-SIBU DAN UMNO SEBU
PILIHANRAYA SIBU, MELAYU SIBU-SIBU DAN UMNO SEBU
Pilihanraya Parlimen Sibu telah pun selesai dan DAP tanpa diduga telah menang dengan majority tidak sampai 500. Bertungkus lumus SPR akur kepada bos gelap supaya mengira dan mengira semula dan mencari ikhtiar jangan ada salah pengiraan dan kerosakan.Teruja sungguh SPR kerana arahan bos gelap tetapi pengiraan tidak dapat dilakukan dalam gelap sebaliknya dalam dewan yang terang-benderang. Undi pos talian hayat juga dikira berkali-kali akhirnya sahih PR menang di Sibu dan BN sesak nafas, manakala Melayu UMNO sebu. Ketika peluh kepenatan mengira belum sempat kering dari menitik, bos-bos gelap yang terdiri dari Melayu UMNO yang sebu sudah pun menghilangkan diri bersembunyi atau balik ke Semenanjung.
Dalam sembang kopi dengan kawan-kawan yang majoritinya berkecuali dan sudah naik menyampah dan muak dengan kedegilan dan kesombongan Melayu UMNO yang masih tidak sedar diri, Tun Sheikh dapati mereka juga tidak memihak kepada PR.Ini adalah kerana darah yang mengalir dalam diri kami masih domain Melayu. Pandangan kami lebih kurang serupa iaitu melihat Melayu PKR dan Melayu PAS dalam pilihanraya di Sibu tidak ubah seperti sibu-sibu.Manakala telah tiada harapan yang kami letakkan kepada Melayu UMNO sebu selagi mereka tamak dan buas dengan dunia serakah penuh nafsu.
Sibu-sibu ialah serangga yang dikenali juga sebagai pepatung, terbang dipermukaan air dan kerap mencecah-cecahkan ekornya ke air. Rupanya cantik dan bergaya tetapi banyak kelemahan. Melihat peranan yang dimainkan oleh Melayu PKR dan PAS di Sibu, tidak ubah seperti lagak sibu-sibu itu tadi. Ini dapat diperkira dan dijangkakan dimana sibu-sibu itu tadi akan terhumban entah ke mana apabila nanti datang banjir tsunami atau setelah udara menjadi angin tofan.Adalah sangat malang dan terhina jika ini berlaku, mereka akan merempat dan menjadi pengemis di bumi tanahair nenek moyang sendiri.Manakala Melayu UMNO sebu yang sempat melarikan diri untuk tinggal di luar negara juga akan menjadi muzafir terbuang kerana duit rakyat yang dirembat tidaklah berkat dan jadilah mereka dan keturunan mereka sebagai Melayu jalang yang tidak lagi mengenal agama dan budaya.
Saranan supaya keadaan dan nasib Melayu ini segera diselamatkan ialah dengan perubahan mega agar Melayu UMNO yang berkuasa segeralah kembali ke pangkal jalan. Jadilah pemimpin dan pemegang amanah yang jujur. Belanjalah membiayai kehidupan berdasarkan gaji dan upah yang anda terima sahaja. Usahlah memandai-mandai dan mengambil kesempatan membolot komisyen dan duit-duit rasuah yang sengaja dicipta atas nama pembangunan. Malah mendermalah dan bersedekahlah dari pendapatan yang halal walaupun sedikit. Belajar dan hayatilah agama supaya pemikiran jahat dan nafsu yang buas itu dapat ditahan dan dikekang. Insyaallah wang yang tidak menjadi duit haram gara-gara rasuah akan kembali terkumpul dengan berkat dan belanjalah untuk kepentingan rakyat. Bukan kepentingan diri dan keluarga.
Jika saranan ini dibuat dengan tegas dan serius, bukan sahaja kepercayaan orang-orang Melayu akan kembali pulih tetapi semua bangsa akan gembira dan berkompromi. Namun jika dianalisa dengan terperinci, jika hal ini berlaku, ketuanan Melayu tetap tidak bertahan lama. Paling-paling jika hari ini Melayu UMNO kembali mentadbir dengan jujur, amanah dan bersih, ketuanan Melayu akan bertahan hanya 30 tahun sahaja. Ketuanan Melayu tetap akan hancur dengan sendirinya kerana rakyat
Adalah lebih buruk dan sangat
Melayu UMNO mungkin sedar bahawa politik orang bukan Melayu sebenarnya sungguh mantap dan matang. Mereka bijak bermain wayang Cina dalam politik dan kebudayaan bermain wayang dan tarian singga ini bukanlah baru tetapi sejak turun temurun dan berzaman-zaman dengan azam yang tinggi dan tidak pernah berputus asa. Itulah sebabnya mereka boleh hidup dan membina empayar dan rangkaian perdagangan seluruh dunia. Pada waktu yang sama Melayu UMNO terus menari-nari seperti ayam hutan yang di ekornya banyak tahi.
Ingatlah bahawa suka atau tidak peraturan dan undang-undang dunia glokal atau global akan terseragam dengan sendirinya. Akan menonjol dengan gahnya beserta dengan kebudayaan universal. Glokal yang tidak menepati kebebasan global akan terpinggir.
Melayu PAS memang dapat bertahan tetapi apalah yang dapat diharapkan dari segi ketuanan kerana PAS tidak memperjuangkan itu. Mereka tahu dan yakin kerana agama telah menceritakan dan telah memberi tanda-tanda bahawa perjuangan bangsa adalah sia-sia.Mereka dan seharusnya kita sebagai Melayu Islam menyokong mereka kerana yang dikejar adalah janji agama. Dan janji agama adalah janji Tuhan. Ini adalah kerana Islam mengajar bahawa dalam pelbagai usaha dan bidang, kepada pejuang agama dan kebaikan bahawa mereka dijanjikan dengan dua kemenangan. Kemenangan di dunia hasil usaha mereka . Tetapi jika mereka gagal, mereka tetap dianugerah kemenangan di akhirat. Betapa indahnya jika kita atau Melayu UMNO yang sombong memahami dan menjiwai falsafah dan panduan atau peringatan dari Tuhan ini. Jika Melayu UMNO memartabatkan segera agama dengan meminda dan memaku segera perlembagaan sediaada, selagi Islam berkuasa, maka secara tidak langsung melalui agama Islam yang tulen tidak seperti Melayu UMNO yang mengaku Islam sekarang, maka Melayu adalah bangsa bertuan disebaliknya dibumi Malaysia yang bertuah ini.
Mudah-mudahan pandangan ini diperhalusi dan diperhatikan oleh semua orang yang beragama Islam di Malaysia ini dan tidak salah juga oleh orang yang bukan Islam kerana Islam tidak menzalimi hidup dan kepercayaan anda selagi anda tidak berlaku zalim terhadap Islam.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara – dengan adaptasi idea dari bukunya Melayu Dahulu, Melayu Kontemporari dan Melayu Wawasan yang belum terbit.
Tuesday, April 20, 2010
TEORI RAHMAN DALAM POLITIK MALAYSIA
Apakah teori RAHMAN ini? Secara ringkas, RAHMAN adalah paduan singkatan nama Perdana Menteri Malaysia yang sudah memerintah, sedang dan juga akan menjadi PM. Teori ini popular di zaman Dr Mahathir dijangka menjadi PM dahulu. R ditunjuk kepada Tunku Abd Rahman, A bagi Tun Abdul Razak, H bagi Tun Hussein Onn, M untuk Dr Mahathir, A untuk Abdullah Badawi dan N ditujukan kepada Najib. Teori ini heboh dan banyak diuar-uarkan ketika Dr Mahathir benar-benar terpilih menjadi PM.
Bertambah kelakar, seolah-olah Dr Mahatir ketika itu seperti menerima teori ini dan apabila beliau menyingkir Dato’ Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri, maka gambaran ketepatan teori RAHMAN bertambah meyakinkan. Orang Melayu UMNO pula seolah-olah dapat menerima tindakan Dr. Mahathir itu kerana sudah yakin teori RAHMAN adalah suatu ketetapan futuristik barisan kepimpinan untuk negara ini.
Apabila Dr Mahathir mula mencipta nama dengan pelbagai rektorikanya, terdengar pula bahawa teori RAHMAN adalah hasil dari ilmu nujum ketua sami Hindu di India yang sangat terkenal iaitu dikatakan sebagai bapa angkat kepada Dato’ Samivellu. Kemudian diuar-uarkan pula bahawa ketua sami ini adalah penasihat futuristik Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia dan ini berlaku atas saranan Dato’ Samivellu yang begitu rapat dengan PM ketika itu.
Apabila imej Dr. Mahathir seperti tercemar kerana bergantung kepada nujum ketua sami Hindu India, berita angin pun bertiup mengatakan bahawa sami berkenaan adalah pakar kaji bintang yang disamakan dengan ilmu falak dalam Islam.
Apabila Encik Ghafar Baba dilantik menjadi TPM, banyak tokoh UMNO mengelabah kerana risau jika A dalam teori RAHMAN bermaksud Abd Ghafar Baba. Mereka berasa lega apabila Anuar Ibrahim pula menggantikan Encik Ghafar menjadi TPM. Pada masa yang sama orang luar melihat ahli-ahli UMNO seolah-olah sedang mabuk kuasa dan kemewahan dan ternampak Dr. Mahathir tersenyum sinis kerana beliau berjaya menarik perhatian orang UMNO supaya melihat badai-badai kepimpinan TPM dan leka dari memerhati kerusi PM sendiri. Maka kekallah beliau di kerusinya sebagaimana hajat di hati.
Apabila Anuar Ibrahim dipecat pada tahun 1997, keluar pula berita seorang penujum firasat muda yang dikatakan lahir di Perak, beragama Islam dan berguru di India yang telah lama menguar-uarkan kebejatan Anuar dan beliau menolak kepercayaan bahawa Anuar akan menjadi PM selepas Dr Mahathir. Beliau juga bersetuju dengan teori RAHMAN tetapi A selepas M bukanlah Anuar Ibrahim. Tetapi beliau sendiri tidak tahu siapa kecuali hanya selepas pelantikan Abdullah Badawi maka orang UMNO yang taksub menganggap petunjuk nujum muda dari Perak ini tepat.
Selepas Abdullah, berita atau cerita nujum UMNO ini hilang begitu sahaja tetapi dari kalangan pembangkan terdengar cerita bahawa bapak nujum, bekas PM seolah-olah hilang akal kalau Abdullah tidak mahu meletak jawatan dan jika tidak mahu melantik Najib sebagai pengganti Perdana Menteri. Jika Najib berjaya menjadi PM maka sempurnalah teori RAHMAN dan berbahagia dan makmurlah Malaysia.
Sungguh pun cerita ini dianggap benar dan kelakar tetapi Tun Sheikh tidak dapat senyum kerana hati tidak tergerak untuk menerima dan jauh sekali mempercayainya. Sebaliknya kepala ini lebih suka dan senang untuk menggeleng-geleng melihat telatah dan kerenah Melayu UMNO yang mewakili bangsa kita menjadi kerajaan sekarang. Terasa dan terbau betapa busuknya mereka dalam kealpaan dan kelalaian.
Apa yang Tun Sheikh yakin, itu pun kerana ada kata-kata insyaallah dari seorang ulamak Melayu ahlul bait yang telah pun pergi meninggalkan kita tiga tahun lepas, mengatakan bahawa dalam firasatnya, Allah menjadikan Kelantan sebagai transit iman fisabillilah di alam Melayu dan Malaysia dan akan terbuka atau meletus tempat mati shahid kepada pejuang atau tentera Allah yang rindu kepada mati shahid dekat dengan Kelantan itu.
Kemudian katanya Melayu UMNO yang sombong akan diuji oleh Allah dengan kehilangan kuasa sedikit demi sedikit mulai dari sebelah utara bawa ke selatan. Sekiranya Melayu UMNO terus sombong dan terus menipu bangsa dengan permainan politik Islamnya, maka kuasanya akan terkubur dalam kehinaan. Benteng terakhir mereka ialah negeri di selatan tetapi tidak mustahil dari selatan juga akan menghimpit mereka kecuali mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan sebelum berlaku gerhana matahari dan bulan yang mendatangkan penyakit dan merosakan tanaman. Wallahualam.
Firasat ini Tun Sheikh dengar pada tahun 1996, kini sudah 14 tahun berlalu dan seolah-olah terasa ada kebenarannya memandangkan kekalahan UMNO di Kedah, P. Pinang, Perak, KL dan Selangor. Manakala di Kelantan, Islam terus kukuh dan di selatan Thailand tempat kelahiran ramai ulamak Melayu dan wali Allah dari keturunan ahlul bait telah berlaku pertembongan agama antara Islam dan Budha. Setiap hari ada sahaja berita kematian dan pembunuhan.
Marilah sama-sama kita renongkan dan marilah sama-sama membantu menjadi agen kebaikan daripada menjadi agen kebejatan. Tidak kiralah samada kita UMNO atau bukan asal kita Islam, marilah kita junjung setinggi-tingginya agama Allah ini dengan ilmu yang Tuhan bekalkan kepada kita. Itu juga janganlah kita perkirakan sangat kerana semua ilmu adalah dari sisi Allah dan tentunya kita telah mengenal pasti kebaikan dan keburukannya. Maka ambil dan pergunakan ilmu yang baik tidak kira samaada ilmu dunia dan akhirat mengikut fitrah kebaikannya untuk mengimarah atau mendaulatkan kebaikan dan kebajikan.
Kepada umat Islam Malaysia, marilah kita bersatu padu mendokong perjuangan memartabatkan kebajikan dan kebaikan mengikut kehendak agama kita. Kita menyokong mereka yang berjuang kearah ini dan kita tinggalkan Melayu UMNO jika mereka terus sombong dan angkuh dengan kuasa, dan jika mereka tidak mahu dan masih menipu kita dalam hal ini.
Oleh Tun Sheikh
Thursday, April 8, 2010
PILIHANRAYA LONDEH KAIN SELUAR DAN SARI
Sekali lagi setiap berlakukannya pilihanraya kita akan menyaksikan aksi londeh-melondeh kain, seluar atau sari. Orang kata politik itu amat kotor dan ketika ini sudah menjadi trend seolah-olah politik itu begitu kotor dan busuk. Politik itu menjadi begitu adakah kerana memang sistem tersedia buruk atau tokoh-tokoh yang menggunakannya yang membuat politik itu jelek?
Kita mestilah berfikir malah berusaha supaya politik itu tidak kotor dan tokoh pemimpin yang kotor itu kita nyahkan atau jangan kita pilih. Jika dia bersih tapi dasar atau polisi atau kumpulan mereka adalah kumpulan yang kotor dan busuk, maka kita jauhkan diri kita dari mereka dengan cara jangan memilih mereka. Kita mesti jadi agen perubahan dari buruk kepada baik. Tetapi jika kita semua yakin dia memang bersih dan baik maka kita pilihlah dia sebab nanti kita juga akan jadi baik.
Hari ini kita sepatutnya memberikan tabik hormat kepada tokoh yang berpendirian baik dan bernilai sejagat. Walaupun dia dari Wanita MCA dan dari BN tetapi berprinsip. Tokoh seperti ini sepatutnya dikumpulkan dan diberi wadah supaya jasa baktinya terus disumbangkan. Tokoh Wanita MCA ini walupun menjawat jawatan Timbalan Menteri telah sanggup melepaskan jawatan kerana tidak sanggup bersekongkol dan bekerjasama dengan bosnya yang telah terbukti berbogel melepaskan nafsu pada jalan yang buruk yang melambangkan kerendahan moral. Baik macam mana pun tetapi apabila terbukti dan dalam hal ini beliau sendiri mengakuinya seharusnya tidaklah diangkat lagi menjadi pemimpin.
Di pilihanraya Parlimen Hulu Selangor nanti, kita sekali lagi akan disuapkan makanan-makanan busuk yang berbau perkauman. Sari akan dilondeh kerana kawasan ini adalah kawasan Melayu yang pakai kain. Tetapi Melayu yang pakai songkok tidak dapat berbuat apa-apa kerana tradisi di sini ialah pertandingan memakai sari dan memakai seluar. Kepelbagaiannya hanyalah apabila penari sari yang sudah empat penggal menari di kawasan pemakai kain di sini tidak terpilih kerana penduduk di sini sudah jemu melihat tarian merak di atas dacing yang tidak seimbang. Dacing itu pula bahagian beratnya lebih ke bahagian yang busuk kerana kebejatan.
Monday, March 22, 2010
PERJUANGAN ISLAM DI KELANTAN
Mengingat kepada sahabat Tun Sheikh bernama Khairudin yang menghubungi Tun Sheikh yang sedang seronok bersantai bersama keluarga di Kawasan Rekreasi Hutan Simpan Ulu Langat Selangor pada hari Sabtu 20 Mac 2010 telah mengimbas ingatan Tun Sheikh di zaman kemuncak reformasi terutama pada tahun 1998 hingga 2000.Pada tahun-tahun berikutnya dia banyak memberi maklumat dalaman dan saranan agar Tun Sheikh aktif melapor dan menulis. Dia saran Tun Sheikh membuat homepage sendiri tetapi ketika itu banyak memerlukan belanja dan keselamatan pula tidak terjamin. Ketika itu tidak kira samada pemberita atau penulis atau pemilik laman web UMNO atau Pembangkang mahupun bebas, akan diganggu oleh pihak berkuasa melalui pasukan SB jika tulisan tidak memihak kepada kerajaan. Tun Mahathir pernah digelar sebagai Mahazalim dan Mahafiraun. Diatas semangat yang ditunjukkan Khairudin, walau seperti desperado yang kecewa, Tun Sheikh telah membuat sub-blog di blog Tun Sheikh ini dan yang terbaru ialah Irama Kehidupan dan Minda Politik ini.
Sebentar tadi sahabat lama berketurunan Syed bernama Syed Umar b.Syed Yusof pula menghubungi Tun Sheikh bertanyakan khabar.Dengan Khairudin, Tun Sheikh teringat dan terilham mengenai pergolakan politik UMNO khususnya dan diikuti Parti Keadilan. Syed Umar pula telah mengingatkan Tun Sheikh terhadap pembawaan diri dan keluarganya yang telah diresap budaya Melayu meskipun mereka masih menjaga budaya penjodohan keluarga di mana Syed mesti berkahwin dengan Sharifah atau sekurang-kurangnya yang ada title di depan nama seperti Tengku, Engku, Wan, Nik, Megat, Raja dan sebagainya.
Di zaman persekolahan hingga di tahun-tahun awal perkahwinan Tun Sheikh dan Syed, masih berbincang dan bertukar-tukar fikiran mengenai budaya perjodohan di kalangan keluarga syed-syed.Syed Umar berfikiran terbuka dan dia membuktikan bahawa dia memecah tradisi keluarganya dengan berkahwin dengan gadis Melayu. Gadis Melayu itu adalah juga kawan Tun Sheikh dan mempunyai hubungan tali persaudaraan dengan isteri Tun Sheikh. Selepas dia berbuat demikian, adik-adiknya pula turut memecah tradisi keluarganya.
Dua sahabat lama ini telah mengadun kenangan dan mengilhamkan Tun Sheikh mengenai politik Islam di Malaysia. Satu dari sudut seorang Melayu totok dan satu lagi oleh seorang berdarah Arab. Syed Umar masih berwajah arab asli hingga para sahabat handai pernah memanggilnya Arab saja atau Unta.Ironinya, meskipun dia terpengaruh dengan adat dan kebudayaan Melayu, dia masih menilai tinggi perjuangan dan fahaman Islam di Kelantan kerana menganggapnya tidak serupa dengan Islam yang diuar-uarkan Melayu UMNO.
Syed Umar hampir seperti orang yang taksub kepada pergerakan Islam di Kelantan tetapi oleh kerana dia tinggal di Johor dan menjadi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan di Serom Muar, maka dengan tersendirinya kita dapat membayangkan dilema yang dihadapinya. Bagi Syed Umar pendekatan pendidikan dan fahaman politik Kelantan adalah lebih bersandarkan dasar Islam meskipun tidak begitu terserlah kearabannya. Dia bersetuju bahawa Islam itu bukanlah milik oranag Arab tetapi adalah sebagai suatu rahmat kurniaan Tuhan kepada manusia yang berpegang kepadanya.
Bagi beliau, Islam diamalkan berdasarkan petunjuk dan ilmu Islam itu sendiri. Hal ini mengingatkan Tun Sheikh terhadap Khairudin yang keluar meninggalkan PAS kerana tertekan dengan rasa keinsafan dan kejahilannya terhadap agama. Khairudin telah menyumbang bakti kepada Parti Keadilan kerana beranggapan diasaskan oleh pejuang Islam Moden yang berwawasan dan berjaya menubuhkan dan menghidupkan pergerakan belia Islam yang dikenali sebagai ABIM. Disamping itu, pada hakikatnya adalah faktor tolakan cita-cita dan impiannya untuk mendapat jawatan yang bergaji lumayan yang hampir saja beliau menggarapnya ketika berada di dalam UMNO.
Di benak Tun Sheikh, tergambar pula pelbagai ilusi bahawa sebenarnya kita semua yang mengaku Islam sedang diduga dengan dugaan yang besar dari Allah dalam pakej kehidupan kita. Ini adalah kerana sudah pasti, kita akan ditanya dan dipertanggongjawabkan bagaimana kita menghabiskan usia kita yang sedikit ini di bumi Allah. Allah telah menjamin kebahagian sementara di dunia dan kebahagiaan kekal di akhirat jika kita mengikut petunjuk yang di kurniakan kepada kita. Lebih-lebih lagi dalam sumbangan dan pandangan kita mahupun amalan seharian kita. Adakah kita berlapang dada membantu merealisasikan perundangan Allah yang menjamin keselamatan kita di duniaNya ini??
Semacam terasa oleh Tun Sheikh bahawa di dalam kubur nanti kita akan ditanya.... Apakah sumbangan dan pertolongan kita terhadap pejuang-pejuang agama Allah khususnya di Kelantan yang berdakwah terus tanpa meminta upah. Yang mengaku menggunakan petunjuk Allah sebagai panduan berupa Quran dan Hadis? Dan pada masa yang sama kita melihat mereka yang mengaku pejuang dan berjuang kerana agama Allah itu dalam keadaan yang begitu daif dalam segala bidang. Terutama dalam soal ekonomi yang telah terbukti sebagai modal dan mekanisma untuk menggerak pelbagai keperluan kehidupan.
Mereka begitu daif dan naif. Dan pada waktu yang sama kita sedang berada dalam kemewahan dan bergembira dengan kuasa dan kemakmuran yang kita ada. Bedanya kita hanya berada di luar Kelantan atau di luar fahaman mereka. Mereka mendakawa mereka serupa kita dalam hal agama iaitu Islam dan kita pula memang tidak menafikannya. Siapa yang betul dan siapakah yang lurus jalannya?? Kita atau mereka? Kalau mereka, mengapa mereka begitu lemban dan kelihatan ketingalan dalam serba-serbi di belakang? Dan jika kita yang berada di jalan yang lurus memandangkan kita mempunyai kuasa politik dan kuasa ekonomi yang begitu kukuh dan maju kedepan ini, adakah kita dalam landasan yang betul sebagaimana pentunjuk Allah?
Tun Sheikh terimijinasi ini semua apabila mengenang tampang Arab sahabat Tun Sheikh itu. Terbayang Tun Sheikh semasa agama Islam bertapak di bumi Arab, Islam begitu naif dan daif.Tiada apa-apa modal pun kecuali keimanan yang mantap. Lebih menyedihkan apabila Rasullullah dimusuhi oleh keluarga baginda sendiri dan hanya orang yang miskin yang berminat mengikuti dakwah baginda.
Terpana fikiran Tun Sheikh apabila membandingkan dengan suasana di Kelantan yang miskin dan orang-orang kaya mereka seperti buat hal sendiri sahaja. Lebih teruja jika kita dipampangkan bahawa di Kelantan banyak orang yang berhati liat dan jahat atau samseng dan gedebeh. Serupa benar macam suasana Mekah di awal penyebaran Islam.
Akhir sekali seolah-olah malaikat penyiksa dalam kubur telah pun bertanya pada jiwa Tun Sheikh bahawa Allah telah wujudkan pejuang agamaNya di Kelantan yang daif dan naif sebagai menduga seluruh manusia Malaysia yang mewah pada masa dan tempat dalam pakej kehidupan kita ini.Tiada alasan lagi bagi kita yang buat-buat tidak nampak ketika ini atau hanya pandang mereka dengan sebelah mata saja. Apalah yang boleh kita jawab...? Apalah yang kita telah sumbangkan? Bertambah dengki mungkin ada... mengapa bebalnya kita? Bebal dan gedebeh lebih gedebeh dari orang Kelantan sendiri......Maka tidaklah sama orang yang berakal dengan orang yang tidak berakal....atau memang tidak sama orang yang diberi petunjuk dengan orang yang sesat. Dan bertambah parah jika sesat bukan kerana kejahilan tetapi sesat kerana mengutamakan nafsu yang jahat dan dengki.......
Astarfirullah...astarfirullah.....astarfirullahhhhhhhh.....berilah aku petunjukMU ya Allah.......
Oleh Tun Sheikh