Monday, April 9, 2012
Kota Kinabalu Sabah – Sebuah Persepsi Menjelang PRU 13 Tokoh BN Patut Dihukum Pancung?
Friday, January 27, 2012
Antara Wajah Tokoh-Tokoh PAS dan UMNO
Antara Wajah Tokoh-Tokoh PAS dan UMNO
Ambil sahaja gambar atau foto potret terbaik semua YB PAS dan semua YB UMNO kemudian disusun di satu sudut dan renung-renungkanlah. Anda akan mendapati suara hati anda bercerita atau setidak-tidaknya berkata-kata. Sama ada benar atau anda yakin, itu adalah terpulang kepada hakim akal anda. Ini bukan spekulasi Tun Sheikh tetapi setidak-tidaknya Tun Sheikh dengan jujur memberi komen terhadap suara hati Tun Sheikh sendiri. Tun Sheikh dapat merumuskan bahawa 80% wajah tokoh-tokoh UMNO baik-baik belaka dan mempunyai tanpan yang bergaya, kacak dan cantik serta bersih airmuka mereka. Berbanding dengan YB PAS, 80% wajah mereka adalah wajah-wajah kampong yang sering menjadi lelucon kepada kepimpinan UMNO sehingga dalam akal budi kebanyakan pemimpin UMNO bahawa kepimpinan PAS memang tidak berwibawa. Orang moden kata wajah mereka tidak nampak cerdik.
Kalau dinilai dengan ilmu kemanusiaan memang begitulah hasil keputusannya bahawa tampang yang jelek tidak menampakkan keyakinan diri. Tentu sekali pemimpin UMNO telah menang satu point dari segi penampilan wajah. Ini belum lagi dikira dari segi penampilan pakaian dan gaya berjalan dan gaya pertuturan dan harta benda. UMNO pula sudah lengkap dengan segala persediaan termasuk memiliki penasihat professional bertaraf antarabangsa. Mereka menggunakan duit rakyat untuk menaiktaraf diri mereka sehingga mereka terlupa bahawa pemikiran mereka sudah dipengaruhi atau telah ditawan oleh penasihat antarabangsa mereka.
Kalau dirujuk kepada tokoh PAS pula, mereka berasa bersyukur dan redha dengan wajah dan tampang yang dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka. Mereka tidak menghina seseorang insan yang berwajah hodoh tetapi melihat akhlak mereka. Jika mengikut atau dengan perkataan lain sesuai dengan sunah atau alim dengan syariat maka mereka memuji kebesaran Allah Swt dan jika hodoh mereka menunjukkan simpati dengan iringan doa sebagaimana tuntunan akhlak orang yang beragama. Kepada yang kacak dan cantik tetapi berakkhlak buruk dan jahat mereka tidak segan silu menegur mereka dengan keras jika cara yang berhemah tidak dipedulikan. Itulah panduan dan kayu ukur yang mereka pakai. Maka itulah sebabnya di sana sini kita mendengar kebanyakan mereka menggunakan perkataan yang keras seperti memaki-hamun. Jika kita tidak faham erti berhemah sudah tentu kita percaya dan menyebelahi kumpulan orang yang menganggap mereka sesat kerana berlatar belakang agama tetapi tidak berbudi bahasa. Tambah pula disekeliling kita gema propaganda dan retorik UMNO begitu berpengaruh. Maka sudah tentu secara sedar atau tidak kita pun menjadi UMNO atau bersetuju dengan mereka.
Bagi Tun Sheikh pula apabila dibelek-belek gambar atau foto pemimpin PAS, terasa seperti kelihatan atau tergambar bahawa mereka memiliki jiwa yang besar. Airmuka yang keruh kerana sering diperlekeh tetapi ketegapan mereka berdiri di atas prinsip agama yang tidak mudah diubah-ubah menunjukkan betapa kuatnya mereka memegang amanah Allah. Tidak seperti UMNO yang sering mencipta peraturan dan mengubah perundangan tetapi dapat ditukar-tukar mengikut selera dan kesesuaian serta menggunakan kuasa penolakan apabila terkena di batang hidung sendiri. Ini adalah salah satu tanda dan merupakan ciri penyelewengan yang terpapar di wajah mereka.
Bercakap mengenai buah fikiran atau pandangan pula, nampaknya pemimpin UMNO sekata mengikut kehendak ketua atau tokoh pimpinan atasan mereka. Mereka tidak bebas atau tidak dapat membantah meskipun kepada perkara yang kecil dan mudah yang tidak benar. Jika hitam dikata putih dan diarah mengatakan putih maka mereka akan menuruti arahan atasan. Hal ini menjadikan mereka seperti pemimpin dungu yang tidak patut kita angkat ke depan kerana mereka tidak cerdik. Dan apabila disiasat kita akan mendapati bahawa mereka dicucuk hidung dalam keadaan terpasa tetapi suka asalkan kedudukan dan nikmat dunia yang didapati berterusan. Jauh daripada itu, mereka adalah pemimpin berperangai badut yang berjiwa kecil dan kerdil.
Apabila kita menjadi hakim tidak rasmi dalam perdebatan mengenai sesuatu isu, kita akan dapati pemimpin PAS begitu berani dan lantang. Hujah mereka bernilai global dan universal berbanding pemimpin UMNO yang bungkam kecuali dengan alasan dan hujah kampungan. Apabila kita menyelidik mengapa pemimpin PAS agak jauh ke depan, kita akan dapati bahawa sumber pegangan dan panduan mereka adalah Al Quran dan Sunah. Mereka bijak dan terpelajar menyelaraskan keadaan semasa dengan sumber rujuk yang telah ada, tepat dan sesuai untuk manusia. Pemimpin UMNO seolah-olah mengetahui tentang ini tetapi tidak berani bersuara kerana khuathir keistimewaan dan nikmat menjadi YB UMNO akan ditarik pemimpin atasan.
Akhir sekali ingin Tun Sheikh rumuskan agar kita jangan terpengaruh dengan wang ringgit dan ketampanan seseorang tokoh atau ketua. Apabila mereka curang dan menyeleweng dan tidak berani mengatakan benar kepada yang benar maka mereka perlulah ditukar ganti. Tetapi jika kita mendapati seseorang tokoh atau ketua itu adalah seorang yang bertakwa kepada Allah yang mencipta kita dan dunia ini maka hendaklah kita dengar dan patuhi.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Putrajaya 22.12.2012
Friday, November 18, 2011
Cerita Melayu Malbari Johor - UMNO Johor Perbodoh Rakyat
Cerita Melayu Malbari Johor - UMNO Johor Perbodoh Rakyat
Kelmarin, pada hari minggu seperti biasa Tun Sheikh balik Johor Bahru menjengok keluarga. Seminggu sekali atau dua minggu sekali Tun Sheikh balik kerana ada anak isteri di sana. Muar pula ialah kampong halaman. Batu Pahat dan Keluang tempat permainan. Pontian ada mertua dan Kota Tinggi ada abang dan darah kerabat seketurunan di sanan. Musim makan percuma setiap minggu masih belum putus sejak musim raya puasa hingga di musim raya haji dan tidak lama lagi akan bersambung pula majlis kenduri kahwin di musim cuti sekolah. Apapun Tun Sheikh bersyukur kerana hati pengantin terbuka untuk berkahwin secara sah daripada berterusan membuat maksiat atau terdedah untuk melakukannya sebelum bernikah secara sah. Maklum saja kebebasan dan budaya hidup moden hari ini tidak terkongkong atau dikongkong adat seperti zaman dahulu.
Ahad lepas, Tun Sheikh telah memenuhi undangan kenduri kahwin seorang sahabat berdarah Malbari di Kangkar Tebrau Johor Baharu. Cerita punya cerita ada juga pertalian darah mamak Tun Sheikh dengan mereka. Paling tidak pun memang satu kapal. Perbedaanya hanya saudara mara Tun Sheikh telah berbaur jauh jadi Melayu dan tidak lagi seperti keluarga pengantin yang majoriti para hadirin ialah sewajah dan sewarna kulit dan bahasa Malbarinya pun masih diamalkan. Banyak juga wajah-wajah sejuk mata memandang kerana tarikan jambang mereka yang boleh dikatakan sefesyen membawa imej kealiman atau setidak-tidaknya membawa imej Islam. Dari perbualan, mereka memang tidak gemar jika mereka dianggap sebagai India walaupun mereka berasal dari sana. Mereka sangat gembira tetapi tidaklah berlebih-lebihan seperti Melayu Umno bila menceritakan mereka ada darah ahlul-bait.
Ironinya dalam perbualan sepanjang Tun Sheikh berada di majlis itu selama 3 jam, 60% cerita atau perbualan adalah mengenai Melayu Umno Johor. Pertamanya mereka terasa mereka diasingkan oleh Melayu UMNO seolah-olah tidak terima mereka walau mereka mengaku Melayu. Kedua, mereka tidak mahu malah tidak terima jika dikategorikan sebagai India. Ketiga, mereka terasa terpinggir manakala Persatuan India Muslim tidak memenuhi citarasa mereka. Keempat, mereka terasa seolah-olah mereka diperlekeh oleh Melayu UMNO seperti rakyat kelas ketiga setaraf India marhaen padahal ekonomi mereka boleh dikatakan kukuh kerana aktif dalam dunia perniagaan dan tidak banyak yang makan gaji dengan kerajaan atau syarikat-syarikat Cina kecuali syarikat yang ada hubungan dengan kelompok mereka sendiri. Kelima mereka rasa seperti diperbodohkan Melayu UMNO kerana mereka mengaku mereka ada darah Melayu tetapi Melayu UMNO kelihatan banyak menipu dan membohongi orang Melayu sendiri dalam dunia politik yang dikuasai Melayu membuat mereka juga terasa sehingga rasa tergugat jika hendak mengaku atau memperjuangkan Melayu. Keenam, mereka tidak percaya kepada Parti Keadilan kerana mereka anggap perjuangan parti itu akhirnya akan membudayakan politik kotor seperti yang diamalkan oleh UMNO setelah berkuasa.Ketujuh, mereka sangat tertarik kepada diplomasi PAS dan berminat menyumbang apa yang termampu kepada parti yang bertunjangkan Islam itu.
Perbualan bertambah panas apabila isu atau topic menyentuh orang-orang Melayu UMNO Johor yang berperangai bodoh, bergasak dan mengganggu ceramah Mat Sabu hingga ada yang luka. Mereka amat faham kejahilan atau kejahatan UMNO Johor kerana mereka sendiri pernah berpengalaman dengan situasi sebegitu. Mereka sedih kerana UMNO Johor pura-pura buat bodoh bahawa pemikiran majority anak muda Johor sudah berubah. Lebih-lebih lagi apabila Menteri Besar Johor menafikan penglibatannya menerbitkan buku sejarah oleh Yayasan Warisan Johor yang mengiktiraf Mat Indera sebagai tokoh negarawan Johor menentang pejajah Inggeris.
Sebenarnya, jika dikaji kisah politik Melayu Johor memang unik. Dato’ Onn misalnya adalah seorang tokoh yang benci Inggeris. Tetapi dikelabui dengan catatan sejarah yang telah menganggap beliau adalah anak emas Inggeris. Begitu juga dengan perpaduan Melayu Johor, sebenarnya orang Jawa, Banjar, Boyan, Melayu, Arab-Melayu, Bugis, Seletar atau Orang Selat, Minang dan lain-lain suku Melayu Johor, tidak pernah bersatu padu atau bersatu hati di Johor kecuali apabila dititah menyertai perang. Mereka tinggal dengan kelompok sendiri. Itulah sebabnya mengapa orang India dan Cina juga boleh hidup dalam kampong suku-suku Melayu. Masing-masing ada kepentingan hidup sendiri.
Apabila berlaku penjajahan Jepun, barulah mereka membuka mata bahawa mereka perlu bersatu padu sebagai Melayu kerana perjuangan perpaduan diperjuangkan oleh elit dan intelektual Melayu. Mereka berasa yakin Melayu boleh bangkit kerana Jepun sendiri memberi semangat kepada mereka dengan mengalahkan British yang dianggap hebat. Manakala dari segi fizikal pula, orang Jepun atau tentera Jepun dilihat lebih kecil dari tubuh orang Melayu sendiri dan apabila berlaku keganasan komunis yang menolak agama dan berlaku zalim terhadap orang-orang Melayu seperti apa yang berlaku di Muar dan Batu Pahat Johor, maka ketika itulah perpaduan suku-suku Melayu menjadi padu dan mantap.
Berbalik kepada cerita Melayu UMNO Johor, kumpulan kecil Melayu-Malbari berdarah ahlul-bait ini yakin UMNO akan tumpas secara mengejut kerana tidak mahu berubah walaupun telah ditegur dan diperingatkan beberapa kali terhadap penyelewengan dan ketidaktelusan yang mereka amalkan. Melayu UMNO Johor kelihatan terus sombong mendabik dada mengaku bahawa mereka adalah pencipta UMNO, pencipata perpaduan, perancang kemerdekaan, pembawa kemajuan dan sebagainya tanpa menghiraukan bahawa masalah sebenar ialah masalah tidak amanah kerana terlalu sibuk mementingkan diri mencuri harta rakyat untuk diri peribadi melalui parti.
Akhirnya, kelompok Melayu-Malbari ini, mengaku bahawa mereka tidak lagi berbangga hendak mengaku Melayu kecuali berjanji akan menyokong tidak kira siapa asalkan memperjuangkan Islam. Dalam hal ini dan ketika ini mereka aktif membantu PAS selagi PAS telus , tulen dan jujur memperjuangkan dasar-dasar dan budaya hidup Islam bukan budaya Melayu yang songsang dan bercanggah dengan syariat Islam seperti banyak yang diamalkan atau yang diperjuangkan oleh Melayu UMNO. Marilah sama-sama kita berdoa semoga semua manusia tidak kira Melayu, India, Cina atau Malbari dan lain-lain agar sentiasa diberi petunjuk, taufik dan hidayah ke arah mengagongkan Islam. Amin.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Monday, August 22, 2011
BN Yang Rapuh Tetapi Terus Mendada
PM Kita Sudah Seperti Paklah dan Tun Dr. Mahathir Yang Syok Sendiri
DSAI ketua pembangkang nampaknya telah pasrah dan merasa dirinya tidak akan berpeluang tampil menjadi calon pelihanraya 13. Impiannya untuk ke Putrajaya telah dikuburkan walaupun dirinya masih belum ke liang lahat politik itu. Semua rakyat telah dapat melihat usaha kerajaan BN menggali kubur untuk DSAI dan tentunya bagi sesiapa yang berhati perut merasa begitu jijik dan loya. Kelmarin Dato' Najib berbuka puasa di Hulu Langat Batu 14. Jalan segera diturap ala kadarnya. Sebelum ini kawasan pembangkang itu seperti terbiar. PR menang tipis di situ pada pilihanraya 2008 gara-gara mendapat hadiah penyapu dari Menteri Besar Khir Toyo.
Kedatangan PM ke Hulu Langat dan Ampang menandakan piliharaya sudah dekat dan berkemungkinan akan diadakan pada bila-bila masa saja mengikut kesukaan, congak mahupun nujum PM. Jika di perhatikan dan dibuat analisa, kini PM dalam rangka melawat kawasan parti lawan dimana BN kalah tipis. Kawasan-kawasan yang dulunya dimenangi BN tetapi berpindah tangan kepada pembangkang kerana bosan dengan kesombongan BN. PM yakin beliau dan BN akan menang jika DSAI dapat dibekukan atau kerajaya politiknya dibunuh dan ditanam hidup-hidup. PM dan barisan kroninya yakin dengan kebaikan beliau menabur duit di sana-sini terutamanya di tempat dan kawasan DUN yang dilawati akan memenangkan BN walaupun ini adalah taktik lama dan kuno. Di mata pembangkang pula, PM dilihat sedang menggali lubang kuburnya sendiri kerana nampak mantan PM secara terang-terangan menyebelahi dan memberi galakan kepada TPM yang berjanji akan mengangkat anaknya pada suatu kedudukan yang akan memudahkan dirinya menjadi orang nombor satu.
PM mungkin sedar atau mungkin tidak dapat berbuat apa-apa terhadap karenah mentornya itu. Dr. Mahathir perasan beliau masih PM walaupun cita-citanya untuk mencipta rekod menjadi PM paling lama iaitu 30 tahun tidak tercapai kerana beliau dibuang oleh UMNO sendiri. Dalam senyap-senyap, sayap-sayap kiri dan gelap UMNO telah menyediakan pelbagai senjata halus berupa physiko dan umpan memerangkap PM melalui isteri beliau yang merupakan liabiliti UMNO. Ramai tokoh pemimpin UMNO mula merasa cengkaman kuku wanita pertama dan merasa khuatir, tidak senang hati dan rimas kerana beliau telah bertindak mempengaruhi PM menentukan calon-calon yang akan bertanding terutamanya tempat-tempat yang dikhususkan untuk wanita. Ketika ini berlaku lobi-melobi dan mencantas keting diantara pemimpin wanita dalam BN untuk merebut tempat-tempat yang dikira selamat untuk mereka.
Kawasan bekas Dr. Lolo' contohnya sedang menjadi rebutan hangat dan wanita pertama telah dipergunakan untuk mendapat tempat dalam persaingan. Kedengaran tempat yang panas itu bernilai jutaan ringgit dan bon politik ini akan mengikat calon yang menang disitu menjadi hamba yang akan membekal emas atau menjadi haiwan peliharaan mahupun lombong emas kepada wanita pertama nanti. Sebenarnya sejarah telah mencatat bahawa wanita pertama memang mempunyai keistimewaan mendapat sedikit lowongan politik untuk kroninya sendiri tetapi belum ada rekod yang menunjukkan penglibatan mereka melampaui batas seperti apa yang sedang berlaku kini.
Ada penganalisa politik menjangkakan wanita pertama seolah-olah sedang membuat tembok besar keselamatan untuk diri dan kroni-kroninya. Akhirnya mereka akan dipaksa membalas budi yang diberikan dengan mengangkat dirinya sendiri menjali calon pilihanraya sekaligus ketua kepada mereka. Kelihatan sumber kewangan dan publisiti ketika ini telah dikuasai beliau. Beliau dikatakan sedang menunggu saat yang baik untuk mengambilalih minda penyokong-penyokong BN untuk mengangkat ketokohan dirinya. Jika mengikut apa yang pernah berlaku di negara jiran mahupun di negara di benua lain, peluang sebegini berlaku apabila suami mereka selaku orang nombor satu dikalahkan oleh teman atau timbalannya sendiri mahupun musuh politik dari pembangkang. Pada ketika itu rakyat kelihatan simpati kepada penyikiran pemimpin utama seolah-olah digambarkan telah berlaku penipuan, pembelotan dan konspirasi dalaman. Berikutan itu undi kasihan akan menyebelahi kepada wanita pertama. Mungkin itulah yang sedang dinantikan oleh wanita pertama negara ini.
Berbalik kepada bahang pilihanraya, rakyat terasa diperbodohkan oleh BN apabila PM mengumumkan kesediaan menubuhkan sebuah jawatankuasa menilai semula peraturan dan perjalanan dan apa-apa mengenai piliharaya. Anehnya beliau tidak mengiktiraf apa-apa laporan dan saranan yang bakal dikeluarkan. Jawankuasa ini kelihatan sangat lemah dan cacat apabila tiada sebarang ahlinya dari pembangkang atau NGO yang berkaitan dengan pilihanraya.
Di Pekan pula iaitu tempat PM sendiri, masalah yang dihadapi beliau ialah kuatnya pengaruh kerabat di raja Pahang yang menyebelahi pembangkang kerana mereka dipinggirkan oleh istana. Mereka belum lagi begitu jauh dengan kerabat mereka yang berada di istana tetapi mereka terasa mereka sengaja dipinggirkan atas nasihat UMNO dan BN. Kaum kerabat mereka yang begitu ramai di Pekan telah menolak BN. Di sini jangan terperanjat jika anda di kelilingi oleh orang asing yang didakwa sebagai orang kita yang diuar-uarkan oleh mesin penyalak BN. Orang luar mungkin akan mudah percaya dan kelihatan PM begitu perihatin kepada orang kita atau orang asal yang dikatakan sengaja dipindahkan ke kawasan Pekan untuk mendedahkan mereka dengan pembangunan. Apa yang berlaku sebenarnya adalah untuk memperbanyakkan undi menyokong PM kerana rakyat tempatan banyak cenderung kepada kerabat diraja yang telah dipinggirkan di Pekan. Dan bagi mereka yang memang anak jati Pekan, mereka amat kesal dan berasa hampa kerana orang asal itu bukan semua yang asli tetapi dicampur sekali dengan pendatang Myanmar dan Kemboja. Orang Asli hanya minoriti sahaja.
Dengan kelihatannya apa yang dilakukan oleh PM dan BN, rakyat dengan mudah dapat merasakan mereka tertipu dan diperbodohkan. Hal inilah yang perlu diteliti dan dinilai kerana rakyat menuntut ketelusan dan kejujuran. Jika BN berterusan menggunakan taktik munafik double standard, talam dua muka atau dengan perkataan yang keras iaitu berciri munafik ini maka pasti halatuju sebenarnya ialah BN sedang menggali lubang kubur untuk dirinya sendiri. Rakyat bukan tidak menghargai pembangunan dan kemajuan yang dibawa BN. Rakyat bukannya tidak suka dan tidak sayang BN, tetapi rakyat sangat kecewa unsur-unsur penipuan kepada amanah yang dipercayakan kepada mereka. Jika BN dan UMNO terus sombong dan tidak berupaya keluar dari kesesatan ini maka tidak mustahil PR akan berjaya berkuasa dan mengambil alih Putrajaya. Malah sebenarnya rakyat telah bersedia dan matang untuk melihat siapa yang terbaik untuk mereka. Jika PR curang dan pecah amanah maka mereka juga akan digantikan dengan yang menjanjikan dan melasanakan kebajikan dalam manifesto mereka. Apabila rakyat bersedia dan bijak memaksakan parti pemerintah pilihan mereka adalah parti berkebajikan maka subur dan harmonilah kehidupan dan demokrasi.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Saturday, April 9, 2011
Sarawak Oh Malaysiaku
Pilihanraya Negeri 2011
Sarawak Memerlukan Pemimpin Berwawasan Global Sejagat
Ketika ini Kerajaan BN sedang sibuk berkempen menjelang pilihanraya Sarawak yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Rakyat tidak berasa aneh lagi kerana semua siaran media massa milik kerajaan memfokus kemajuan yang telah dicapai dan yang akan dilakukan. Kerajaan BN berusaha mempengaruhi rakyat Sarawak seolah-olah tiada siapa yang berupaya memajukan Sarawak seperti pemimpin-peminpin sedia ada yang bersekutu dengan BN.
Ironinya Sarawak yang dikatakan sebuah negeri yang mempunyai sumber kekayaan bumi masih berada dalam kelompok lima negeri teratas berada dalam kemiskinan. Pemimpin-pemimpin Sarawak bersama kroni mereka pula memegang rekod orang kaya di sana. Dan kekayaan pribadi yang dimiliki pula bukan sahaja dalam kelompok sesama mereka atau dengan kumpulan orang kaya di Malaysia malah boleh bersaing dengan orang kaya rakyat negara lain. Mereka berani berkata bahawa kekayaan mereka adalah hasil kepintaran mereka memerintah dan hasil usaha titik peluh mereka yang menyumbang bakti kepada masyarakat pribumi di sana. Sedangkan pada waktu yang sama, masih terdapat pribuminya yang masih bercawat.
Kerajaan Sarawak seolah-olah lupa bahawa puluhan ribu anak watannya sedang bertebaran di Semenanjung mencari penghidupan yang lebih baik. Mereka dapat hidup di sini tetapi dalam keadaan daif kerana mereka datang dengan bermodal tulang empat kerat dan pendidikan yang rendah. Kebanyakan mereka bersyukur kerana dapat hidup lebih baik dari di negeri Sarawak sendiri. Tetapi sangatlah menyedihkan kerana penghidupan mereka tidak jauh berbeda dengan pendatang asing malah nasib mereka selaku rakyat Malaysia tidak lebih baik dari pendatang asing. Mereka banyak terdapat di Johor, Trengganu dan Kuala Lumpur.
Golongan terpelajar Sarawak pula, mengikut sejarahnya memang mengikut perancangan kerajaan BN. Banyak yang sampai ke menara gading, memiliki segulung ijazah dan berkeluarga sesama sendiri sebagai kumpulan profesional tetapi peratusannya sangat sedikit yang kembali menyumbang tenaga dan kepakaran di Sarawak. Mereka lebih selesa membeli rumah dan menjadi orang Semenanjung. Mereka pernah merungut bahawa wawasan mereka tidak pernah dipedulikan oleh pemimpin Sarawak. Jika pandangan mereka membawa kesadaran menyeluruh kepada pribumi Sarawak, mereka akan dituduh subersif atau kelompok yang mencita-citakan merdeka. Persatuan Anak Negeri Sarawak pula dianggap terlalu memihak kepada kerajaan dan tidak berani mengemukakan pandangan positif yang bertentangan dengan wawasan kepimpinan Sarawak.
Sehubungan itu meskipun telah merdeka bersama dalam Malaysia, kemajuan dan pembangunan Sarawak sebenarnya masih terhad dan tidak menyeluruh kepada rakyat jelata. Apa yang kelihatan, mereka sebenarnya mewarisi corak pemikiran dan wawasan pemimpin Semenanjung. Kemajuan yang wujud tidak setara dengan kekayaan sumber hasil dan keluasan bumi Sarawak. Untuk menafikan tiada pembangunan yang dilakukan, tidak pula boleh dikatakan begitu kerana terbukti ada juga terpampang di hadapan mata. Cuma nikmat kekayaan tidak merata kecuali tersebar di kalangan kroni-kroni sahaja.
Jika menilik pendidikan pendatang Sarawak yang berduyun datang ke Semenanjung, terasa hal pendidikan dan segala perkara yang berkaitan dengannya masih sangat pincang. Mereka bukan sahaja tidak layak jadi ketua atau memimpin dalam pekerjaan yang tidak memerlukan sijil kemahiran malah hanya layak menjadi buruh kepada pendatang asing. Ini sangatlah dikesalkan kerana pendatang asing lebih bernasib baik malah kelihatan lebih terbela daripada rakyat sendiri. Pemimpin BN pusat seolah-olah tidak dapat dipersalahkan. Masalah ini kelihatan seperti mereka berlepas tangan yang akhirnya terbeban kepada pemimpin Sarawak jua yang akan dituding. Mereka boleh ditekan dan dituduh sebagai tidak bertanggungjawab dan gagal berperanan sebagai pemimpin rakyat Sarawak. Di sudut yang lain, pemimpin Sarawak tertekan dan terpaksa mengikut rentak BN dalam hal politik dan juga kepentingan pribadi dalam soal mengambil kesempatan dan mengawal kekayaan Sarawak. Akhirnya mereka sama-sama bersefahaman menangguk kekayaan untuk diri sendiri mahupun parti dan terus berjaya memerintah dengan budaya curang.
Dalam keadaan ekonomi dan sara hidup yang masih di peringkat asas dan ketinggalan, tentunya rakyat yang berada dalam kelompok itu tidak akan terbuai dengan isu-isu kebejatan moral pemimpin. Mereka lebih mengutamakan keselesaan dan kesenangan hidup daripada memikirkan kebejatan atau kecurangan pemimpin mereka. Sehubungan itu propaganda terhadap ketiadaan moral yang menjadi isu dan pertuduhan kepada ketua PKR tidak berkesan. Malah kebejatan pemimpin masyarakat mereka sendiri jika ada juga tidak menjadi suatu masalah yang boleh mempengaruhi kuasa memilih mereka ketika mengundi. Dengan itu, kerajaan BN mempunyai peluang yang sungguh luas dan lebar untuk memanipulasikan janji-janji pembangunan yang mengiurkan mereka.
Anak negeri Sarawak yang pintar dan celik ilmu, yang berada di Semenanjung pula kelihatan tidak mengambil tahu nasib saudara-mara mereka yang tidak bernasib baik. Mereka leka dibuai kesenangan hidup dan tidak sanggup berhadapan dengan risiko. Kumpulan yang terbuka hati untuk membantu pula boleh dikira dengan jari. Manakala yang cerdik dan pandai di Sarawak pula banyak yang telah termakan budi dan pro kepada kroni dan pemimpin Sarawak meskipun mereka mengetahui hak-hak asas rakyat terutamanya yang miskin diselewengkan.
Sarawak akan terus dijajah oleh pemimpin perompak duitan selagi tidak terlahirnya pemimpin anakbumi yang ikhlas, luhur dan berwawasan sejagat. Setiap pemimpin Sarawak yang tidak sanggup tidur digigit nyamuk seperti masyarakat peribumi di pedalaman maka selagi itulah pemimpinnya yang lahir akan mengintai kesempatan dan mengutamakan kepentingan diri untuk menjadi jutawan yang masih tidak terfikir oleh peribumi Sarawak seperti Orang Penan.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara.
Monday, February 21, 2011
Kelebihan dan Kekurangan Melayu UMNO – PAS
Intailah Kekuatan Melayu
UMNO dan PAS ialah dua parti orang Melayu yang utama, popular dan berwibawa di Malaysia. Tetapi satu daripadanya mengakui tidak bertunjangkan perjuangan Melayu kecuali Islam. UMNO pula mengaku Islam tetapi memperjuangkan kepentingan Melayu. UMNO berasa PAS tidak perlu ujud kerana menganggap UMNO berupaya menjalankan objektif parti PAS. PAS pula tidak mengharap UMNO akan melaksanakannya kerana UMNO terujud daripada konspirasi penjajah dan PAS pula lahir dari penyelewengan UMNO terhadap agama.
Jika anda seorang UMNO dan ingin membuat atau melaksanakan satu aktiviti misalnya membuat sebuah dewan orang ramai kos sederhana secara gotong royong, tidak banyak halangan dan masalah yang anda hadapi dengan syarat aktiviti itu mestilah kelihatan sumbangan atau komitmen UMNO kepada masyarakat. Anda akan dapat pembiayaan daripada pihak atasan. Hal ini menambah keyakinan anda untuk memberi perkhidmatan kerana separuh dari pekerjaan dan masalah anda dapat diatasi. Malah anda jangan terkejut, anda juga dapat imbuhan walaupun pada awalnya aktiviti atau projek pembangunan yang anda uar-uarkan itu adalah berkonsepkan gotong royong. Yang penting anda mesti berusaha menghadirkan seramai mungkin muka-muka Melayu pada hari gotong royong itu dan tahu menutup mulut.
Anda jangan pula terkejut segala bahan mentah itu akan dihantar oleh pembekal Ah Chong ke destinasi yang anda kehendaki. Anda juga jangan terkejut anggaran bajet yang anda kira untuk mendirikan dewan serbaguna itu sehingga siap dan selesai segalanya sebanyak misalnya RM100,000.00 tetapi diberitahukan Ah Chong bahawa kos bahan-bahan itu semuanya RM250,000.00 dan menasihatkan anda tidak perlu bersusah hati kerana Ah Chong juga mengaku sebagai penyumbang.
Di waktu yang sama anda tidak perlu terkejut dan memperbesar-besarkan isu apabila mengetahui sebuah jabatan kerajaan misalnya JKR telah memperuntukan sebanyak RM300,000.00 untuk projek yang disarankan oleh anda itu. Anda dinasihatkan supaya berterima kasih dan bersyukur serta berbangga kerana berjaya membina sebuah dewan orang ramai dengan kos hanya RM250,000.00 daripada peruntukan asal sebanyak RM300,000.00 kerana anda berjaya berjimat RM50,000.00 daripada wang kerajaan.
Inilah contoh fenomena jika anda seorang UMNO dan inilah kelebihan anda atau kelebihan UMNO yang berduit dan berkuasa. UMNO memiliki kepakaran dalam pelbagai hal dan bidang dan banyak professional yang menyumbang perkhidmatan di dalam parti Melayu itu. Sungguh hebat UMNO milik Melayu, milik kita. Dengan itu majulah bangsa kita apabila projek pembangunan tidak menjadi masalah untuk melaksanakannya.
Jika anda seorang PAS pula dan bercadang untuk membuat pekerjaaan yang sama, anda terpaksa menguar-uarkannya secara nyata dan merata tempat dan jika tidak bernasib baik anda terpaksa menjadi penagih atau pengemis derma dan amat malang jika silap-silap haribulan anda difitnah mengsonglap duit kutipan. Lokasi atau tapak pembinaan yang anda cadangkan itu akan diperiksa dan diuji oleh pihak berkuasa dan kadang-kadang tidak dapat kelulusan. Entah mengapa anda pun tidak begitu tahu dan tidak diberitahu dengan sejelasnya. Jika anda cenderung menggunakan harta atau tanah milik anda sendiri, banyak proses pemutihan atau memindahmilik terpaksa anda lalui kerana dikhuartiri anda atau waris anda mengambil kesempatan terhadap bangunan itu yang diperkirakan pembinaannya adalah dari duit orang ramai.
Sekiranya anda seorang berkemampuan, berkemungkinan besar projek amal anda itu menjadikan diri anda seorang yang terpaksa mengeluarkan banyak tenaga dan pelbagai belanja yang tidak terduga. Pelbagai masalah misalnya kewangan yang tidak mencukupi menyebabkan projek itu lambat atau tidak selesai. Tetapi jika anda mempunyai saudara usrah yang mantap dan berilmu, kesedihan anda akan dikongsi bersama dan mereka tetap bersabar dengan dugaan yang dihadapi. Mereka tidak akan lupa terhadap hidup satu matlamat bersama anda.
Dengan kekuatan saudara kumpulan usrah yang beramal dan hidup secara fikrah Islam, anda tidak perlu terkejut, dewan yang tidak siap itu telah berfungsi mengikut objektif yang ditetapkan oleh anda. Anda akan terhibur dan tidak menyangka bajet untuk mendirikannya sebanyak RM100,000.00 tetapi cukup dengan hanya separuh daripadanya secara ala kadar tetapi dapat merasakan kebarkatannya. Anda tidak pula gentar dan terpengaruh dengan segala tokmah dan fitnah kerana anda membangunnya dengan sumbangan ikhlas anda dan orang ramai. Bukan duit rakyat yang anda kumpulkan dari cukai sehingga barang keperluan menjadi mahal . Yang sangat penting ialah, penyucian wang atau pendapatan anda. Bukan kemasukan wang syubahat atau wang haram yang menjadi darah daging anda dan anak isteri.
Sekiranya bangunan itu dibina oleh anda dengan tangan sendiri dan sama-sama bergotong royang, tidak mustahil semua yang terlibat akan memperoleh pengalaman dan ilmu juga pertautan hati. Berikutan daripada itu fikrah dan roh islamiah akan terus mantap dan terus bertambah kuat jika anda menyedarinya.
Betapa hebatnya manusia Melayu jika orang berfikrah Islam sejujur anda, hidup dengan mengamati atau secara Islam terdiri juga daripada Melayu UMNO yang professional dan yang cerdik-cerdik sebagaimana yang sangat banyak terdapat di dalam UMNO yang sedang memancarkan kesombongan itu. Sama-samalah kita berdoa semoga kita bersatu kerana agama. Bukan bersatu kerana Melayu dan meminggirkan Islam. Harap-harap UMNO tidak terus sombong dan selesa dengan budaya rasuah.Renung-renungkanlah…….
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Thursday, November 25, 2010
ULAMAK MUDA & KEPIMPINAN UMNO GELOJOH?
SUDAH TERANG LAGI BERSULUH & KELEMAHAN PERJUANGAN
Krisis kelemahan kepimpinan Tun Abdullah telah memaksa para pemikir UMNO menyiasat dan mencari kelemahan hingga ke akar umbi. Adalah sangat menarik apabila diantara resolusi dan ketetapan yang perlu diambil untuk mengembalikan keyakinan ahli khususnya dan keyakinan masyarakat Melayu umumnya segera dilaksanakan. Usaha dan tindakan pantas seolah-olah berjalan lancar dan cekap tetapi hanya berlaku dalam kelompok pertengahan. Akar umbi masih tidak berpuashati dengan kuasa veto birokrasi tertinggi dalam UMNO.
Apa yang menjadi isu utama ialah ketidakpuasan hati akar umbi terhadap sikap pemegang amanah dalam parti dari peringkat bahagian hinggalah ke peringkat tertinggi. Ini adalah kerana kelompok itu menikmati kemewahan yang dianggap tidak seimbang dengan jasa dan perkhidmatan yang disumbangkan. Isu politik wang dan rasuah serta salah menggunakan kuasa dan wang rakyat menjadi isu realiti yang tidak dapat disembunyikan. Kemana sahaja biro penyiasat pergi untuk mendapatkan dan mengumpul maklumat, didapati maklumat yang diberi adalah serupa. Mereka mendapati akar umbi yang merupakan kumpulan teramai dalam UMNO tidak menyesal akan memberi undi kepada pembangkang jika isu dan masalah yang dikemukakan tidak diambil perhatian sebagai satu pengajaran.
Ahli-ahli akar umbi termasuk penyokong di atas pagar mengakui masih menyayangi parti tetapi mereka akan menolak pencalunan ahli UMNO dalam pilihanraya XIII jika amalan rasuah dan salah guna kuasa terus berleluasa. Salah guna kuasa bermaksud mengambil kesempatan mengumpul harta dan kekayaan. Inilah minda yang sangat berbahaya dan akan merosakkan kemurnian perjuangan UMNO. Akar umbi yakin dan terbukti minda kepimpinan yang diharapkan telah menggunakan platform yang disediakan UMNO untuk kepentingan diri dari mengutamakan akar umbi. Mereka dianggap tidak amanah kerana setelah diberi peluang menerajui birokrasi, mereka akan terus berusaha dan dengan mudah mencari wang dan kemewahan hidup sendiri.
Oleh kerana peluang terbuka luas dan negara juga dianggap mewah maka dengan mudah mereka dapat mengeksploitasi amanah yang diberi untuk kepentingan diri dan mereka benar-benar berjaya menunjukkan kemewahan hidup jika menyertai dan aktif dalam UMNO. Tanpa mereka sadari sebenarnya secara otomatis telah berlaku persaingan diantara mereka dan setiap sen peluang tidak pernah dipersiakan. Sehingga tanpa sadar mereka kelihatan seperti anjing merebut bangkai dan perlakuan melanggar disiplin parti dan maruah agama tidak lagi dihiraukan. Akar umbi tidak dapat menghalang mereka kerana itulah budaya dalam perjuangan UMNO yang memakai banyak topeng.
Satu perkara yang akar umbi telah sarankan ialah agar kembali segera kepada nilai-nilai murni Islam kerana semua ahli beragama Islam dan Islam itu menjadi junjungan parti pada peringkat awal penubuhannya. Mereka mengharap isu agama mestilah diselesaikan dengn penuh berhemah terutama apabila bertembung dengan parti pembangkang PAS. Selama kedapatan pertembungan isu dan polimik agama, UMNO kelihatan begitu jahil dan berhujah dengan kejahilan seperti orang yang bukan beragama Islam. Apabila disiasat memang ada kebenarannya kerana kepimpinan UMNO tidak mendalami pengetahuan agama Islam. Mereka hanya menggunakan fatwa dari beberapa ulamak UMNO yang tidak diberi kuasa dan tidak berwibawa. Sehubungan itu suara kuasa pribadi UMNO kelihatan lebih lancang daripada suara hak hukum dari pengetahun ulamak UMNO. Jadilah mereka seolah-olah ulamak suk atau ulamak ynag buruk dan terhina kerana ilmu mereka kelihatan dipersendakan dan dipergunakan pada tempat yang salah.
Maka keluarlah satu saranan yang sangat baik supaya semua ahli terutama kepimpinan UMNO agar kembali kepada nilai-nilai murni agama. Caranya ialah melatih imam dan ulamak muda dengan harapan pada suatu hari nanti mereka sendiri akan menjadi pemimpin atau sekurang-kurangnya sebagai penasihat kepada pemimpin UMNO yang tidak ahli dalam hukum hakam dalam Islam. Tertubuhnya kumpulan imam dan ulamak muda rupa-rupanya cepat dihidu oleh syaitan-syaitan yang bertopeng manusia maka ditekanlah kumpulan imam dan ulamak muda yang menjadi harapan masa hadapan.
Pengerusi penyiasat UMNO ke akar umbi juga tercabar dan demi menjaga kepentingan dirinya, beliau juga berlepas tangan terhadap nasib imam dan ulamak muda UMNO. Dengan melihatkan scenario nasib mereka maka telah tergambar bahawa mereka juga bakal menjadi ulamak buruk atau ulamak suk UMNO yang diperlekehkan oleh kepimpinan UMNO sendiri.
Di waktu yang sama, para pemimpin UMNO yang bertopengkan syaitan manusia berjaya menunjukkan prestasi pemulihan hasil siri-siri pembohongan. Kesombongan dan budaya rasuah bukan sahaja gagal diatasi malah menyemarakkannya lagi. Syaitan manusia memang mempunyai wawasan sungguh jauh kerana mereka dapat menghidu jika dibiarkan imam dan ulamak muda hidup dengan selesa di dalam UMNO maka sudah tentu periuk nasi mereka akan tertutup atau dicurah pasir kerana budaya hidup mereka sudah sebati dengan kemungkaran yang tersembunyi.
Sehubungan dengan itu usahlah bermimpi pada suatu hari nanti Melayu Islam UMNO akan bersatu dengan Melayu PAS kerana PAS sudah bersumpah mengikut ajaran Nabi SAW supaya tidak tertipu lagi memasuki lubang penipuan yang sama ciptaan UMNO. PAS hanya bersatu jika UMNO sanggup berkorban menukarkan perjuangan daripada Melayu kepada Islam. PAS sungguh jauh berwawasan kerana mengikut petunjuk agama bahawa manusia akan bersatu di bawah panji-panji Islam, selain dari itu mereka akan menuju kehancuran kerana nafsu dan kegelojohan. Itulah nasib UMNO jika berterusan menghina Islam yang digunakan untuk mencari pengaruh, kuasa dan kepentingan diri.
Adakah kita yang berada di akar umbi dan menyayangi UMNO sanggup melihat kehancuran diri sendiri kerana kebodohan, kejahilan , kesombongan dan sikap gelojoh…!?
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara