Friday, April 22, 2016

JERAT DAN PERANGKAP PERPADUAN MELAYU



JERAT DAN PERANGKAP PERPADUAN MELAYU

 Gelombang kegairahan untuk bekerjasama dan bersatu padu Melayu Islam negara ini memang dinanti-nantikan oleh AMNOBN sebagai satu daripada strateji untuk mengukuhkan diri semula. Isu perpaduan segera diuar-uarkan dengan menyeluruh untuk mempengaruhi orang Melayu. Mereka yakin isu ini memberi faedah yang besar kepada AMNOBN walaupun  jika tidak menjadi kenyataan.  AMNOBN  memang tidak bercadang membubarkan parti  mereka, mereka tetap akan dapat manfaat politik secara fizikal dan saikologi. Malah mereka berjaya menggunakan isu perpaduan Melayu untuk melemahkan PAS dengan melaga-lagakan dan memecahkan kumpulan-kumpulan pro dan kontra dalam PAS.

Pada amnya telah terwujud empat kumpulan besar di kalangan ahli PAS mengenai isu perpaduan Melayu Islam Malaysia. Kumpulan pertama ialah kumpulan yang tidak bersetuju untuk bersatu dan bekerjasama dengan AMNOBN. Mereka menerima dengan yang lain kecuali AMNO. Kumpulan kedua ialah mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan AMNO tanpa perlu membubarkan parti. Kumpulan ketiga ialah kumpulan yang mengaku diri sebagai kumpulan ulamak  dan penyokong ulamak yang tidak bersetuju terhadap uasaha bekerjasama dan perpaduan dengan semua yang tidak menyokong hudud dan hokum syariah Islam sebagai undang-undang negara. Dan kumpulan ke empat ialah kumpulan yang pasif tetapi berpendirian setia mengikut keputusan tertinggi PAS sama ada bersetuju atau sebaliknya mereka taat  mengikut keputusan yang diputuskan Majlis Syura.

Jika dikaji secara ilmiah peranan yang dimainkan oleh Presiden parti, TGHA dalam isu perpaduan ini,  boleh dikatakan beliau seolah-olah menyokong semua kumpulan dan semua pandangan positif. Di satu pihak yang lain pula menganggap beliau tiada pendiriran kerana berperanan seolah-olah seperti lalang. Jika berjaya tentunya beliau dapat manfaatnya. Bila gagal pula seolah-olah beliau terpelihara dan terkecuali daripada segala fitnah dan  penglibatan.

Tokoh yang awal dikeluarkan dari PAS ialah Dr Hassan dan pengikut-pengikutnya kerana dituduh sebagai pengkhianat berikutan beberapa tindakan beliau dianggap membelakangkan keputusan Majlis Syura. Dr Hassan dituduh telah dipergunakan oleh AMNO mengkritik perjuangan dan kepimpinan PAS. Tokoh seterusnya dikucilkan oleh PAS ialah Ustad Nasaruddin Timbalan Presiden PAS yang dituduh membuat konspirasi dengan pemimpin tertinggi AMNOBN. Usaha beliau untuk bekerjasama dengan AMNOBN dianggap berkepentingan pribadi kerana dianggap melakukannya tanpa pengetahuan dan restu dari kepimpinan tertinggi dan Majlis Syura. Dr Hassan dan Ustad Nasaruddin dilabel sebagai  pengkhianat, peneraju dan ketua dalam kumpulan dua.

Para professional PAS yang berjasa banyak terpengaruh dengan ketokohan Mohd Sabu adalah dari kumpulan pertama. Nasib mereka dalam PAS terserlah apabila ditolak hampir kesemuanya daripada menjadi pemimpin dan menerajui kepimpinan PAS secara halus. Mereka tidak terpilih secara serentak dan mereka mengesyaki ada konspirasi dalaman PAS daripada golongan ulamak dan ahli-ahli yang taksub kepada para ulamak yang cemburu dan telah memfitnah mereka.

Kesimpulan daripada apa yang telah berlaku dalam PAS pada hari ini  sebenarnya adalah kejayaan usaha strateji dan tipu muslihat AMNOBN yang tidak mahu rakyat melihat PAS sebagai sebuah parti alternatif yang berwibawa untuk memerintah negara. Mereka berjaya dengan teori pecah dan perintah dan menyembunyi kelemahan AMNOBN.

 Manakala PAS pula terus berbangga dengan tanggapan sendiri bahawa mereka berjaya menyisih semua yang tidak berjiwa dan fikrah Islam. Mereka melupakan jasa-jasa pejuang professional . Tanpa sedar mereka sebenarnya telah berjaya mengembalikan kemajuan PAS balik ke belakang seperti 30 tahun dahulu. Setidak-tidaknya inilah yang kelihatan di mata majoriti kebanyakan orang awam. Keyakinan orang awam terhadap PAS telah dimusnahkan oleh kepimpinan ulamak moden. Jika PAS yang didokong oleh pemikiran ulmak moden ketika ini gagal menubuhkan segera sekolah dan pemikiran Islam moden yang tulin berdasarkan sains Al Quran dan Hadis,  maka tidak mustahil PAS hanya akan berjaya memerintah negara 50 tahun dari sekarang…… in sya allah.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
16.3.2016 UNISZA,Gong Badak, Trengganu

Friday, July 24, 2015

MANISNYA KHILAFIAH ULAMAK BARU & LAMA PAS? SUATU PANDANGAN DARI SUMBER KEJAHILAN



MANISNYA KHILAFIAH ULAMAK BARU & LAMA PAS? SUATU PANDANGAN DARI SUMBER KEJAHILAN

Memang benar bahawa ulamak itu pengganti Nabi dan mereka menonton kita ke syurga tetapi ulamak yang bagaimana yang dimaksudkan itu?  Mereka berdakwah dengan kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW,  kemudian jika masih tidak kedapatan petunjuk dari kitab suci al Quran mestilah merujuk Hadis dan barulah ijtihad para ulamak. Itu pun bukanlah mengikut akal mereka sendiri tetapi mesti ada sumber rujukan dan kiasnya yang terdekat dari Al Quran,  kemudian hadis,  kemudian jika tidak ada juga,mereka kena cari dan selidik  dari para sahabat dan dari sahabat kepada sahabat. Ada yang memanjangkan kepada amalan pemimpin islam selepas sahabat kepada sahabat nabi SAW. Tetapi yang paling aula ialah kebebasan para ulamak mentakqik menggunakan budi bicara kepintaran dan kecerdikan yang dianugerahkan oleh Allah pada mereka setelah mereka tidak menjumpai apa-apa kias dan iktibar dari para sahabat nabi dan sahabat kepada sahabat nabi SAW.

 Ijtihad para ulamak ini pula mesti bersifat suara majoriti dan penerimaan teramai. Begitu juga apa-apa yang ditetapkan secara qias. Mestilah ada kaitan dan diterima ramai.  Ramai maksudnya bukan dari kalangan pengikut tetapi daripada jumlah ulamak yang turut serta dalam perbahasan. Ini membawa maksud ijtihad para ulamak dan qias dalam menentukan kedudukan sesuatu bicara atau hukum mestilah hasil perbincangan dan perhujahan yang akhirnya mendapat kesimpulan majoriti di kalangan ulamak yang mengambil bahagian. Barulah  dewan ulamak atau majlis ulamak yang membuat majlis pembentangan mendengar hujah-hujah dan dalil itu bersetuju menetapkan hukum atau kedudukan sesuatu perkara dan perlu diikuti oleh rakyat atau orang awam.

Sejarah Islam telah mencatatkan bahawa aktiviti yang positif ini telah melahirkan pelbagai mazhab. Kelainan dan pelbagai mazhab pula tidak sekali-kali bererti terkeluar atau mengeluarkan sesuatu mazhab yang tidak sependapat sebagai tekeluar dari agama Islam kecuali yang berkaitan dengan usuluddin atau tauhid atau dengan perkataan lain soal aqidah hakiki yang asas. Jika soal aqidah yang asas yang telah termaktub dengan jelas melalui ikatan dan penjelasan ayat-ayat Allah kemudian ayat-ayat Allah melalui nabi SAW iaitu hadis qursi dan kemudian pengajaran dan penjelasan dari Nabi SAW yang sudah terang dan jelas mengenai aqidah mentauhidkan Allah maka memang sudah nyata dan jelas yang mana beriman dan yang mana kufur dan kafir dapat diketahui malah sudah ditetapkan.

 Kesimpulan hakiki dari apa yang tercatat diatas adalah mengenai  keputusan  dan pandangan para ulamak dalam menentukan sesuatu hukum atau kedudukan sesuatu perkara mesti dengan perbicaraan dan penghujahan dengan dalil-dalil dari sumber ilmu yang ada pada mereka. Mereka tidak boleh menurut sesuka hati atau membabi buta kepada sandaran ulamak lain. Dalam penghujahan dan menerima dalil-dalil yang diutarakan jika tiada dalam pengetahuan mereka, mereka tidak boleh terpengaruh kecuali terbukti mereka melihatnya sendiri dari warisan kitab tulisan ulamak muktabar mahupun dari ulamak-ulamak muktabar yang masih hidup akan ditemui dan ditanyakan kepada mereka mengenai dalil yang ada dalam pengetahuan mereka.

 Dalam ertikata lain bukanlah seorang ulamak itu jika berhujah dengan tiada sandaran atau berhujah berdasarkan dalil orang lain. Jadi janganlah mengaku diri ulamak jika kita tidak tahu asal usul dan hujung pangkal sesuatu perkara pada asas dan pada dasarnya. Dalam bahasa agama, jika kita tidak tahu pada hal-hal usul dan hal-hal furuq. Lebih dahsyat jika kita tidak dapat membedakan  apa yang dikatakan usul dan apa itu furuq. Jika kita tiada dalil prima maka secara automatis kita adalah pengikut, kita bukan ulamak dan tidak patut bersuara dalam majlis ulamak. Sekiranya dalam majlis ulama ada individu yang tidak sampai kepada pengetahuan meluas selaku keperluan yang ada pada setiap yang bergelar ulamak maka sebaiknya tariklah diri dari menjadi ahli majlis ulamak . Cukup hanya komited sebagai kadam atau budak suruhan dan ini tentu maksudnya tidak ada kuasa mengundi dan membuat keputusan atas nama majlis ulamak.

Namun jika jahil ilmu hendaklah kita meangaku bahawa kita masih jahil dan itu lah yang dikatakan amanah kepada ilmu. Kita boleh bepegang kepada dalil dan asas hukum yang kita tahu, jika dalam keadaan darurah di mana kita tidak mengetahui dan dalam keadaan tiada orang berilmu lebih dari kita dan tiada ulamak terdekat dengan tempat kita dan jika bersendirian. Dalam suasana begitu hendaklah kita memberi dan mengeluarkan atau mengamal keterbatasan hukum yang bersifat sementara. Ingatlah pesanan Sheikh Imam Al Shafie Rahmatullah yang selama ini kita mengaku mengikut hukum-hukum pandangannya sebagai tokoh terulung mengetuai Mazhab Shafie yang suatu ketika beliau sendiri pernah tidak mengaku bahawa beliau pencipta mazhab baru dan berpesan supaya kepada sesiapa sahaja yang mengikut pendapatnya dan telah bertaqlik dengan hukum-hukum yang berdalil al Quran dan Hadis nabi SAW tetapi jika kedapatan dalil dari Al Quran mahu pun al Hadis yang lebih tepat dan kuat maka hendaklah perpegang kepada dalil yang kuat dan sahih itu daripada ketetapan yang pernah disandarkan beliau.

Sehubungan itu jika kita kaitkan dengan Dewan Ulamak PAS yang telah membuat usul maka adakah dalam keadaan begini hujah mereka boleh diterima atau tepat? Jika kita melihat pergolakan dalam PAS yang dicintai, pertamanya kita harus bertanya siapakah mereka yang menganggotai Dewan Ulamak PAS. Apakah fungsi mereka?  Sebelum mereka memutuskan dan membawa usul tanpa bahas kita harus bertanya abagaimana mereka bekerja dan beroperasi? Adakah mengikut garis panduan syariat Islam yang bertunjangkan Al Quran dan Hadis? Siapakah mereka dan apakah latarbelakang mereka yang menganggotai Dewan Ulamak.

 Kegusaran ini adalah pandangan peribadi Tun Sheikh selaku orang luar sahaja. Tetapi jiwa dan kecintaan Islam adalah hak individu bukan mutlak dan bukan hak PAS  sahaja. Adalah sangat baik jika Dewan Ulamak dalam PAS diperlembagakan sahaja. Tokoh yang menyertai Dewan Ulamak PAS mesti terdiri daripada mereka yang cukup kelayakan sebagai ulamak. Mereka mesti  tahu dengan jelas fungsi Dewan Ulamak sebagai penasihat dan pengawal kepada tokoh kepimpinan Jawatankuasa PAS Pusat. Fungsi Dewan Ulamak Kawasan  mengawal aktiviti kawasan supaya segala aktiviti dan agenda tidak terkeluar daripada syariat Islam. Yang teramat penting dalam perlembagaan Dewan Ulamak mestilah tiada sorang pun bercita-cita politik dan tidak dibenarkan menyertainya, tetapi kuasa Dewan Ulamak diletakkan setaraf kuasa kepimpinan Jawatankuasa PAS. Dalam ertikata lain, tiada ahli Dewan Ulamak boleh memegang apa-apa jawatan atau menjadi ahli jawatankuasa parti dan begitulah sebaliknya. Mereka yang terpilih dari Dewan Ulamak akan masuk menjadi ahli Dewan Syura yang diberi kuasa eksekutif tertinggi dalam PAS. Ahli Majlis Syura juga mengikut perlembagaan Majlis Syura di mana antaranya ialah tidak boleh memegang sebarang jawatan politik dalam Jawatankuasa PAS dan juga tidak boleh menjadi ahli Dewan Ulamak.

 Majlis Syura berfungsi sebagai kata pemutus kepada segala isu dan masalah yang tidak dapat diselesaikan di peringkat Jawatankuasa PAS mahupun Dewan Ulamak. Ahli Majlis Syura diangkat setaraf Yang Berhormat, Pengerusi Biro-biro setaraf pengerusi exco negeri dan Ahli Dewan Tertinggi iaitu Ketua Majlis Syura setaraf Menteri Besar, Naib Ketua setaraf Timbalan Menteri dan seterusnya. Kuasa mereka adalah kuasa pemutus tertinggi dan terakhir atau teratas tetapi kuasa mereka hanya terbatas dalam PAS bukan kepada masyarakat awam.

 Jika PAS memerintah Negara maka secara automatis Majlis Syura sebagai penasihat Yang Di Pertuan Agong dalam hal ehwal agama dan bertindak sebagai Lembaga dan Majlis Mufti Negara yang memutuskan sebarang faktwa kebangsaan.  Presiden Parti pula sebagai Perdana Menteri dan penasihat Agong dalam perkara awam. Perlu diingat dan ditegaskan bahawa pada hakikatnya kuasa ekserkutif  tertinggi kepada Negara dan Parti pemerintah jika PAS menjadi kerajaan ialah Majlis Syura.  Tetapi bukanlah mereka yang memerintah Negara kecuali membuat keputusan dan fatwa penamat mengikut syarak . Elaun atau gaji Ketua Majlis Syura adalah sama seperti Perdana Menteri dan seterusnya begitu juga Majlis Syura di peringkat negeri adalah setaraf dan setara seperti menteri besar.

Idea ini timbul berikutan penguasaan Dewan Ulamak yang kelihatan telah memainkan peranan  membuat keputusan muktamad untuk menyingkirkan golongan professional daripada menguasai Jawatankuasa Pusat dan menamatkan hubungan dengan DAP dan lain-lain parti yang menafikan cita-cita Hukum Hudud PAS. Strategi Dewan Ulamak boleh dipertikai kerana yang menjadi ahli Dewan Ulamak majoritinya adalah mereka yang tidak berkelayakan dan berkemungkinan dipengaruhi dan menjadi pak turut sahaja sehingga seolah memperlihatkan perpaduan dan kekuatan yang luar biasa. Padahal mereka akan menambah masalah pada masalah yang sedia ada.

Ditilik dari luaran pula pada waktu kontemporari ini parti kompenan PR telah sepakat untuk tidak menimbulkan hak perjuangan asas sebelum berjaya mengalahkan BN dan sebelum berkuasa memerintah Negara telah pecah berderai.  Pada yang nampak apa yang tersirat ialah ini semua adalah salah satu jarum AMNO yang berjaya menyibarkan bisanya sedikit demi sedikit melalui pelbagai penipuan, fitnah dan strateji mencegah, memecah dan memerintah. DAP diberi kebenaran mengadakan Sistem Pengundian Awam untuk memilih Datuk Bandar dan Anggota Majlis Bandaran. PAS dimungkiri dengan janji menyokong Pindaan Akta (berkaitan kebenaran melaksanakan HUDUD di Kelantan) sehingga menyebabkan ulamak veteran melatah dan kumpulan professional yang digeruni AMNO berjaya difitnah akan membawa PAS kepada kesesatan dan terkeluar dari perjuangan asas. Pada masa yang sama juga mereka mengugut dan menakut-nakutkan  DAP dan rakyat bukan Islam terhadap Undang-undang Islam HUDUD.

Ikhlas dari Tun Sheikh Yang Jahil
Masjid Kg Ulu Melaka 9.7.2015

Sunday, June 21, 2015

WAWASAN POLITIK MELAKA



WAWASAN POLITIK MELAKA

Pada mula ADUN bersidang di Melaka setelah PR13, Tun Sheikh mengambil kesempatan untuk hadir menjadi pemerhati. Bukan apa, ini adalah kerana terdengar ada strateji mampan pembangkang untuk menang di Melaka sebagaimana Pulau Pinang atau setidak-tidaknya memecahkan majority 2/3 ADUN Melaka. Ternyata mereka telah gagal tetapi berjaya menambah keahlian di DUN Melaka. Selain daripada itu ialah ketegangan yang tercipta setelah tanpa diduga nama Ketua Menteri Melaka yang  baru dilantik tidak mengikut perancangan skrip politik Melaka. Ketua Menteri yang baru pula adalah orang yang dianggap muda dan berjiwa muda dan desas-desus disana sini mengatakan beliau tidak ada pengikut atau pengaruh akar umbi yang kukuh kecuali arahan PM yang mahu Ketua Menteri baru diberi kerjasama tidak berbelah bahagi oleh segenap ahli AMNO Melaka.

Pada mata Tun Sheikh, Ketua Menteri baru Melaka memang seorang yang mempunyai kewibawaan tersendiri dan ikon Ir atau jurutera beliau banyak melembutkan hati orang Melaka. Pada awalnya telah kedengaran meluas desas-desus mengatakan beliau diperlekeh oleh pemimpin veteren dan pengikut-pengikut mereka. Ahli-ahli AMNO Melaka yang veteran juga diuar-uarkan sebagai pengikut setia kepada pemimpin veteran Melaka. Walau bagaimana pun hal ini termati dengan sendirinya apabila beberapa ahli dan pemimpin veteran AMNO Melaka membuat pengumuman yang positif dalam pengucapan awam mereka menafikan propaganda yang dimainkan oleh kumpulan yang tidak berpuas hati.

Dari pengucapan awam pemimpin yang telah lama bersara terutamanya yang aktif di zaman YM Tunku, Tun Abdul Razak dan Tun Ghafar Baba, jelas pemikiran mereka begitu positif untuk kepentingan Melayu dan rakyat Melaka. Ucapan-ucapan mereka  seolah-olah menyindir dan mengingatkan semula peranan mereka membantu politik Melayu di zaman mereka memajukan dan membangun Melaka tanpa niat mengambil kesempatan dan mementingkan diri sendiri dan kroni. Mereka yakin era Ketua Menteri yang baru dilantik akan lebih bertenaga dan akan berjaya memainkan peranan menjayakan dasar dan cita-cita kerajaan pusat iaitu memberi perkhidmatan dengan slogan integriti, transformasi dan transparensi dalam pentadbiran bagi memastikan rakyat mengecapi faedah dan rakyat diutamakan terlebih dahulu.

Di dalam Sidang DUN, pada peringkat awalnya memang ketara ADUN BN seolah-olah tidak fokus kepada isu yang dibincangkan. Tidak kelihatan bersatu minda dan tujuan kecuali masing-masing menunjukkan kehebatan diri berhujah dan mematahkan hujah pihak pembangkang. Kadang-kadang keluar dari topik yang dibincangkan. Manakala di pihak pembangkang pula tiada nampak membantah terhadap apa jua cadangan yang menguntungkan rakyat tetapi hujah dan penegasan supaya penambahbaikan dan memberi amaran supaya telus dan transparen. Soal transparen dan integrity sangat ditegaskan dan ditonjolkan sehingga kadang-kala suasana persidangan terganggu kerana ketidakpuasan hati ADUN BN seolah-olah merasa pedas sendiri dan disindir kerana pernah memakan cili padi. Ketika inilah kematangan dan kerasionalan Ketua Menteri baru selaku ketua BN jelas menonjol. Beliau begitu tenang dan tidak gopoh dan tidak sekali-kali menyentuh kelemahan pribadi YB ADUN. Sebaliknya beliau berjaya memberi pencerahan terhadap isu yang kelihatan samar atau isu yang telah mengelirukan akibat perdebatan yang begitu emosional.
Ketika di waktu rehat, Tun Sheikh dapat menyimpulkan bahwa ADUN BN banyak membuang masa pada isu-isu di luar agenda yang tidak berfaedah. Suka bergurau sesama sendiri dan puji-memuji untuk mengambil hati atau mencari pengaruh. Berlainan sekali di pihak pembangkang. Mereka duduk berkumpul sesama sendiri dan berbincang mengenai perkara yang akan dihujah mengikut agenda. Mereka membuat pengkhususan dengan membahagi-bahagikan perkara yang perlu diperkatakan mengikut giliran yang ditetapkan. Semua dikehendaki bercakap dan tidak bercakap pada isu yang sama.
Jika rakyat diberi peluang menonton penuh rakaman ADUN bersidang, mereka tentunya menyesal memilih ADUN BN kerana ada yang tidak focus dan terlelap padahal itu adalah hari Persidangan DUN pertama selepas PR 13. Ada juga seperti berkelakuan bersahaja tidak ambil berat kerana mungkin berasakan diri mereka adalah orang lama yang banyak pengalaman dan mesti dihormati atau diberi hati oleh YB yang baru. Mereka juga menunjukkan gambaran bahawa mereka adalah orang politik yang yakin sehingga hampir-hampir seperti ‘over confident’ dalam perkataan Inggeris.
 Apabila Tun Sheikh cuba mendapat maklumat mengapa sesetengah YB BN menunjukkan sikap sebegitu, Tun Sheikh dapat maklumat daripada Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan yang veteran mengatakan pengaruh Dato’ Ali masih kuat dan masih mengancam. Mujurlah KM baru begitu tenang dan berkeyakinan tinggi. Beliau berjaya menutup keaipan ahli barisan yang diketuai beliau sendiri. Bagi Tun Sheikh, wawasan dan kemajuan negeri Melaka akan jadi kenyataan hanya jika KM baru berjaya mendisplinkan penumpangnya dan membuktikan dirinya sendiri tidak rasuah, berintergriti dan transfaren.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sri Negeri Melaka, Mei 2014

Thursday, January 30, 2014

Apa Cerita Kajang



Apa Cerita Kajang 

Banyak ahli veteran pelbagai parti bertanya Tun Sheikh perihal Kajang. Tun Sheikh tersenyum saja kerana faham apa maksud mereka yang bertanya. Ada yang ingin tahu sahaja. Ada yang tidak berpuas hati. Ada yang berasa risau. Malah ada yang marah-marah. Selebihnya macam pura-pura tanya kerana yakin Tun Sheikh ada sumber first hand news. Apa yang ingin Tun Sheikh perjelaskan di sini hanyalah untuk suatu pencerahan. Dalam pandangan Tun Sheikh, orang Melayu kita dari kumpulan atau Jalur 1 memang lembab ketika ini dalam bab politik di zaman dunia tanpa sempadan. Itulah sebabnya bangsa Melayu terus tertipu dengan perakus dunia yang ada otak kancil sealiran Yahudi  yang hebat dalam berimejinasi . Mereka ditipu hidup-hidup sejak mereka lahir sehingga ke usia yang sudah sangat hampir magrib. Jalur 1 ini suka dengan kesenangan hidup yang sederhana. Senang sendiri dan tidak memikirkan untuk menjadi kaya raya. Mudah disuap dan berpuashati dengan pujian yang menghayalkan. Kalau ada rezki lebih maka jadilah kebanggaan. Mereka tidak tahu dan tiada kemahiran dalam membantu orang lain agar berubah cara hidup dan cara berfikir. Mereka sangat mudah dipengaruhi oleh pemimpin Melayu Amno.

Bagi Tun Sheikh, Kajang dipilih kerana banyak keistimewaannya. Di sini ada catatan sejarah rakyat berparadigma minda dengan menolak Melayu Amno kerana tercabar dengan perangai biadab Menteri Besar yang menghadiahkan penyapu kepada Pegawai Daerah Hulu Langat. Memilih Kajang sebagai pelita atau cahaya membuka mata kepada semua kaum memang direncanakan. Komposisi atau polar suku  kaum di Kajang agak seimbang. Perkara ini memang dalam perencanaan politik. Itulah sebabnya calon Cikgu Kajang dulu dipujuk supaya tarik diri. Jika beliau menjadi wakil rakyat tentunya akan menyulitkan strateji politik kearah mengamalkan keadilan. Ini adalah kerana negeri Selangor sebenarnya adalah lombong mas haram kepada Amno dan perompak-perompak tarbus pelbagai kaum. Negeri ini setiap saat diintai oleh penyamun-penyamun tarbus Melayu, Cina, India dan lain-lain. Mereka juga terdiri dari pelbagai samseng dari pelbagai suku kaum .

Lihatlah sejarah politik Selangor sejak kedatangan British malah boleh juga disingkap pada zaman Belanda. Objektif segala bangsa yang berminat ke sini adalah harta karunnya. Dulu bijih timah kemudian hasil-hasil perladangan. Ekonominya sangat memberangsangkan kerana Kuala Lumpur adalah pusat pentadbiran dan terus berkembang menjadi pusat perekonomian, perusahaan, perkilangan, perindustrian. Perang saudara pernah berlaku juga disebabkan rebutan kuasa ekonomi. Dan peristiwa berdarah 13 Mei 1969 berlaku di Kuala Lumpur juga disebabkan ketidakseimbangan ekonomi suku kaum. Apabila Pakatan Rakyat berjaya mentadbir Selangor, rakyat dikejutkan dengan pelbagai berita penyelewengan semua lapisan masyarakat ketika era Amno atau BN berkuasa. Pelbagai penyelewengan berlaku dan berbilion ringgit dikesan hilang tanpa rekod. Yang jelas kelihatan ialah lagak jutawan ahli politik AmnoBN dan para kroni mereka. Rakyat majoriti  di takuk lama. Kekayaan Selangor bukan sahaja menampung kemewahan para pemimpin politik tempatan tetapi juga menyebar ke pusat. Apabila berlaku pertukaran tampuk pemerintahan yang tidak disangka-sangkakan, mereka berasa kepanasan seperti dalam api neraka meskipun mereka masih kaya dan harta serta hasil yang dirompak dahulu masih berbaki banyak dan belum lagi habis.

Mereka sedaya upaya berusaha untuk mengambil semula Selangor dari tangan Pakatan Rakyat. Pemerintahan Pakatan Rakyat pula dengan cemerlangnya telah berjaya membuktikan penyelewengan AmnoBN,  malah membuktikan dapat mengumpul berbilion ringgit rezab kerajaan kerana berjaya mengawal rasuah dan ketirisian. Istana dan Majlis Agama didombakan dan tentunya jasa AmnoBN pada agensi tersebut dikenang kerana mereka telah membuat orang Istana dan majlis agama tidur lena dan mabuk kesenangan ketika mereka berkuasa dahulu. Maka terjadilah pelbagai isu seperti isu murtad, isu kalimah Allah, isu kedaulatan raja, isu ajaran sesat dan pelbagai macam isu yang menggambarkan seolah-olah negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sedang bermasalah besar. Mereka terus menggunakan geng-geng samseng dan kroni jahat untuk mencipta trajedi bermula pada yang kecil dan kerugiaan kecil dan lama kelamaan jika terus gagal mereka terus akan menggerakkan kepada bencana yang besar.

Bagi orang yang kuat beriman dan berpegang kepada agama dan kepimpinan agama yang bertegas dengan panduan Al Quran dan Hadis, mereka nampak ini semua adalah permainan syaitan manusia yang  tidak berpuas hati terhadap usaha perpaduan berbilang bangsa dan usaha menikmati keharmonian dan kekayaan negara secara adil dan seimbang. Lebih-lebih lagi hasil haram yang masuk dalam kantung mereka semakin berkurangan. Orang yang berimann juga nampak bagaimana pemimpin mereka berulang kali difitnah dengan isu-isu yang tidak bermaruah sehingga ada yang dituduh telah kafir, murtad dan Syiah. Pemimpin parti gabungan iaitu DAP dan lain-lain pun tidak terlepas dari fitnah dan juga gangguan serta perlakuan para samseng upahan yang diupah mencipta suasana menjadi tegang. Ketua syaitan manusia itu tentulah yang bertopengkan pemimpin Amno malah mantan PM Tun M juga masih tidak malu menunjuk-nujukkan taring hantunya.

Secara kias jika dahulu pemimpin AmnoBN banyak modal kewangan haram dalam usaha menyebar dan mengembangkan pengaruh mereka sehingga boleh dikatakan berjaya membutakan matahati banyak rakyat terutamanya bangsa Melayu sendiri tetapi ketika ini mereka sangat gusar dan bimbang kerana punca kewangan mereka terasa sudah mula tersekat. Mereka terpaksa menggunakan duit kerajaan atau duit rakyat atau daripada perbendaharaan negara yang akhirnya mengakibatkan mereka terpaksa menambah hutang negara. Tipu muslihat, keanggkuhan, rasuah, salah guna kuasa, pemborosan dan pembaziran saban hari terpampang di hadapan mata rakyat dengan sendirinya telah membongkar kepalsuan dan sifat hipokrit mereka.  Apabila sumber kewangan bertambah meruncing mereka mencipta tekanan kepada rakyat dengan objektif positifnya seperti serampang dua mata. Mereka tarik subsidi dan naikkan harga produk barangan asas. Mereka ancam dengan pelbagai cukai yang menguntungkan mereka dan para kroni. Rakyat tertekan tetapi mereka masih berhura-hura berpura seolah-olah tiada apa yang terjadi. Mereka bergaya seperti masih memiliki duit, kaya dan tidak menjejaskan kedudukan mereka.

Maka selepas Pilhanraya Kecil Kajang nanti, apabila DSAI menang dan tidak menjadi menteri besar Selangor, rakyat Selangor tidak perlu terperanjat kerana ini semua untuk kebaikan rakyat Selangor kerana tindakan ini terpaksa direncanakan dan diambil bagi melumpuhkah aktiviti dan strateji syaitan manusia itu tadi. Pada waktu yang sama rakyat seluruh negara akan dipaksa membuka mata jika PM menolak untuk bertanding di Kajang menyahut cabaran yang memang dirancang itu. Dalam keadaan sekarang di mana rakyat sedang mengeluh kesah dengan perangai pemimpin tertinggi negara yang semakin hari semakin kelihatan begitu bodoh dan berterusan menyusahkan rakyat maka jika beliau tidak mahu menarik diri dengan baik dan sukarela maka jawatan PM itu akan tercabut dari dirinya yang akan dilakukan oleh pengikut-pengikut beliau sendiri. Manakala tanpa perlu perampasan kuasa walau secara perundangan atau tidak terkeluar dari demokrasi Pakatan Rakyat akan berjaya mengangkat maruah dirinya dengan sendirinya. Pakatan Rakyat akan terbukti berjaya memperlihatkan kesungguhan perjuangannya kearah berkerajaan yang adil dan mengutamakan rakyat. Matlamat ke Putrajaya akan lebih mudah dan terjamin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Kajang 28.1.2014
 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere