Thursday, April 8, 2010

PILIHANRAYA LONDEH KAIN SELUAR DAN SARI

PILIHANRAYA PARLIMEN HULU SELANGOR APRIL 2010

Sekali lagi setiap berlakukannya pilihanraya kita akan menyaksikan aksi londeh-melondeh kain, seluar atau sari. Orang kata politik itu amat kotor dan ketika ini sudah menjadi trend seolah-olah politik itu begitu kotor dan busuk. Politik itu menjadi begitu adakah kerana memang sistem tersedia buruk atau tokoh-tokoh yang menggunakannya yang membuat politik itu jelek?

Kita mestilah berfikir malah berusaha supaya politik itu tidak kotor dan tokoh pemimpin yang kotor itu kita nyahkan atau jangan kita pilih. Jika dia bersih tapi dasar atau polisi atau kumpulan mereka adalah kumpulan yang kotor dan busuk, maka kita jauhkan diri kita dari mereka dengan cara jangan memilih mereka. Kita mesti jadi agen perubahan dari buruk kepada baik. Tetapi jika kita semua yakin dia memang bersih dan baik maka kita pilihlah dia sebab nanti kita juga akan jadi baik.

Hari ini kita sepatutnya memberikan tabik hormat kepada tokoh yang berpendirian baik dan bernilai sejagat. Walaupun dia dari Wanita MCA dan dari BN tetapi berprinsip. Tokoh seperti ini sepatutnya dikumpulkan dan diberi wadah supaya jasa baktinya terus disumbangkan. Tokoh Wanita MCA ini walupun menjawat jawatan Timbalan Menteri telah sanggup melepaskan jawatan kerana tidak sanggup bersekongkol dan bekerjasama dengan bosnya yang telah terbukti berbogel melepaskan nafsu pada jalan yang buruk yang melambangkan kerendahan moral. Baik macam mana pun tetapi apabila terbukti dan dalam hal ini beliau sendiri mengakuinya seharusnya tidaklah diangkat lagi menjadi pemimpin.

Entah macam mana beliau boleh diterima lagi dan ini tentunya ada yang tidak kena. Setidak-tidaknya jika inilah jalannya maka kita telah diperlihatkan bagaimana minda pendokong-pendokongnya. Seolah-olah merestui kecurangan dan kebejatan moralnya dan sudah tentu akan menjadi ikutan atau perkara buruk yang dilakukannya itu dapat diterima jika berlaku lagi di masa depan. Jika benar dia memang baik dan memang pun dia telah memohon maaf dan menunjukkan kerendahan diri dengan pengakuan, dia tidak sepatutnya ditolak ke depan lagi. Biarlah dia jadi pemimpin dan pendokong perjuangan di balik tabir yang baik.

Di pilihanraya Parlimen Hulu Selangor nanti, kita sekali lagi akan disuapkan makanan-makanan busuk yang berbau perkauman. Sari akan dilondeh kerana kawasan ini adalah kawasan Melayu yang pakai kain. Tetapi Melayu yang pakai songkok tidak dapat berbuat apa-apa kerana tradisi di sini ialah pertandingan memakai sari dan memakai seluar. Kepelbagaiannya hanyalah apabila penari sari yang sudah empat penggal menari di kawasan pemakai kain di sini tidak terpilih kerana penduduk di sini sudah jemu melihat tarian merak di atas dacing yang tidak seimbang. Dacing itu pula bahagian beratnya lebih ke bahagian yang busuk kerana kebejatan.

Perhatikanlah nanti kita akan mendengar cerita dalam kelambu lagi. Cerita dalam bilik hotel dan gambar bogel. Kita juga akan disuapkan dengan pemikiran songsang yang mana para pemimpin tidak menganggapnya sebagai rasuah tetapi sebenarnya adalah rasuah minda dan dalam kategori rasuah juga. Sebab jadi macam tidak faham kerana kita hanya disogok dengan rasuah kewangan, rasuah duit dan rasuah kebendaan. Rasuah salah guna kuasa kita tidak tahu. Rasuah salah guna masa pun kita tidak tahu. Inikan pula rasuah minda atau pemikiran... lagi kita tidak tahu. Dan apabila kita tidak tahu maka mudahlah kita dipermain-main dan digula-gulakan orang.

Ketika ini matahati kita mesti tajam memerhati. Tidak kira parti apa, asalkan mereka mempunyai nilai sejagat demi kebaikan untuk kehidupan ini, mereka mesti kita sokong dan dukung. Gambungan minda dan orang yang baik-baik ini apabila berkumpul dan bersatu akan menjadi besar jua dan kita juga akan dapat faedah kebaikannya. Jika di depan mata kita mereka baik tetapi dalam perpaduan kelompok besar mereka bias dan tidak bernilai sejagat, maka kita jangan pilih mereka. Ini adalah kerana kita sedang berada dalam nilai dunia sejagat. Jika kita tidak membuka fikiran kita untuk mengamalkan kebaikan bernilai sejagat maka kita akan terpedaya dan terus meraba-raba dalam kehidupan.

Fitrahnya kebaikan mesti jadi amalan dan diutamakan tetapi jika anda seorang bapa yang bertanggongjawab memastikan anak-anak hidup, mengapa atau patutkah anda membiarkan atau membunuh anak anda yang kurang cerdik atau yang lemah mati kebuluran atau terus hidup dalam penderitaan? Anda sebagai bapa sengaja pula tidak memberi nafkah dengan alasan mengajarnya tetapi apa yang anda belanjakan membawa nasib seisi keluarga dan rumahtangga anda ke arah kerosakan. Itu mungkin anda lupa kerana anda sedang hidup dalam kemewahan. Bagaimana pula jika anda telah jatuh miskin dan hilang kuasa? Dan pada waktu yang sama semua orang memulaukan anda kerana anak anda yang anda dera tadi berjaya menunjukkan cara hidup dengan budi pekerti yang mulia dan bernilai sejagat?

Oleh Tun Sheikh

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere