Friday, July 6, 2012

Politik Semasa Rakyat Johor


Politik Semasa Rakyat Johor
Ketika pulang berulang-alik ke Johor beberapa kali bulan lepas (Mei dan Jun),  Tun Sheikh terasa kesungguhan dan kerja keras Pakatan Rakyat memberi  perhatian utama meluaskan pengaruh di Johor, negeri kelahiran UMNO. Tun Sheikh sempat menemubual beberapa tokoh penting dan juga mendengar ceramah-ceramah politik dan agama yang dianjurkan. Tun Sheikh juga berkesempatan bertukar-tukar fikiran dengan angkatan muda anak Johor yang berusia 45 tahun ke bawah. Malah sempat juga berbual-bual dengan masyarakat Cina dari kalangan pekebun, peniaga runcit atau dengan istilah lain yang biasa dipakai di Johor ialah Cina kampong.

Perkembangan positif ialah sambutan masyarakat Cina yang mula menjauhkan diri dari MCA kerana mereka juga berpendapat pemimpin MCA terikut-ikut mengamalkan budaya rasuah yang disuap oleh UMNO dan lebih mementingkan diri dan saudara mara dekat serta kroni. Mereka mengamalkan budaya bias tidak seperti tahun-tahun 1990-an dan sebelumnya. Ketika itu perjuangan MCA dirasa benar-benar untuk kepentingan masyarakat Cina Johor pada keseluruhannya. Trend mereka ketika ini ialah memberi kefahaman sesama mereka bahawa selama ini mereka juga sebenarnya didiskriminasi oleh BN jika dibanding dengan kekayaan dan kesenangan yang digarap oleh pemimpin BN Johor dengan keadaan keseluruhan masyarakat atau rakyat Johor terutamanya masyarakat Cina kampong.

Orang Cina yang berpelajaran lebih terbuka minda dan tertarik dengan perjuangan NGO seperti demontrasi BERSIH, Lynas dan juga isu paksaan BN kepada orang Felda supaya menerima dan bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mendaftar perniagaan Felda ke bursa saham. Kepada masyarakat Cina yang telah biasa dengan budaya perniagaan, mereka berpendapat urusan saham itu hanya memberi keuntungan jangka pendek dan akibat buruknya akan ditanggung oleh masyarakat Felda itu sendiri. Keuntungan jangka pendek ini sudah tentu dinikmati oleh orang berduit atau orang yang dapat memiliki agihan saham itu secara mudah dan telah tergambar di minda mereka bahawa itu hanya dinikmati oleh orang-orang politik dan kroni mereka.

 Isu lain yang suka diikuti mereka ialah penerangan dari bekas presiden MCA mengenai muslihat politik dan tipu helah UMNO kepada masyarakat Melayu dan juga kepada parti-parti komponen dalam BN. Telah berlaku paradigma minda walaupun tidak berbentuk tsunami di kalangan masyarakat Cina untuk beralih dan menyokong DAP atau PR daripada MCA atau BN. Mereka masih berasa terbuku di hati dan kecewa dengan presiden MCA yang mempunyai rekod moral yang memalukan tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana beliau telah terpilih menjadi presiden MCA.
Masyarakat Cina Johor juga  tidak menyangka bahawa hal-ehwal orang Melayu banyak ditutup oleh UMNO sendiri terutamanya mengenai usaha dan kecapan faedah bersama sesuatu projek secara keseluruhannya. Untung besar hanya kepada pemimpin dan retorika kepada rakyat biasa. Maksudnya rakyat hanya dapat perasaan gembira dan rasa bangga dengan pembangunan yang dibuat tetapi rakyat tidak mengecapi keuntungan langsung secara individu sebagaimana dikecapi oleh para pemimpin.  

Orang Cina Johor yang telah mendapat penerangan dan penjelasan mengenai nilai sejagat dan kebaikan agama Islam berasa kesal kerana selama ini UMNO tidak memberi penjelasan secara ikhlas kecuali dengan budaya menakut-nakutkan mereka mengenai hukum hudud, berkhitan dan lain-lain sehingga mereka sangka kebudayaan Melayu adalah agama.

 Orang Cina Johor jika dibanding dengan orang Cina di negeri lain, boleh dikatakan kesetiaan mereka kepada kerajaan adalah lebih kerana pengaruh pergaulan, pendidikan dan sejarah latar belakang yang pernah hitam dalam beberapa  peristiwa pertumpahan darah di Johor. Mereka sangat hormat kepada Sultan kerana faktor sejarah dan jasa istana yang dianggap telah mengubah nasib mereka yang susah kepada senang dalam kehidupan di Johor.

Dari satu kajian atau banci yang telah dilakukan secara professional mengenai trend politik masyarakat Cina di Johor, mereka dianggap sebagai kuasa penentu dan mempunyai pengaruh yang kuat. Orang Cina Johor dianggarkan seramai 40%, Melayu 45% dan selebihnya India dan lain-lain. Adalah dianggarkan 65% masyarakat Cina telah dipengaruhi oleh PR manakala 40% daripada jumlah Melayu telah menyokong selain BN. Sekiranya undi Cina Johor tidak dapat dipujuk agar menyebelahi BN seperti dulu-dulu dan trend 40% Melayu itu, ada kemungkinan besar Johor akan ditawan PR dengan nisbah 53% PR dan 47% BN. Johor akan mengikuti jejak Selangor dan Pulau Pinang sebagai negeri termaju dan harmoni berkebajikan yang sampai kepada rakyat jelata kerana banyak hasil dan ditadbirkan oleh PR yang bertanggongjawab dan amanah.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
KLIA Sepang 3 Julai 2012

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Minda Politik
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere